Belanjawan 2027 – RM459.8 Bilion Perbelanjaan Persekutuan, Ke Mana Wang Disalurkan?

Share it

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM459.8 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat 3.6% berbanding peruntukan tahun 2026, bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Belanjawan MADANI Kelima ini memberi penekanan kepada usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi, menangani tekanan kos sara hidup serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati secara lebih menyeluruh.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan itu dengan peruntukan RM376.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM83.0 bilion disediakan untuk perbelanjaan pembangunan bagi melaksanakan pelbagai program dan projek strategik negara.

Dari segi kedudukan kewangan, hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan meningkat sebanyak 4.7% kepada RM380.8 bilion pada 2027, berbanding RM363.6 bilion pada 2026.

Bagaimanapun, nisbah hasil kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menyusut sedikit kepada 16.4%, berbanding sekitar 16.6% pada 2026, menunjukkan bahawa kecekapan negara dalam menjana hasil masih lagi kurang efisien.

Dari segi prestasi ekonomi, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara diunjurkan berkembang antara 4.2% hingga 5.2% pada 2027. Unjuran ini mencerminkan jangkaan pertumbuhan ekonomi yang sederhana dan berterusan meskipun negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Pada masa sama, Kerajaan terus komited terhadap disiplin fiskal, dengan menyasarkan defisit fiskal sebanyak 3.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam aspek pengurusan hutang, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan diunjurkan sekitar RM1.5 trilion pada 2027, bersamaan 63.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu masih di bawah had statutori 65.0%.

Sementara itu, sebanyak RM61.0 bilion diperuntukkan bagi bayaran khidmat hutang yang meliputi kos faedah dan keuntungan pembiayaan kerajaan, bersamaan kira-kira 16.0% daripada jumlah hasil Kerajaan Persekutuan, berbanding 15.8% pada 2026.

Peningkatan ini menunjukkan trend yang kurang memberangsangkan kerana bayaran khidmat hutang merupakan perbelanjaan tidak produktif yang tidak menjana pulangan ekonomi secara langsung, sekali gus mengehadkan ruang fiskal kerajaan untuk membiayai pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Bagi sektor pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM) kekal menerima peruntukan tertinggi iaitu hampir RM69.0 bilion, meningkat daripada RM66.2 bilion pada 2026, manakala Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diperuntukkan RM19.1 bilion, berbanding RM18.6 bilion tahun sebelumnya, bagi memperkukuh kemudahan pembelajaran, pembangunan modal insan dan akses kepada pendidikan berkualiti.

Sektor kesihatan turut diberi perhatian dengan peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada RM47.7 bilion, berbanding RM46.5 bilion pada 2026, iaitu pertambahan sebanyak RM1.2 bilion bersamaan kira-kira 2.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun demikian, perbelanjaan kesihatan sebanyak 2.1% masih lagi jauh berbanding gesaan perbelanjaan 4.0% yang dimahukan, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM22.0 bilion pada 2027, meningkat daripada RM21.7 bilion dan RM21.2 bilion pada 2026, bagi memperkukuh keupayaan pertahanan, keselamatan serta ketenteraman negara.

Bagi memperluas pembangunan infrastruktur, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima RM12.7 bilion, manakala Kementerian Kerja Raya (KKR) diperuntukkan RM10.9 bilion bagi melaksanakan projek pembangunan serta menaik taraf kemudahan asas dan jaringan perhubungan.

Selain peruntukan kementerian, kerajaan turut menyediakan lebih RM80.0 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif, termasuk peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM15.0 bilion

Bagi menjaga kebajikan penjawat awam, kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak, manakala lebih 1.0 juta pesara kerajaan dan veteran menerima RM750. Bantuan tersebut akan disalurkan dalam dua kali pembayaran.

Selain itu, kerajaan juga meningkatkan peruntukan pembinaan dan penyelenggaraan kuarters kepada RM2.3 bilion, manakala kadar pencen minimum turut dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan, yang dijangka memanfaatkan hampir 59,000 penerima.

Salah satu langkah kerajaan yang menarik perhatian ramai adalah inisiatif kerajaan meningkatkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, buat pertama kali sejak 2010, selain mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak satu mata peratusan kepada 18.0% bagi pendapatan bercukai RM70,000 hingga RM100,000 dan 24.0% bagi RM100,000 hingga RM150,000. Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira lima juta pembayar cukai, dengan peningkatan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600.

Meskipun sebilangan penganalisis menjangkakan Belanjawan 2027 mungkin menjadi belanjawan terakhir yang dibentangkan Anwar Ibrahim sebelum memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), langkah yang diumumkan setakat ini belum menunjukkan petanda jelas ke arah tersebut.

Pengumuman peruntukan RM240 juta bagi persiapan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN pada September 2027 misalnya, memberi gambaran bahawa kerajaan masih merancang untuk meneruskan agenda pentadbirannya sehingga penghujung tahun depan. Ini sekali gus membuka kemungkinan bahawa satu lagi belanjawan akan dibentangkan sebelum Parlimen dibubarkan.

Penggal Parlimen semasa dijangka berakhir pada penghujung 2027, dengan PRU16 perlu diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028. Laporan media sebelum ini turut membangkitkan kemungkinan pilihan raya diadakan selepas temasya sukan tersebut, bagi membolehkan kerajaan memanfaatkan sentimen positif atau feel good factor yang terhasil daripada penganjurannya.