Sampai Bila Kerajaan Mampu Tanggung Kos Subsidi RON95?

Share it

Pendekatan subsidi bersasar RON95 bertujuan memastikan bantuan kerajaan disalurkan secara lebih tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya isi rumah dalam kategori B40 serta M40.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda ekonomi kerajaan yang bertujuan memperkukuh tadbir urus serta pengurusan kewangan negara, bagi memastikan kedudukan kewangan berdaya tahan.

Namun, ketidaktentuan harga minyak mentah dunia akibat perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran di Timur Tengah mengakibatkan harga minyak terus kekal di paras tinggi.

Jika konflik berterusan, ia boleh memberi tekanan terhadap kewangan kerajaan bagi mengekalkan harga petrol RON95 yang ditetapkan pada RM1.99 seliter di bawah program subsidi.

Persoalannya, sampai bila kerajaan mampu tanggung kos subsidi RON95?

Kerajaan Belanja RM6 Bilion Tanggung Subsidi RON95

Menurut Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI), Dr Nungsari Radhi, sejak perang AS-Israel dan Iran bermula kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sehingga RM6 bilion untuk mengekalkan harga RM1.99 bagi subsidi RON95.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau tidak bersetuju dengan langkah menaikkan harga minyak ketika negara berdepan krisis bekalan global.

Tegasnya, kerajaan akan terus berusaha menanggung kos subsidi bahan api dengan mengeluarkan perbelanjaan besar setiap bulan bagi mengelakkan rakyat terbeban.

Malah, kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk menyemak semula subsidi RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi berikutan tekanan terhadap bekalan tenaga global.

Dr Nungsari menjelaskan lanjut bahawa Malaysia termaktub kepada Akta Tatacara Kewangan yang menggariskan perbelanjaan operasi (opex) dalam belanjawan negara tidak boleh melebihi hasil kerajaan.

“Dalam Belanjawan 2026 yang seperti telah diluluskan oleh Parlimen, klasifikasi subsidi masuk di dalam perbelanjaan mengurus.”

“Ini bermakna peruntukan dipersetujui dalam Belanjawan 2026 sekitar RM700-RM800 juta untuk RON95 ini.”

“Namun, sejak bermula peperangan antara Iran dan AS serta Israel, wang yang kerajaan keluarkan naik sehingga RM6 bilion untuk mengekalkan harga sama,” katanya.

Pengerusi & Exco KRI, Dr Nungsari Radhi

Jelas Dr Nung, perbelanjaan mengurus di Malaysia perlulah dibiayai oleh pendapatan yang dijana kerajaan.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada tatacara fiskal kerajaan bagi memastikan kewangan negara dibelanjakan secara teratur dan berhemah.

Sebagai konteks, perbelanjaan kerajaan terdiri daripada dua komponen iaitu perbelanjaan pembangunan (capex) dan perbelanjaan operasi. Perbelanjaan pembangunan seperti pembinaan sekolah dan hospital boleh dibiayai melalui hutang, manakala perbelanjaan operasi perlulah dibiayai oleh hasil kerajaan.

Sebagai contoh, kerajaan tidak boleh sewenenang-wenangnya menerbitkan hutang bagi membayar gaji penjawat awam.

Menurut Dr Nung, sangat penting untuk kerajaan mengenal pasti penjimatan yang tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan, bagi menampung perbelanjaan dua hingga tiga bulan ke hadapan. 

Ini kerana kerajaan tidak dibenarkan meminjam bagi membiayai perbelanjaan subsidi.

Mampukah Malaysia Bertahan? 

Kerajaan perlu mempertimbangkan timbal balik antara pertumbuhan ekonomi dan kestabilan fiskal.

Percaturan yang terpaksa dihadapi dihadapi ialah pengurangan subsidi yang berkemungkinan mengakibatkan kenaikan harga barangan. 

Tambah Dr Nung, perbincangan ini seharusnya melahirkan satu kesedaran kolektif bahawa mengekalkan harga minyak subsidi pada paras RM1.99 sen bukan sesuatu yang boleh dipertahankan tanpa kos tersembunyi yang perlu ditanggung bersama.

“Sekiranya tiada cukai baharu diperkenalkan bagi meningkatkan hasil, alternatif lain terpaksa diambil kira. Namun, ruang untuk bergerak semakin sempit, segala yang boleh dipangkas sudah dipangkas dan yang tinggal hanyalah perkara yang bersifat teras.”

“Justeru, sesuatu yang ada perlu dikurangkan dan jika dikurangkan, harga sudah semestinya perlu naik. Kita perlu menerima hakikat bahawa inilah realiti yang dihadapi.”

“Ia adalah satu keadaan yang mendesak dan memerlukan tindakan yang berani serta berwawasan,” katanya lagi.

Tonton rakaman penuh podcast di saluran Youtube Khazanah Research Institute.