Siapa sangka peristiwa pahit putus tunang boleh tercetusnya idea untuk mencipta nama dengan menjual barangan pre-loved (barangan terpakai) mewah. Demikian kisah Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Icon Luxe, Muhammad Mirzan Johor, 27.
Bermula tiga tahun lalu, Icon Luxe kini muncul sebagai perniagaan barangan mewah terpakai yang mampu mencatatkan hasil jualan sebanyak RM1 juta sebulan.
Mirzan menggunakan konsep konsainan (consignment) dengan pemilik menyerahkan beg mewah kepadanya pada harga yang ditetapkan sebelum dijual semula kepada pelanggan.

Beliau mengambil kesempatan pasaran jualan semula barangan mewah global yang terus mencatatkan perkembangan positif, dengan nilai pasaran dianggarkan mencecah $31.2 bilion pada 2025.
Angka itu dijangka meningkat kepada $34.1 bilion pada 2026, mewakili pertumbuhan tahunan sekitar 9%, sebelum berkembang kepada $37.1 bilion pada 2027.
Sementara itu, di rantau Asia Pasifik menunjukkan potensi pertumbuhan yang lebih pantas, sekitar 10% hingga 11% setahun, didorong oleh pengembangan e-dagang, peningkatan kuasa beli pengguna serta kesedaran yang semakin meningkat terhadap konsep ekonomi kitaran dan penggunaan fesyen secara lebih mampan.
Selain perubahan permintaan pengguna, kemajuan teknologi turut menjadi pemangkin utama kepada industri ini. Inovasi seperti platform jualan semula dengan ciri pengesahan ketulenan, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam menentukan harga pasaran.
Di samping model perkhidmatan sewaan barangan mewah membantu meningkatkan keyakinan pengguna dan mempercepat pertumbuhan pasaran jualan semula barangan mewah di seluruh dunia.
Bagi membina keyakinan pelanggan, Icon Luxe menggunakan Sijil Entrupy, iaitu teknologi pengesahan keaslian berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesahkan sama ada sesuatu beg mewah adalah tulen atau tiruan.
Menurut Mirzan, langkah itu penting untuk membina kepercayaan antara pembeli dan penjual, khususnya dalam pasaran barangan mewah yang sangat bergantung kepada reputasi.
Menurut beliau, pembelian barangan mewah banyak dipengaruhi oleh emosi dan aspirasi pengguna.
Justeru, Icon Luxe memberi tumpuan kepada jualan beg tangan mewah kerana permintaannya lebih konsisten berbanding kategori lain.
Berkongsi dalam Podcast Perspektif Ekonomi Rakyat, beliau mendedahkan faktor seperti harga yang lebih kompetitif, kualiti produk dan jaminan keaslian menjadi nilai utama yang ditawarkan kepada pelanggan.
“Ramai pembeli melihat beg mewah sebagai satu bentuk pelaburan. Namun, saya cuba mengubah persepsi itu dengan memberikan maklumat yang telus supaya mereka memahami bahawa tidak semua beg mewah akan meningkat nilainya.”
“Bagi saya, pelanggan perlu membuat keputusan berdasarkan nilai sebenar, keadaan dan permintaan sesuatu produk, bukan semata-mata mengharapkan keuntungan pada masa hadapan,” jelasnya.
Mirzan Pernah Ditipu RM74,000
Namun begitu, perjalanan Icon Luxe bukanlah mudah. Perniagaan konsainan barangan mewah berdepan pelbagai risiko, terutamanya penipuan melibatkan produk tiruan.
Bagi mengurangkan risiko tersebut, syarikat memanfaatkan Sijil Entrupy dan teknologi AI untuk mengesahkan keaslian produk melalui analisis terperinci terhadap jahitan, logo dan corak setiap barangan.
Risiko penipuan kewangan juga tidak kurang besar. Mirzan pernah berkongsi pengalaman kehilangan RM74,000 selepas urusan pembelian sebuah jam Rolex gagal apabila beliau terpedaya dengan bukti transaksi bank yang mengelirukan.
“Saya pernah didekati oleh seorang lelaki yang mendakwa ingin membeli jam tangan Rolex GMT Sprite yang berharga sekitar RM74,000 sebelum lelaki itu bersetuju untuk membuat tempahan awal.”
“Lelaki itu kemudian menghantar staf beliau untuk mengambil jam tersebut di kedai selepas pelanggan terbabit menghantar resit pindahan segera pembayaran sebagai bukti.”
“Keesokan harinya, pekerja saya memaklumkan bahawa tiada wang yang masuk dan rupa-rupanya bukti pembayaran itu hanya sekadar cek terapung,” ujarnya.
Jelasnya, susulan kejadian tersebut beliau tidak cepat melatah dan melihat situasi sedemikian sebagai satu pengajaran.
Bagi beliau, kehilangan RM74,000 tidak seharusnya menjadi faktor yang menggugat mentaliti serta semangat untuk terus membina perniagaan.
Dalam kejadian lain, Mirzan juga pernah menerima sebuah beg yang dijual oleh pelanggan sebelum kemudian dikenal pasti sebagai barang curi serta dirampas semula oleh pihak polis tanpa sebarang pampasan.
Selain itu, prestasi syarikat juga bergantung kepada permintaan terhadap jenama mewah yang dijual. Apabila nilai atau populariti sesuatu jenama merosot, ia turut memberi kesan kepada perniagaan kerana Icon Luxe menjual produk jenama pihak lain, bukannya memiliki jenama sendiri.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Icon Luxe terus berkembang dan berjaya membina nama dalam pasaran konsainan barangan mewah.
Sebagai pengasas, Mirzan percaya industri ini masih mempunyai prospek yang cerah kerana permintaan terhadap barangan mewah akan terus wujud selagi pengguna menghargai nilai eksklusiviti, jenama dan gaya hidup.
Tonton episod penuh di YouTube Ekonomi Rakyat.
