Pada tahun 1971, kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) menerusi Rancangan Malaysia Kedua (RMK-2). Dasar ini mempunyai dua matlamat utama iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat supaya kegiatan ekonomi tidak lagi dikenal pasti berdasarkan kaum.
DEB lahir dalam suasana politik dan sosial yang tegang, hanya dua tahun selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Ramai mengaitkan tragedi tersebut dengan keputusan Pilihan Raya Umum 1969 yang menyaksikan Perikatan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Dalam pilihan raya itu, DAP menambah 12 kerusi Parlimen, GERAKAN memperoleh lapan kerusi tambahan, manakala PAS menambah tiga kerusi. Antara tokoh politik yang tewas ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kalah kepada calon PAS, Yusof Rawa, di Parlimen Kedah Selatan.

Rusuhan kaum yang tercetus mengorbankan banyak nyawa, menyebabkan darurat diisytiharkan dan pentadbiran negara diambil alih oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).
Apakah Punca Sebenar?
Walaupun peristiwa 13 Mei sering dilihat sebagai krisis politik, ramai penyelidik sejarah dan sains sosial berpendapat bahawa politik hanyalah trigger point kepada masalah yang telah lama membarah, iaitu ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.
Pandangan ini juga selari dengan pendirian rasmi kerajaan ketika itu. Dalam Rancangan Malaysia Kedua, perenggan pembukaan memberi penekanan kepada keperluan mewujudkan pengagihan pendapatan dan peluang yang lebih adil demi perpaduan negara.
“A stage has been reached in the nation’s economic and social development where greater emphasis must be placed on social integration and more equitable distribution of income and opportunities for national unity and progress.”
Ketidakseimbangan tersebut sebahagian besarnya merupakan legasi dasar penjajah British. Melalui dasar pecah dan perintah, masyarakat Melayu yang majoritinya tinggal di luar bandar mempunyai peluang yang lebih terhad untuk terlibat dalam aktiviti komersial dan perindustrian.

Sebaliknya, masyarakat Cina lebih tertumpu di kawasan bandar dan lebih aktif dalam sektor perdagangan. Akibatnya, manfaat pembangunan ekonomi tidak dinikmati secara seimbang oleh semua kelompok masyarakat.
Jurang Ekonomi Yang Ketara
Pada ketika itu, Malaysia merekodkan kadar kemiskinan sebanyak 49.7%. Dalam kalangan Bumiputera, kadar tersebut jauh lebih tinggi, mencecah 65%. Bagi etnik India dan Cina pula, kadar kemiskinan masing-masing ialah 39% dan 26%.

