Perang Harga Minyak Bermula, Pasaran Saham Global Menjunam

Share it

Bursa Malaysia jatuh

Harga minyak dunia telah jatuh dengan mendadak susulan kegagalan Arab Saudi dan Rusia dalam menemui kata sepakat berkaitan jumlah kapasiti pengeluaran minyak. Rusia yang enggan mengurangkan pengeluaran minyak ketika persidangan OPEC di Vienna menerima tindak balas oleh Arab Saudi dimana Arab Saudi mengumumkan diskaun harga minyak kepada negara-negara pembeli serta menyatakan akan meningkatkan pengeluaran minyak pada bulan hadapan.

Minyak mentah Brent susut 24% semalam kepada $34.36 setong disusuli dengan tindak balas di pasaran saham dunia. Indeks S&P 500 jatuh 7.6% manakala Indeks Dow Jones pula turun 7.8%. Pasaran Saham Kuala Lumpur turut mengalami kejatuhan mendadak iaitu turun 3.97% kepada 1424 mata semalam.

Nilai matawang Ringgit juga susut 1.07% dari RM4.17 kepada RM4.21 bagi setiap dolar Amerika.

Perang harga yang dilancarkan oleh Arab Saudi ini akan memberi tekanan kepada industri minyak syel di Amerika Syarikat. Menurut Laporan Persekutuan Tenaga Dallas, industri minyak syel di Amerika memerlukan harga minyak untuk berlegar sekitar AS$48 hingga AS$52 setong untuk menampung kos pengeluaran.

harga minyak jatuh

Menurut data Agensi Maklumat Tenaga Amerika Syarikat, Malaysia pada tahun 2018 telah mengeluarkan sebanyak 750,000 tong minyak sehari. Ini bermaksud Malaysia pengeluaran minyak di Malaysia bersamaan dengan 0.75% daripada keseluruhan pengeluaran minyak global yang berjumlah 100 juta tong sekaligus tidak boleh memberi apa-apa tindak balas yang signifikan bagi mempengaruhi harga minyak global.

Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat mengeluarkan 18 juta tong minyak sehari manakala Arab Saudi mengeluarkan 12 juta tong minyak sehari. Keseluruhan 10 negara pengeluar minyak terbesar iaitu Amerika Syarikat, Arab Saudi, Rusia, Kanada, China, Iraq, Iran, UAE, Brazil dan Kuwait mendominasi 71% keseluruhan pengeluaran minyak dunia.

Harga Minyak Jatuh! Apa Kesannya Terhadap Malaysia?

Rakyat Malaysia dijangka akan terus menikmati harga minyak yang lebih rendah jika harga minyak dunia tidak kembali pulih. Minggu ini, harga runcit minyak petrol RON95 adalah RM1.89 seliter dimana ia RM0.19 ataupun 9.1% lebih rendah berbanding harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu pada RM2.08 seliter.

Menurut kiraan kasar Ekonomi Rakyat, berdasarkan harga minyak sekitar $34 setong, harga minyak runcit di seluruh Malaysia boleh diturunkan sehingga RM1.44 berbanding RM1.89 seliter kini yang dikira berasaskan harga minyak minggu lalu yang berlegar sekitar $50 setong.

Walaubagaimanapun, Kerajaan Malaysia kini akan terus berhadapan dengan cabaran besar dalam mencapai sasaran hasil RM244.5 bilion pada tahun ini. Kerajaan Malaysia pada Belanjawan lalu mengunjurkan akan menerima RM50.5 bilion hasil daripada petroleum bersandarkan purata harga minyak berlegar sekitar $62 setong.

Dalam kata lain, kerajaan Malaysia dijangka akan kehilangan sekitar RM22 bilion jika harga minyak dunia kekal rendah sepanjang tahun ini.

Kebergantungan hasil kerajaan Malaysia terhadap sektor petroleum telah meningkat belakangan ini. Pada tahun 2016, hasil minyak hanya menyumbangkan 14.6% dari keseluruhan hasil negara tetapi telah meningkat kepada 30.7% pada tahun lalu susulan pemansuhan GST serta pemberian dividen khas PETRONAS.

Buat sementara waktu, Kerajaan Malaysia tidak perlu lagi menanggung sebarang subsidi minyak kepada pengguna. Pada empat minggu pertama Disember 2019, kerajaan Malaysia telah membelanjakan RM427.5 juta untuk subsidi petrol dan diesel berdasarkan kenyataan mingguan dari Kementerian Kewangan.

Pengurusan fiskal Malaysia kini berada di bawah tekanan akibat jangkaan hasil yang lebih rendah berpunca dari harga minyak yang lebih murah serta kutipan cukai rendah gara-gara COVID-19 yang memberi impak kepada sektor pelancongan. Eksport negara juga dijangka terkesan akibat kelembapan ekonomi di negara China akibat kejutan permintaan.

Pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM20 bilion juga akan melebarkan lagi jurang defisit fiskal negara yang dijangka melebihi unjuran 3.4% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar seperti yang dinyatakan ketika pembentangan pakej rangsangan tempoh hari.

Kerajaan mempunyai pilihan untuk mengurangkan tekanan fiskal negara dengan mencukaikan penggunaan petroleum. Sebagai contoh, cukai RM0.40 dikenakan kepada harga runcit minyak sekaligus dapat menjana sekitar RM5.8 bilion berdasarkan jumlah penggunaan petroleum sebanyak 14.4 bilion liter setahun.

Namun langkah ini mungkin tidak popular buat kerajaan semasa kerana pemerintahan terdahulu mengapungkan harga runcit minyak jika harga minyak lebih rendah daripada siling RM2.08 yang telah ditetapkan sekaligus membuka ruang buat pihak pembangkang untuk mengkritik kerajaan.