Bagaimana Bernard Arnault (Bos LVMH) Menjadi Manusia Terkaya di Dunia?

Share it
Kylian Mbappe sebagai duta jenama jam tangan TagHeuer

Jika anda diminta untuk menyebut jenama-jenama barangan mewah yang ada pada ketika ini, sudah pasti anda tidak akan terlepas untuk menamakan label-label seperti Louis Vuitton, Christion Dior ataupun Hublot.

Label-label tersebut merupakan sebahagian daripada 75 koleksi jenama barangan mewah yang dimiliki oleh LVMH Moët Hennessy Louis Vuitton (LVMH) yang merupakan sebuah syarikat gergasi barangan mewah yang berpangkalan di kota Paris.

LVMH terbentuk pada tahun 1987 apabila Louis Vuitton bergabung dengan syarikat pengeluar minuman keras champane dan cognac, Moet Hennenssy sekaligus menjadikan entiti berkenaan sebagai peneraju barangan mewah dunia.

Dari detik itu, LVMH melakukan beberapa siri pengambilalihan bagi mengukuhkan dominasi mereka terhadap industri barangan mewah. Givenchy, TagHeuer, Fendi, Loro Piana, Christian Dior dan Tiffany & Co. merupakan antara jenama-jenama barangan mewah yang telah dibeli oleh LVMH.

Sephora pula dibeli oleh LVMH pada tahun 1997 bagi menguasai rantaian peruncitan sekaligus memudahkan LVMH menjual sebahagian produk mereka seperti minyak wangi dan produk kosmetik secara terus kepada pengguna.

Setelah 35 tahun syarikat ini beroperasi, LVMH yang disenaraikan di Euronext kini bernilai $500 bilion (RM2.2 trilion) dengan hasil tahunan sebanyak $87 bilion (RM426.1 bilion). Arkitek di sebalik kejayaan ini, Bernard Arnault yang menguasai 48.2% pemilikan LVMH dinobatkan sebagai orang paling kaya di dunia, mengatasi Elon Musk pada tahun 2023 dengan nilai kekayaan sebanyak $212 bilion (RM940.1 billion).

*Elon Musk pada tahun 2023 mempunyai kekayaan sebanyak $165 bilion (RM732.2 bilion)

Pecahkan Dominasi Teknologi, Prestij Bermaharajalela

Untuk sekian lama, pemilik-pemilik syarikat teknologi mendominasi carta teratas orang paling kaya di dunia. Dari tahun 2014 hingga 2017, pengasas Microsoft, Bill Gates dinobatkan sebagai orang paling kaya di dunia, diikuti oleh Jeff Bezos (Amazon) pada tahun 2018-2021 dan Elon Musk (Tesla/SpaceX) pada tahun 2022.

Teori value-creation menerangkan mengapa individu-individu seperti Bill Gates, Jeff Bezos dan Elon Musk layak dinobatkan sebagai orang paling kaya di dunia. Nilai tambah hasil produk-produk yang diperkenalkan syarikat-syarikat teknologi ini dikatakan memudahkan urusan kehidupan harian orang ramai, lantas mencerminkan nilai syarikat mereka yang tinggi.

Ya, tidak boleh dinafikan, Microsoft telah membantu komputer di seluruh dunia beroperasi. Begitu juga dengan Amazon yang telah mengubah cara pengguna membeli barang yang kini semuanya di hujung jari. Namun bagaimana pula dengan LVMH? Apakah nilai tambah sebenar yang dicipta syarikat barangan mewah ini sehingga mampu mencecah nilai $500 bilion?

Hakikatnya….syarikat ini tidak mewujudkan nilai tambah sebenar. Jam tangan Hublot Big Bang bernilai RM57,000 memberikan ketepatan masa yang sama sahaja dengan telefon pintar Xiaomi buatan China. Beg tangan yang dibeli di Bonia turut dapat memuatkan seberapa banyak barangan yang ingin disumbat di dalam beg tangan Christian Dior.

Prestij dan Reputasi

Kedua-dua kalimat di atas inilah strategi LVMH di dalam mewujudkan nilai terhadap label-label jenama mereka, sehinggakan produk mereka menjadi dambaan golongan elit seluruh dunia.

LVMH rekodkan margin keuntungan kasar sebanyak 68.4% pada tahun 2022

Pada tahun 2022, LVMH membelanjakan $31 bilion (RM137.6 bilion) untuk tujuan pemasaran, lebih tinggi berbanding kos jualan atau penghasilan produk mereka yang bernilai $27.53 bilion (RM122.1 bilion). Langkah strategi pemasaran dan penjenamaan LVMH mereka sememangnya bukan kaleng-kaleng.

Personaliti terkemuka seperti Anne Hathaway, Kylian Mbappe, Zendaya, Charlize Theron, Beyonce, Rihanna dan Natalie Portman antara wajah-wajah yang menjadi poster boy atau poster girl jenama-jenama mereka pada tahun lalu.

Penyata kewangan LVMH juga menunjukkan bahawa syarikat barangan mewah ini merekodkan margin keuntungan kasar yang begitu tinggi iaitu sebanyak 68.4%. Dalam erti kata lain, bagi setiap RM1 yang dijual oleh LVMH, syarikat ini meraih keuntungan kasar sebanyak 68 sen, satu angka yang besar jika dibandingkan dengan margin keuntungan di sektor-sektor lain.

Namun margin keuntungan besar ini tidaklah begitu menghairankan. Hal ini kerana jika diteliti dengan lebih mendalam, produk-produk mereka seperti liquor ataupun beg tangan kulit tidak memerlukan sebarang teknologi rocket-science untuk dihasilkan sekaligus membolehkan LVMH mengekalkan kos pengeluaran yang rendah.

Anne Hathaway memperagakan koleksi barangan kemas Bulgari

Orang Kaya Terus Berbelanja…..

LVMH yang merekodkan keuntungan bersih sebanyak $15.52 bilion (RM68.9 bilion) pada tahun 2022 dijangka akan terus mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan pada tahun-tahun mendatang. Pembukaan semula ekonomi global pasca-Covid 19 sememangnya memberikan booster buat LVMH yang menyaksikan hasil mereka meningkat 23% pada tahun 2022 berbanding tahun 2021.

Generasi kaya baru yang terhasil di China dikatakan akan terus memacu jualan syarikat barangan mewah ini. Mengikut statistik yang dikongsikan oleh LVMH, pasaran Asia menyumbang 37% daripada keseluruhan jualan mereka pada tahun 2022 mengatasi pasaran Amerika Syarikat (27%) mahupun Eropah (24%).

*Hasil LVMH untuk suku pertama 2023 naik 17% dari $19.8 bilion kepada $23.2 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022.

Sentimen pelabur terhadap LVMH juga kekal positif. Kini, LVMH menjadi syarikat pertama dari Eropah yang berjaya memecah nilai modal pasaran melebihi $500 bilion setelah nilai saham LVMH naik 218% dari €284.40 pada lima tahun yang lalu kepada €904.10. Satu pencapaian yang membanggakan bagi syarikat yang menjual prestij dan reputasi.