Berapa Nilai Empayar Bisnes Khairul Aming?

Share it

“Hey wassap guys.” 

Inilah yang menjadi tagline dan identiti tersendiri Khairul Aming setiap kali muncul di skrin telefon pengguna. 

Beliau yang lebih dikenali sebagai KA mampu menjelaskan resipinya secara santai dan mudah difahami. Faktor ini menjadikan kandungannya mudah diikuti, sekali gus menarik perhatian ramai. 

Tapi hari ini, beliau bukan sekadar pencipta kandungan masakan. Khairul Aming telah berkembang menjadi usahawan dan juga seorang pengilang yang mengurus operasi produk makanan melalui Rasapop (M) Sdn Bhd. 

Perjalanan ini menunjukkan bagaimana seorang pempengaruh digital juga boleh beralih untuk terlibat dalam perniagaan yang lebih konvensional. 

Persaingan Dalam Kandungan Masakan 

Ruang kandungan masakan di Malaysia agak kompetitif. Selain Khairul Aming, beberapa nama lain turut mempunyai pengaruh tersendiri seperti Sheila Rusly, Che Sayang Kitchen, Che Nom dan Adikfood. 

Jumlah pengikut pempengaruh kandungan masakan di Malaysia

Setiap pencipta kandungan memanfaatkan kekuatan platform yang berbeza. Berdasarkan capaian media sosial sehingga Februari 2026, Khairul Aming menonjol melalui kehadiran yang seimbang merentas hampir semua platform, kecuali Youtube. 

Ini menunjukkan beliau lebih memfokuskan kepada kandungan berbentuk pendek yang sesuai untuk tontonan melalui telefon pintar, berbanding format panjang di skrin komputer atau televisyen. 

Sebaliknya, Che Nom memberi fokus kepada kandungan berbentuk panjang di Youtube, yang membolehkannya membina pengikut melebihi 2.3 juta di platform tersebut. 

Model Perniagaan KA 

Kejayaan Khairul Aming berpunca daripada pendekatan kandungan yang berkait rapat dengan strategi perniagaan. 

Pertama, konsistensi. Kempen seperti “30 Hari 30 Resipi” setiap Ramadan memastikan beliau kekal relevan dan aktif. Format ini mudah diikuti dan menyebabkan ramai orang menanti-nantikan resipi terbarunya setiap hari di bulan puasa. 

Kedua, cara penyampaian. Video pendek dengan langkah yang jelas memudahkan pengguna mencuba sendiri resipi. Ini membantu beliau membina hubungan dan kepercayaan dengan pengikut, sekali gus membolehkan beliau menukar pengikutnya kepada pelanggan. 

Interaksi yang bersahaja, termasuk melayan komen dan reaksi pengikut, mengukuhkan lagi hubungan ini. 

Sebagai contoh, Khairul Aming pernah membuat respons balas terhadap sebuah sidang media yang dibuat oleh ‘anak murid’nya yang memutuskan ‘hubungan’ mereka berdua kerana tidak mampu lagi mengikuti resipi-resipi KA, yang seterusnya menjadi bahan viral di seluruh platform media sosial. 

Kepercayaan tersebut diterjemahkan kepada jualan. Produk yang dilancarkan sering habis dalam tempoh singkat setiap kali di-restock. 

Dalam satu kempen, sekitar 70,000 unit Rendang Nyet dilaporkan terjual dalam kira-kira 30 saat, dengan nilai jualan sekitar RM1.2 juta melalui TikTok. 

Selain produk sendiri, Khairul Aming turut menjana pendapatan melalui kerjasama jenama (brand partnership) dengan pelbagai jenama di Malaysia. 

Beliau juga mengembangkan perniagaan ke ruang fizikal melalui restoran Rembayung. Restoran ini menapilkan masakan Melayu dalam suasana moden, sekali gus memperluas kehadiran jenama perkhidmatannya di luar talian. 

Pendapatan Syarikat Naik 110% 

Dari sudut kewangan, pertumbuhan perniagaan beliau menunjukkan peningkatan yang ketara. 

Syarikat Khairul Aming catat pendapatan sebanyak RM42 juta

Menurut MYDATASSM, Rasapop merekodkan pendapatan sekitar RM13.5 juta pada 2022, dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.7 juta. 

Berdasarkan pendedahan yang dibuat sendiri oleh Khairul Aming, pendapatan syarikat beliau meningkat kepada RM20 juta pada tahun 2023 dan RM42 juta pada tahun 2024. 

Dalam kata lain, pendapatan syarikat beliau naik 76% secara tahunan. 

Jika margin keuntungan dapat dikekalkan pada sekitar 20%, ini juga bermaksud Rasapop merekodkan keuntungan sekitar RM4 juta dan RM8.4 juta pada tahun 2023 dan 2024. 

Margin keuntungan 20% boleh dikira agak baik, setara dengan syarikat media yang lain seperti Foodie Media Berhad yang merekodkan margin keuntungan selepas cukai sebanyak 31%.

Jika perbandingan dibuat bersama Nestle Malaysia iaitu sebuah kilang pembuatan makanan, margin syarikat KA adalah jauh lebih tinggi berbanding Nestle yang berada sekitar 7.5%. 

Berapa Agaknya Nilai Empayar Beliau? 

Agak sukar untuk mengukur nilai sebenar empayar beliau, memandangkan model perniagaan beliau mempunyai pelbagai cara menjana pendapatan, sekaligus sukar untuk mengklasifikasikan perniagaan beliau sama ada melakukan bisnes media, F&B ataupun pembuatan (makanan).

Nilai syarikat Khairul Aming boleh menjangkau sehingga RM286 juta

Walau bagaimanapun, jika meletakkan syarikat-syarikat tersenarai F&B, media dan pembuatan makanan lain seperti Nestle Malaysia (47x), Oriental Kopi (36x), Empire Sushi (21x) dan Foodie Media (33x) sebagai batu asas berdasarkan Nisbah Pendapatan/Harga (PE Ratio), nilai empayar KA dianggarkan boleh mencecah RM286 juta.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa nilai ini terlalu tinggi, namun melihat kepada jenama Khairulaming yang dibina untuk sekian lama, tidak mustahil angkanya boleh mencecah setinggi itu. 

Tambahan lagi Khairul Aming telah membuktikan, bahawa beliau mempunyai growth story di dalam perniagaannya.

Keluar Dari Perangkap Media Sosial 

Kejayaan Khairul Aming dalam melebarkan sayap perniagaan dalam sektor pembuatan dan restoran menunjukkan bahawa pempengaruh mampu beralih arah dalam menjana pendapatan daripada sumber lain. 

Sebelum ini, pempengaruh sering berdepan dengan risiko tentang masa depan mereka, sama ada mereka ingin kekal menjadi pempengaruh hingga ke usia tua. 

Pempengaruh juga berdepan ancaman daripada algoritma platform media sosial, yang boleh menjejaskan sumber pendapatan mereka. 

Khairul Aming telah menunjukkan satu perjalanan bagaimana seseorang pempengaruh boleh memilih haluan baharu, jika suatu hari nanti mereka tidak lagi mahu wajah mereka muncul di skrin telefon pintar.