Beberapa industri terutamanya dalam bidang hiburan dan hospitaliti terkesan teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan susulan pandemik Covid-19. Industri filem tidak terkecuali daripada fenomena ini.
Menurut data FINAS, kutipan filem tempatan menurun dengan ketara dari RM135.0 juta pada 2019 kepada RM16.2 juta pada tahun 2020, setelah Kerajaan mengumumkan PKP pada Mac 2020.
Lebih teruk lagi, jumlah ini merudum kepada RM1.2 juta pada tahun berikutnya.
Namun, fenomena ini berakhir pada tahun 2022.

Sejak PKP ditamatkan dan aktiviti pawagam semakin pulih, filem tempatan kembali mendapat sambutan hangat. Setakat September 2026, sebanyak 31 filem telah diterbitkan dengan nilai kutipan setinggi RM110.9 juta di bawah Skim Wajib Tayang FINAS bagi tahun ini.
Menurut Kementerian Komunikasi, jumlah penonton filem tempatan di pawagam pada 2025 meningkat lebih dua kali ganda, kepada 14.8 juta orang daripada 7.1 juta pada 2024.
Angka ini merangkumi 36.5% daripada jumlah keseluruhan penonton pawagam, peningkatan yang baik berbanding tahun 2024, di mana jumlah peratusan penonton filem tempatan hanyalah 21.9%.

Malah, kutipan filem tempatan di bawah Skim Wajib Tayang 2025 meningkat ketara, iaitu kepada RM253.31 juta berbanding RM125.28 juta pada 2024.
Peningkatan positif ini mencerminkan penerimaan baik penonton terhadap karya tempatan.
Filem Aksi, Animasi Mendominasi Carta Tempatan
Dalam carta Kutipan Filem Tertinggi (Top 50), 19 filem atau 38% daripadanya ialah filem aksi. Bagi tahun 2026, beberapa filem aksi telah berjaya mengumpul kutipan melebihi RM10 juta, termasuk Malaikat Malam, Ah Beng vs Liang Po Po, dan Tarung: Unforgiven.

Industri filem tempatan juga merekodkan pencapaian membanggakan tahun lepas apabila Blood Brothers: Bara Naga muncul sebagai filem dengan kutipan kedua tertinggi di bawah Skim Wajib Tayang, iaitu setinggi RM73.6 juta. Baru-baru ini, Chelot arahan Adrian Teh berjaya mencuri tumpuan dan meraih kutipan RM10.7 juta.
Sewaktu ucapannya di Majlis Perasmian Menara FINAS Damansara, Ogos lalu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata bahawa kejayaan Blood Brothers: Bara Naga dan Papa Zola The Movie merupakan sesuatu yang positif.
“Kejayaan kedua-dua karya daripada genre yang berbeza ini membawa mesej yang jelas. Penonton Malaysia mempunyai keyakinan terhadap karya tempatan apabila kita menawarkan kandungan yang berkualiti, kompetitif dan dekat di hati mereka,”
Filem animasi juga menarik perhatian komuniti tempatan.
Walaupun pengeluaran filem animasi agak terhad di Malaysia, namun 18% daripada 50 filem dengan kutipan tertinggi terdiri daripada filem animasi. Papa Zola The Movie memegang tempat ketiga dalam carta tersebut, dengan kutipan bernilai RM63.84 juta. Filem-filem lain seperti Ejen Ali The Movie 2 (RM58.40 juta), Mechamato The Movie (RM32.23 juta), dan Boboiboy Movie 2 (RM29.57 juta) juga mencatatkan kutipan yang tinggi.
Apa Kualiti Yang Dicari Penonton?
Antara faktor utama yang mendorong kejayaan filem-filem seperti Blood Brothers: Bara Naga ialah jalan penceritaannya sendiri.
Penonton masa kini lebih gemar dengan jalan cerita yang sarat dengan adegan mendebarkan, rentak yang tidak membosankan, serta elemen realistik.
Namun, tidak dinafikan bahawa barisan pelakon yang berbakat juga menyumbang kepada kejayaan sesebuah filem. Blood Brothers: Bara Naga telah menampilkan watak-watak utama yang cukup digemari ramai, seperti Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, dan Amelia Henderson.
Pelakon yang berbakat dapat mendalami dan memberi ‘nyawa’ kepada karakter yang dimainkan, membuatkan penonton lebih menghayati penceritaan sesebuah filem.
Sebilangan pelakon-pelakon ini juga mempunyai pengikut mereka yang tersendiri. Syafiq Kyle umpamanya dikatakan mempunyai reputasi box-office, apabila banyak filem-filem yang dimainkannya mencatatkan kutipan yang memberangsangkan.
Promosi Memainkan Peranan
Penceritaan sesebuah filem dan pemilihan pelakon semestinya mendorong kepada kejayaan sesebuah karya.
Namun, dalam industri hiburan, pemasaran merupakan satu pelaburan. Pihak penerbit perlu menitikberatkan taktik pemasaran dan mengeluarkan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk mempromosikan filem mereka.
Di Barat, banyak penerbit filem membelanjakan hampir separuh daripada bajet keseluruhan mereka untuk tujuan pemasaran dan promosi global. Filem Avengers: Endgame yang diterbitkan pada tahun 2019 dikatakan membelanjakan $200 juta daripada keseluruhan $400 juta bajet filem mereka untuk tujuan pemasaran global.
Di Malaysia baru-baru ini, filem luar negara seperti Resident Evil dan Spider-Man: Brand New Day menawarkan poster percuma dengan pembelian tiket pawagam tertentu.
Barangan merchandise yang terhad bukan sahaja membantu kutipan keuntungan, malah bertindak sebagai taktik pemasaran untuk menarik minat penonton ke pawagam.
Penerbit juga harus berani membawa karya mereka ke peringkat antarabangsa dan tidak bergantung kepada sambutan penonton tempatan semata-mata.
Industri filem tempatan sememangnya mempunyai potensi. Persoalannya ialah sejauh mana pihak penerbit dapat memasarkan karya mereka sendiri.