Jurang pendapatan isi rumah juga amat besar. Pendapatan purata isi rumah Bumiputera hanyalah RM172 sebulan, bersamaan kira-kira 45% daripada pendapatan isi rumah etnik Cina yang berjumlah RM394. Pendapatan purata isi rumah etnik India pula ialah RM304 sebulan.
Ketidakseimbangan turut kelihatan dalam pemilikan kekayaan. Pegangan ekuiti korporat Bumiputera hanya 2.4%, berbanding 34.3% bagi bukan Bumiputera. Selebihnya, iaitu 63.3%, masih dikuasai oleh pelabur asing.
Isu ini juga terserlah dalam sektor pendidikan pula. Di Universiti Malaya pada tahun 1959, hanya 19% daripada pelajarnya terdiri daripada orang Melayu. Dalam bidang kejuruteraan, hanya seorang pelajar Melayu, bersamaan 0.7%, daripada keseluruhan pelajar yang mengikuti kursus tersebut.
Keadaan itu tidak banyak berubah sedekad kemudian. Pada tahun 1969, iaitu 12 tahun selepas kemerdekaan, hanya 11 orang atau 3.1% daripada keseluruhan 359 pelajar kejuruteraan merupakan pelajar Melayu.
Jurang ekonomi, pendidikan dan peluang yang begitu besar akhirnya mewujudkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat. Fenomena seperti ini bukanlah unik kepada Malaysia. Banyak kajian menunjukkan bahawa jurang ekonomi yang luas akan menyumbang kepada ketegangan sosial.
Di negara seperti Malaysia, isu ini bertambah buruk oleh kerana tanggapan bahawa etnik minoriti menguasai sebahagian besar aktiviti ekonomi.
Indonesia sering dijadikan contoh. Ketika krisis ekonomi 1998, masyarakat Cina Indonesia menjadi sasaran rusuhan. Pada ketika itu tersebar dakwaan bahawa minoriti yang hanya membentuk sekitar 3% daripada penduduk menguasai 70% ekonomi negara. Walaupun angka tersebut tidak disokong oleh bukti yang kukuh, dominasi masyarakat Cina dalam sektor korporat dan perniagaan sememangnya diakui, malah sebahagian besar individu terkaya di Indonesia sehingga hari ini masih terdiri daripada etnik tersebut.
DEB – Cubaan Menstabilkan Ekonomi Dan Fabrik Sosial Negara
Selepas Tun Abdul Razak mengambil alih pentadbiran negara, DEB diperkenalkan sebagai kerangka dasar bagi menangani ketidakseimbangan ekonomi yang dianggap mengancam perpaduan nasional.
Matlamat utamanya bukan sekadar meningkatkan pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan pembangunan dapat dikongsi dengan lebih adil. Penekanan terhadap perpaduan nasional malah disebut sejak ayat pertama dokumen dasar tersebut.
Pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi mengurangkan kemiskinan, termasuk pembangunan infrastruktur luar bandar, skim pembangunan tanah serta dasar pendidikan yang lebih inklusif.
Dari sudut pengurangan kemiskinan, dasar ini menunjukkan pencapaian yang ketara. Kadar kemiskinan negara menurun daripada 49.7% kepada 12.4% pada tahun 1992.
Pendapatan isi rumah semua kaum turut meningkat. Pendapatan purata isi rumah Bumiputera meningkat lebih tujuh kali ganda kepada RM1,268 sebulan. Dalam tempoh yang sama, pendapatan isi rumah etnik Cina dan India masing-masing meningkat kepada RM2,192 dan RM1,604 sebulan.
Perdebatan Yang Masih Berterusan
Lebih lima dekad selepas diperkenalkan, DEB masih menjadi antara dasar yang paling banyak diperdebatkan dalam landskap ekonomi Malaysia.
Antara persoalan yang sering dibangkitkan ialah sama ada pencapaian ekonomi Malaysia sebenarnya merupakan hasil perkembangan semula jadi ekonomi, atau sejauh mana DEB memainkan peranan dalam mempercepatkan proses tersebut.
Perbahasan juga banyak tertumpu kepada sasaran pemilikan 30% ekuiti korporat Bumiputera yang ditetapkan di bawah DEB. Sasaran tersebut masih belum dicapai.

Pada tahun 2015, pemilikan ekuiti Bumiputera berada pada 16.2%, berbanding 30.7% bagi bukan Bumiputera dan 45.3% bagi pelabur asing.
Matlamat tersebut kemudiannya diteruskan menerusi dasar PuTERA35, yang menetapkan sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30% menjelang tahun 2035.
Selain isu sasaran ekuiti, perdebatan turut tertumpu kepada fenomena Ali Baba, struktur sosial serta akses Bumiputera kepada peluang ekonomi. Persoalan yang terus dibangkitkan ialah mengapa selepas lebih lima dekad, penguasaan ekonomi Bumiputera masih belum mencapai tahap yang diinginkan.
Walau apa pun pandangan terhadap DEB, sukar dinafikan bahawa pada fasa awal pembangunan negara, Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang pesat. Hasil pembangunan tersebut turut dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum, dengan peningkatan ketara dalam taraf hidup, pendapatan dan peluang ekonomi.
