
Syarikat yang diasaskan di Siberia, inDrive memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2021 dengan pertama kali memperkenalkan model penetapan harga secara rundingan antara penumpang dan pemandu untuk tempahan perjalanan di negara ini.
Satu pendekatan yang berbeza berbanding model e-hailing konvensional yang menetapkan harga secara automatik.
Dalam pasaran semasa, inDrive menawarkan kadar komisen 10.99% lebih rendah berbanding syarikat e-hailling lain. Jadi, pemandu dijanjikan peluang menikmati pendapatan yang lebih tinggi berbanding platform lain.
Meskipun menjanjikan kebajikan dan keadilan terhadap penumpang serta pemandu, syarikat inDrive berdepan cabaran apabila hampir ditutup pada tahun lalu.
Kedudukan Kawal Selia Diperkukuh
Selepas melalui tempoh mencabar apabila Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) meletakkan inDrive dan Maxim dibawah tempoh pemantauan selama tiga bulan kerana beroperasi tanpa lesen Pengendali E-Hailing yang sah, syarikat itu berjaya melepasi penilaian tersebut.
APAD kemudian meluluskan inDrive untuk meneruskan operasi di Malaysia selepas syarikat itu berjaya melengkapkan semakan lesen wajib selama tiga bulan, dengan inDrive memaklumkan penambahbaikan telah dibuat dari segi proses dalaman, pengurusan dokumen serta penglibatan bersama pihak berkuasa.
Menjelang Mei 2026, syarikat itu mengumumkan pembaharuan lesen operasi e-hailing, membolehkan inDrive terus menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia sehingga tahun 2028.
Kini, inDrive terus berkembang di Johor Bahru dan Pulau Pinang menjadi antara 30 syarikat e-hailing yang bersaing dalam menawarkan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat setempat.
Tiada Isu Berhubung Jumlah Pemandu
Dalam podcast Perspektif, Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar mendedahkan penilaian beliau mendapati jumlah pemandu di Lembah Klang yang membuat pendaftaran dengan inDrive menunjukkan peningkatan baik.

Jelasnya, pemandu e-hailing mula menunjukkan minat terhadap model pendapatan syarikat itu dan jumlah pemandu baharu yang mendaftar merekodkan peningkatan sehingga 40%.
“Di negeri seperti Johor Bahru dan Pulau Pinang juga pada tahap baik. Banyak pemandu cuba untuk berdaftar dengan inDrive kerana terhadap model unik inDrive yang memberikan kebebasan dan juga fleksibiliti serta peluang untuk menjana pendapatan lebih”
“Pertumbuhan pemandu baharu dalam platform turut menunjukkan peningkatan dalam 30% hingga 40%. Sebelum ini, kami menjalankan kempen yang mana hanya 1% komisen dikenakan terhadap pemandu inDrive. Jadi, pemandu bawa pulang lebih banyak pendapatan,” ujarnya.
Jelasnya, pihaknya cuba memahami situasi ekonomi yang tidak menentu susulan harga minyak yang tidak stabil sekali gus menjurus dengan kenaikan kos kehidupan harian.
Gesaan Penetapan Harga Tambang E-HailingĀ
Di media sosial, persatuan yang mewakili pemandu e-hailing lantang menyuarakan gesaan agar kerajaan melaksanakan penetapan dasar berkaitan harga lantai atau siling bagi tambang e-hailing.
Ketika ini, kadar tambang ditetapkan secara dinamik sepenuhnya oleh syarikat penyedia perkhidmatan berdasarkan konsep permintaan dan penawaran yang ditetapkan syarikat e-hailing.
Mengulas berhubung isu tersebut, Azlan percaya jika kerajaan melaksanakan dasar untuk mengawal selia harga tambang e-hailing, masalah berlanjutan seperti harga tambang yang tidak stabil mampu diselesaikan.
“Kami di inDrive percaya untuk mengembangkan industri e-hailing, terdapat kepentingan untuk regulasi dan kawal selia yang baik. Ini kerana apabila terdapat polisi kawalan harga, masalah ‘perang tambang’ tidak akan berlaku.”
“Kami sentiasa menyokong dasar kerajaan yang memperjuangkan keadilan untuk pemandu dan juga penumpang,” akhirinya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini memaklumkan isuĀ berkaitan tambang perkhidmatan e-hailing akan dibincangkan oleh Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dalam masa terdekat.
Tambahnya, perkara berbangkit sepertiĀ komisen dan kadar tambang akan dibincangkan di peringkat SEGiM.
Tonton rakaman penuh podcast di saluran Youtube Ekonomi Rakyat.
