Adakah Dunia & Gen Z Sedang Bergerak ke Arah Dominasi Politik Kanan?

Share it

Sekilas pandang, politik global hari ini kelihatan bergerak ke arah kanan. Parti sayap kanan dan populis mencatat kejayaan pilihan raya di beberapa negara Eropah.

Sebilangan penganalisis berpendapat trend ini digambarkan sebagai petanda dunia sedang bergerak ke arah kanan.

Terdapat juga spekulasi di internet menyatakan bahawa kebanyakan golongan Gen Z lebih cenderung ke parti politik yang berhaluan kanan termasuklah Malaysia.

Namun, apabila diteliti merentas lokasi dan generasi, khususnya dalam kalangan pengundi muda, naratif tersebut menjadi jauh lebih rumit.

Situasi Politik di Eropah dan Amerika

Di Eropah, parti-parti sayap kanan dan populis semakin mendapat sokongan susulan perubahan landskap politik serta kebimbangan masyarakat terhadap isu seperti imigresen, keselamatan dan identiti nasional.

Namun di kebanyakan negara Eropah, sokongan terhadap parti berhaluan kanan tidak semestinya berpunca daripada keyakinan ideologi yang mendalam. Sebaliknya, ia lebih mencerminkan keletihan pengundi terhadap parti arus perdana serta rasa tidak puas hati terhadap pengurusan ekonomi, tekanan kos sara hidup dan cabaran integrasi sosial.

Walaupun tokoh seperti Giorgia Meloni di Itali berjaya membentuk kerajaan, realiti fiskal, kehendak pasaran dan keperluan membina gabungan pemerintahan yang merangkumi pelbagai spektrum politik telah memaksa pendekatan yang lebih sederhana dan pragmatik.

Populariti politik kanan meningkat, namun keupayaannya untuk mendominasi secara menyeluruh kekal terhad.

Di Amerika Syarikat pula, gambaran bahawa dunia sedang “bergerak ke kanan” adalah lebih kabur.

Politik negara itu kekal terbahagi dua, dengan populisme kanan yang sering dikaitkan dengan Donald Trump berdepan tentangan sama kuat daripada blok liberal dan progresif.

Di sebilangan negara pula, keputusan pilihan raya yang sengit menyebakan kesukaran mencapai kata sepakat dalam sebilangan dasar-dasar Kerajaan. Keadaan ini sebenarnya menunjukkan terdapat pelbagai perbezaan dasar dalam kalangan gabungan politik yang memerintah kerana sokongan yang diterima mereka tidak ‘solid’ atau kukuh.

Di rantau Amerika latin, pengundi lazimnya bertindak balas terhadap keadaan ekonomi semasa. Kemenangan Javier Milei di Argentina lebih mencerminkan kemarahan rakyat terhadap inflasi yang tinggi dan beban hutang negara, bukannya sokongan jangka panjang terhadap ideologi politik kanan.

Di Asia pula, label kiri–kanan lazimnya kurang menentukan arah sokongan politik. Di India, Bharatiya Janata Party berjaya menarik sokongan belia melalui gabungan nasionalisme, pembangunan ekonomi dan kestabilan pentadbiran.

Di Jepun, Liberal Democratic Party mengekalkan kuasa bukan melalui gelombang ideologi, tetapi dengan menekankan kesinambungan dasar dan kestabilan politik.

Secara keseluruhan, dunia menyaksikan perubahan politik yang berterusan akibat faktor ekonomi, kekecewaan terhadap status quo, dan keutamaan pengundi yang semakin realistik.

Kecenderungan Politik Gen Z

Bagaimana pula dengan Generasi Z? Di sinilah naratif “dunia bergerak ke kanan” menjadi lebih kabur. Di banyak negara Barat, Gen Z cenderung menyokong dasar progresif dalam isu iklim, keadilan sosial dan hak minoriti.

Namun pada masa yang sama, sebahagian mereka, terutamanya lelaki muda menunjukkan keterbukaan terhadap idea konservatif berkaitan ekonomi, kebebasan bersuara dan penolakan politik identiti yang dianggap berlebihan.

Gen Z membesar dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi, pasaran pekerjaan yang tidak menentu, serta media sosial yang dipenuhi perdebatan ideologi. Kesannya, sokongan politik mereka lebih pelbagai dan bersifat praktikal.

Politik Malaysia Pasca Pilihanraya Umum Ke-15

Di Malaysia, garis pemisah kiri–kanan ala Barat tidak begitu jelas. Namun, dalam konteks PRU15, sokongan orang muda, terutama pengundi kali pertama hasil UNDI18 yang memberi lonjakan ketara kepada parti yang membawa naratif agama, identiti dan moral konservatif, khususnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam gabungan Perikatan Nasional.

Kejayaan besar gabungan ini di beberapa negeri, terutamanya di Pantai Timur dan Utara Semenanjung, sering dikaitkan dengan sokongan pengundi muda Melayu.

Namun, mentafsir fenomena ini sebagai “Gen Z Malaysia bergerak ke kanan” perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Data pasca pilihan raya dan pemerhatian penganalisis menunjukkan bahawa sokongan tersebut kurang didorong oleh ideologi kanan secara menyeluruh, sebaliknya oleh beberapa faktor praktikal.

Antaranya ialah kekecewaan terhadap elit politik lama, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan yang terhad, isu agama & perkauman serta daya tarikan kempen digital yang agresif dan berkesan di media sosial.

Gen Z bukan satu blok ideologi yang padu, tetapi terpecah mengikut latar sosioekonomi, pendidikan dan persekitaran digital.

Apa yang dibuktikan semasa PRU15 ialah bagaimana parti berhaluan konservatif seperti PAS dan BERSATU berjaya menghantar mesej bahawa mereka adalah parti yang anti-status quo, walaupun berakar pada nilai tradisional.

Dalam hal ini, situasi Malaysia selari dengan trend global. Walau bagaimanapun, bagi pengundi muda, ideologi bukan segala-galanya. Faktor-faktor lain seperti isu ekonomi dan sosial turut mempengaruhi pola pengundian mereka. Namun kekal yang paling utama, adalah identiti.

Pengundi Melayu dan Bumiputera kekal bakal menyokong parti yang membawa suara mereka. Begitu etnik-etnik lain di negara ini. Idea-idea progresif tetap akan dipinggirkan.