Ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan luar biasa dengan pertumbuhan 5.2% pada tahun 2025 iaitu melebihi unjuran awal pasaran. Namun, realitinya angka makroekonomi yang positif tidak bermakna keseluruhan rakyat Malaysia menikmati limpahan pertumbuhan ekonomi yang serupa.
Laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) ke-32 oleh Bank Dunia bertajuk ‘Raising the Ceiling, Raising the Floor’ mendedahkan satu jurang yang membimbangkan dalam struktur upah negara.
Meskipun kadar pengangguran kekal rendah dan ekonomi berkembang pesat, golongan pertengahan iaitu M40 masih mengalami pertumbuhan yang sangat perlahan.
Gaji M40 Paling Perlahan Meningkat

Bank Dunia mendedahkan meskipun gaji minimum di Malaysia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 43% dalam tempoh antara 2010 hingga 2024, namun gaji bagi golongan pertengahan yang berpendapatan sederhana (M40) kekal statik berbanding kelompok lain.
Menurutnya, gaji median meningkat daripada RM1,300 kepada RM1,864 (+43%) antara tahun 2010 hingga 2024, manakala gaji purata naik daripada RM1,792 kepada RM2,570 (+43%), tetapi masih jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan 82% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh sama.
Keadaan itu bersamaan dengan pertumbuhan gaji tahunan purata sekitar 3% sepanjang tempoh berkenaan.
Jelas laporan ini, pertumbuhan gaji sebenar bukan hanya sekadar tumbuh perlahan, malah menyusut ketika terutamanya ketika pandemik Covid-19 pada tahun 2020, sebelum kembali pulih pada tahun-tahun berikutnya.
Tambahnya, pertumbuhan gaji sebenar juga tidak sekata merentasi kumpulan pendapatan, dengan inflasi menghakis kenaikan gaji bagi isi rumah dalam kelompok persentil ke-40 hingga ke-60.
Kesannya, golongan pertengahan terus dihimpit dengan bebanan kos sara hidup susulan kenaikan pendapatan mereka tidak seiring dengan lonjakan harga barang dan perkhidmatan.
Mengapa Pekerjaan Berproduktiviti Tinggi Di Malaysia Masih Rendah?

Bank Dunia menggariskan tiga punca utama yang memerlukan tindakan tuntas kerajaan.
Antara punca utama ialah peningkatan lambakan graduan berpendidikan tinggi yang bekerja di bawah kelayakan akademik. Golongan ini terperangkap dalam pekerjaan separuh mahir atau tidak mahir, melebihi 36%.
Isu ini mengakibatkan kesan kewangan yang besar dimana graduan yang bekerja di bawah tahap kelayakan mereka menerima potongan gaji (wage penalty) sebanyak 49.3% dengan pendapatan median hanya RM2,096, berbanding RM4,131 bagi golongan yang bekerja setara dengan kelayakan.
Keadaan ini berpotensi menyebabkan berlakunya kehilangan bakat (brain drain) yang agresif ke luar negara.
Kedua, syarikat-syarikat terkemuka atau ‘Firma Perintis’ (frontier firms) tempatan juga gagal berkembang pada skala lebih besar atau kurang melaksanakan inovasi, sekali gus menjejaskan daya saing serta penciptaan pekerjaan bergaji tinggi.
“Kebanyakan syarikat paling produktif di Malaysia masih belum berkembang seperti yang diharapkan. Ini menjadi cabaran kerana syarikat sedemikian sewajarnya menawarkan pekerjaan dengan gaji lebih baik,” jelas Bank Dunia.
Tambahnya, data yang menunjukkan syarikat peneraju nasional semakin ketinggalan berbanding tahap produktiviti global menjadikan cabaran itu lebih sukar diatasi.
Sejak dua dekad lalu, pegangan pasaran dan saiz tenaga kerja firma perintis khususnya dalam sektor pembuatan terus merosot. Trend ini membuktikan pasaran tempatan gagal memacu pertumbuhan firma produktif.
Ini susulan operasi firma tempatan diikat oleh rantaian birokrasi yang perlahan. Sebagai contoh, purata masa yang diambil untuk mendapatkan lesen import di Malaysia adalah selama 54 hari.
Tempoh ini amat perlahan berbanding China (26 hari), Thailand (sembilan hari) dan negara jiran seperti Singapura hanya memerlukan tujuh hari.
Produktiviti Sebagai Penentu Siling dan Lantai
Menteri Ekonomi, Akmal Nasir Abdullah, mengakui meskipun prestasi makroekonomi negara kekal memberangsangkan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata tidak mencukupi.
“Walaupun pendapatan rakyat dan kadar kemiskinan menunjukkan penambahbaikan, ramai lagi rakyat Malaysia masih berdepan tekanan akibat peningkatan kos sara hidup.
“Pasaran buruh negara kekal berdaya tahan dengan kadar pengangguran pada 2.9% setakat Februari 2026, namun pertumbuhan gaji masih tidak seiring dengan peningkatan kos kehidupan,” jelasnya.
Tegasnya, gaji median meningkat sekitar 5% setahun sejak 2020, namun kenaikan tersebut telah terkesan akibat inflasi.
“Lebih membimbangkan, jurang gaji antara graduan dan pekerja separa mahir kini mengecil kepada hanya RM19, mencerminkan tekanan gaji yang tidak sama rata serta pulangan terhadap pendidikan tinggi yang semakin rendah” tambahnya.
Menurut Akmal, kunci utama strategi ekonomi negara perlu berpaksikan produktiviti selain menyifatkan produktiviti bukan sekadar angka tetapi jambatan kepada kualiti kehidupan.
“Produktiviti membolehkan ekonomi menjana nilai yang lebih besar daripada sumber yang sama. Ia membolehkan perniagaan kekal kompetitif walaupun kos meningkat, dan membolehkan gaji dinaikkan secara mampan.
“Paling penting, ia memastikan pertumbuhan diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik buat rakyat,” katanya.
Menerusi kerangka ‘Raising the Ceiling’, kerajaan menyasarkan peralihan kepada industri bernilai tinggi yang mampu menawarkan gaji lebih kompetitif. Konsep Raising the Floor pula menumpukan kepada pengukuhan perlindungan sosial agar setiap pekerja mendapat upah yang bermaruah.
Pekerjaan Faktor Penentu Pertumbuhan Ekonomi
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia dan Filipina, Zafer Mustafaoglu turut memberikan amaran bahawa pekerjaan adalah faktor penentu antara pertumbuhan ekonomi dan perkongsian kekayaan.
Menurutnya, cabaran Malaysia adalah untuk mengubah kekuatan ekonomi sedia ada menjadi satu kitaran yang saling memperkukuh.
“Pekerjaan adalah jambatan antara pertumbuhan dan kemakmuran bersama. Tugas kerajaan adalah menukar kekuatan ini kepada kitaran kendiri bagi memastikan syarikat yang inovatif dan produktif mencipta pekerjaan yang lebih baik, manakala tenaga kerja lebih berkemampuan memacu gelombang produktiviti,” ujarnya.
