Tarif Mungkin Lebih Tinggi, Jika Malaysia Tidak Berunding Dengan Amerika Syarikat

Share it

Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Salbiah Idris, mendedahkan bahawa Malaysia berdepan risiko dikenakan tarif sehingga 50% sekiranya tidak berunding dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS), susulan pengenalan tarif timbal balik pada April 2025.

Atas pertimbangan itu, Malaysia mengambil ketetapan untuk berunding dengan AS bagi memastikan risiko tarif tersebut dapat diuruskan dengan baik.

Ketika ditemu bual dalam KRI Open Table Podcast yang dihoskan oleh Shazana Mokhtar, Salbiah menjelaskan bahawa sektor elektrik dan elektronik (E&E) merupakan antara sektor negara yang paling berpotensi terjejas.

Ini memandangkan nilai eksport barangan E&E Malaysia ke AS mencecah sehingga RM56 bilion setahun.

Pada April 2025, pentadbiran AS mengumumkan tarif bagi mengimbangi perdagangan negara itu yang terlalu bergantung pada barangan import. Malaysia pada mulanya dikenakan tarif sebanyak 24%, sebelum kadar itu dinaikkan kepada 25% menjelang Julai 2025.

Putrajaya kemudiannya mengambil kesempatan sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang dipengerusikan Malaysia pada Oktober 2025 untuk menandatangani Perjanjian Tarif Timbal Balik (ART), dengan kadar tarif ditetapkan pada 19%.

Langkah tersebut mengundang reaksi bercampur daripada pelbagai pihak, terutamanya terhadap kebimbangan beberapa klausa dalam perjanjian berkenaan yang dikatakan boleh menjejaskan kedaulatan Malaysia.

Bagaimanapun, pelaksanaan tarif AS kemudiannya terhenti selepas Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa perintah Trump yang menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 (IEEPA) adalah tidak sah kerana tidak mendapat kelulusan Kongres.

Ketika ditanya Shazana mengenai matlamat Trump, Salbiah menjelaskan bahawa Trump mahu mengembalikan sektor pembuatan ke AS dan mengurangkan kebergantungan negara itu terhadap barangan import, selain meningkatkan hasil Washington menerusi kutipan tarif.

Namun, menurut Salbiah, beberapa matlamat tersebut mungkin bercanggah antara satu sama lain.

“Mereka ingin membina semula sektor pembuatan Amerika Syarikat, meningkatkan pelaburan serta mengurangkan defisit perdagangan. Namun, ada banyak pendapat yang mengatakan bahawa matlamat ini sendiri tidak seiring antara satu sama lain.

“Sebagai contoh, pentadbiran Trump berpendapat bahawa perdagangan yang tidak adil menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat AS. Tetapi, ia seperti tidak mengambil kira faktor automasi atau penggunaan mesin dalam sektor pekerjaan yang turut memberi kesan kepada pekerjaan di Amerika Syarikat.

“Trump juga ada menyatakan bahawa kutipan tarif mampu menjana AS$2 bilion sehari sebagai hasil sekiranya tarif ini dikenakan. Tetapi secara logiknya, jika beliau berjaya membawa kembali semua aktiviti pengeluaran ke AS dan memenuhi permintaan domestik, kutipan tarif ini akan menjadi kecil.”

Perdagangan Bebas Tidak Benar Benar Bebas?

Dalam perbincangan mengenai perdagangan bebas, Timbalan Pengarah Penyelidikan KRI, Aidonna Jan Ayob, berpandangan bahawa perjanjian perdagangan bebas pada zaman moden tidak semestinya membawa maksud perdagangan yang benar-benar bebas.

“Saya tidak beranggapan bahawa perjanjian perdagangan bebas sama dengan perdagangan bebas. Sebab kalau perdagangan bebas, sepatutnya barang boleh keluar masuk tanpa sekatan. Tetapi perjanjian perdagangan bebas mempunyai banyak sekatan. Perjanjian moden juga beratus ratus muka surat.”

Aidonna turut menegaskan bahawa perdagangan bebas tidak semestinya menguntungkan semua pihak. Menurut beliau, kesan globalisasi juga tidak semestinya positif secara menyeluruh.

Negara kaya, katanya, mempunyai kelebihan dalam perdagangan kerana mampu menjalankan aktiviti perdagangan dengan lebih cekap berbanding negara berpendapatan rendah.

Keadaan ini boleh membawa kesan susulan seperti kehilangan pekerjaan, yang memerlukan perhatian lebih mendalam daripada kerajaan. Justeru, manfaat daripada perdagangan perlu disertai perlindungan terhadap golongan yang menanggung kos perubahan ekonomi tersebut.

“Kalau kita tandatangani perjanjian perdagangan bebas, kita sepatutnya memastikan bahawa perlindungan sosial itu ada, jaringan keselamatan sosial itu ada agar manfaatnya dapat diraih dan mereka yang menanggung kos atau terkesan turut tidak ketinggalan.”

Ketidaktentuan Politik Malaysia, Adakah Rundingan Akan Terjejas?

Shazana turut membangkitkan persoalan sama ada ketidaktentuan politik Malaysia boleh menjejaskan rundingan dengan pentadbiran Washington.

Aidonna berpandangan bahawa perkembangan politik dalaman tidak akan memberi kesan besar terhadap inti pati rundingan, mengambil kira kemampuan dan kemahiran perunding perdagangan Malaysia.

Menurut beliau, sekiranya faktor politik memberi kesan sekalipun, kesannya lebih tertumpu pada soal masa, termasuk bila sesuatu perjanjian dapat dimuktamadkan dan ditandatangani, bukannya kandungan rundingan itu sendiri.

Ini kerana perunding Malaysia menjalankan tanggungjawab berdasarkan mandat yang ditetapkan menerusi akta dan dasar kerajaan.

“Saya mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap pegawai kerajaan kita kerana perunding perdagangan Malaysia antara yang terbaik. Kalau ada menteri yang mahu menandatangani perjanjian sekalipun, ia lebih kepada kecepatan rundingan, bukannya isi kandungan rundingan.”

Rakaman penuh KRI Open Table Podcast boleh ditonton menerusi saluran YouTube Institut Penyelidikan Khazanah.