B40 Semakin Ketinggalan, Malaysia Gagal Capai Sasaran RMK-11

Share it

Jabatan Perangkaan Malaysia ( DOSM ) baru saja mengeluarkan Laporan Penyiasatan Isi Rumah ( HIS2019 ) untuk tahun 2019. HIS2019 ini boleh diibaratkan sebagai ibu segala laporan dalam senarai laporan yang dikeluarkan oleh DOSM dan menjadi rujukan utama buat penyelidik bagi mengukur keadaan isi rumah di Malaysia.

Pujian harus diberikan kepada DOSM terhadap laporan terbaru ini atas inisiatif mereka menyemak semula Pendapatan Garis Kemiskinan ( PLI ) selain mengelaskan kumpulan isi rumah kepada 10 kumpulan. DOSM juga mengambil langkah yang tepat dengan memasukkan petunjuk kemiskinan relatif di dalam laporan ini dimana ia seiring dengan keadaan Malaysia yang ingin menuju ke dalam status ‘negara berpendapatan tinggi’.

Hasil dapatan daripada HIS2019 ini amat menyedihkan dan mengecewakan. Secara amnya, laporan ini menunjukkan Malaysia telah gagal dalam segenap aspek seperti yang disasarkan di dalam Rancangan Malaysia ke-11. Golongan B40 yang sepatutnya diberikan fokus yang lebih oleh kerajaan sedang ketinggalan dalam arus pembangunan negara ini.

Peningkatan pendapatan isi rumah di Malaysia semakin perlahan jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lalu. Golongan kaya pula kelihatan meraih manfaat yang lebih besar belakangan ini sekaligus melebarkan jurang ketidaksamaan di Malaysia.

 

Apa Yang Kita Sasar dan Apa Yang Kita Capai?

Di dalam Rancangan Malaysia ke-11, Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan penengah B40 kepada RM5,701 iaitu 90% lebih tinggi berbanding RM3,000 yang dicapai pada 2016. Angka sasaran ini sememangnya tidak realistik dan syok sendiri dari awal lagi kerana hampir mustahil untuk isi rumah dapat menggandakan pendapatan mereka dalam tempoh lima tahun. Tahun lepas, pendapatan isi rumah hanya meningkat dari RM3,000 pada 2016 kepada RM3,166.

Namun tidak mencapai sasaran yang disasarkan di dalam RMK11 bukanlah sesuatu yang menyedihkan. Apa yang lebih mengecewakan adalah pertumbuhan pendapatan B40 semakin perlahan jika dibandingkan pada tempoh lalu. Pertumbuhan pendapatan penengah B40 hanya meningkat 1.8% secara tahunan.

Angka ini lebih rendah berbanding apa yang dicatatkan pada 2016 dimana B40 mencatatkan peningkatan sebanyak 6.6% secara tahunan dari RM2,629 pada 2014 kepada RM3,000 pada 2016. Ini bermaksud pertumbuhan pendapatan untuk golongan B40 telah menurun 73% berbanding apa yang dicatatkan dahulu.

Perkara ini perlu diambil perhatian secara serius oleh kerajaan dan pihak yang terlibat. Peratusan pertumbuhan untuk golongan B40 sepatutnya lebih tinggi berbanding kumpulan M40 dan T20 sekaligus memberikan mereka ruang untuk mengejar kumpulan yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi. Namun hakikatnya tidak begitu.

Pendapatan M40 di Malaysia meningkat 4.1% dari RM6,275 pada 2016 kepada RM7,093 pada 2019  manakala pendapatan T20 tumbuh 4.5% dari RM13,148 kepada RM15,301 dalam tempoh yang sama.

Pekali Gini yang mengukur jurang ketidaksamaan pendapatan juga menunjukkan ketidaksamaan di Malaysia semakin melebar. Pekali Gini yang lebih tinggi bermaksud pendapatan tidak diagihkan dengan sama rata. Petunjuk ini telah naik kepada 0.407 berbanding 0.399 yang dicatatkan pada 2016.

Angka ini lebih teruk berbanding apa yang dicatatkan pada 2014 dimana pekali Gini pada ketika itu adalah 0.401. Dalam kata lain, untuk tempoh enam tahun yang lepas, kita telah gagal dalam mengurangkan ketidaksamaan pendapatan di dalam negara ini.

Menurut sasaran di dalam RMK-11, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan kepada 0.385 menjelang 2020. Untuk tidak berhalusinasi, kita harus akui hakikat bahawa sasaran ini tidak akan dicapai bahkan jurang ketidaksamaan mungkin akan terus melebar jika tiada sebarang langkah diambil bagi menangani isu ini.

B40 Semakin Tertekan!!!

Golongan B40 di negara ini hanya memperoleh RM16.00 dari setiap RM100 pendapatan isi rumah yang diterima. Angka ini lebih rendah berbanding apa yang dicatatkan pada tahun 2016 dan 2014. Pada tahun 2016, B40 memperoleh RM16.40 manakala pada tahun 2014, B40 memperoleh RM16.80.

Dalam kata lain, agihan pendapatan semakin tidak seimbang di Malaysia. Golongan kaya seperti T20 pula meningkatkan pendapatan mereka dari RM46.10 pada 2014 kepada RM46.20 pada 2016. Terkini, pendapatan 20% orang-orang ‘kaya’ di Malaysia terus meningkat kepada RM46.80 bagi setiap RM100.

Kemiskinan Semakin Berkurangan, Namun Orang Susah Masih Ramai

Mengikut kaedah kiraan baru dimana PLI ditingkatkan dari RM980 kepada RM2,208, kadar kemiskinan telah menurun dari 7.6% kepada 5.6% di seluruh Malaysia. Ini bermaksud terdapat kira-kira 405,000 isi rumah yang berada di dalam kemiskinan.

Pengenalan kaedah kiraan baru ini bagi memastikan kerajaan tidak terlepas pandang dengan realiti di jalanan.

Meskipun hanya 5.6% berada di bawah pendapatan RM2,208, namun harus diingatkan ratusan ribu lagi isi rumah masih hidup di dalam kepayahan namun tidak tersenarai di dalam statistik ini. Lihat saja dengan kadar kemiskinan relatif yang sedang berada pada paras 16.9% iaitu satu peratus lebih tinggi berbanding 15.9% yang dicatatkan pada 2016.

Had kemiskinan relatif ini hanyalah separuh dari pendapatan penengah iaitu RM2,937 ataupun RM729 lebih tinggi berbanding PLI. Namun dengan menaikkan threshold sebanyak 33%, kadar kemiskinan ‘relatif’ meningkat kepada hampir tiga kali ganda. Data DOSM juga menunjukkan 20% isi rumah di Malaysia memperoleh pendapatan di bawah RM3,170.

Ini bermaksud terdapat 1.2 juta isi rumah berada di dalam kemiskinan relatif manakala terdapat 1,46 juta isi rumah memperoleh pendapatan di bawah RM3,170. Golongan ini harus diberikan perhatian bagi memastikan keadaan isi rumah mereka sentiasa dibantu sekaligus dapat memastikan kualiti kehidupan mereka dapat ditingkatkan.