Bos Top Glove, Lim Wee Chai Bakal Terima RM707 Juta Dividen Pada 23 Mac ini

Share it
Keuntungan Selepas Cukai Top Glove

Syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove mencatatkan keuntungan besar pada suku kedua bagi tahun kewangan 2021. Syarikat tersebut merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.9 bilion, 24 kali ganda lebih tinggi berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Hasil Top Glove juga mencanak naik kepada RM5.3 bilion susulan permintaan luar biasa sarung tangan disebabkan pandemik Covid-19, meningkat lebih empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Pengasas Top Glove, Lim Wee Chai yang memegang 35% saham Top Glove dijangka bakal menerima dividen sebanyak RM707 juta pada 23 Mac ini setelah Top Glove mengisytiharkan dividen 25.2 sen sesaham.

Pada Disember lalu, beliau yang mempunyai kekayaan bernilai hampir RM15 bilion telah menerima dividen sebanyak RM460 juta. Ini bermaksud jumlah dalam tempoh enam bulan yang lepas, beliau menerima keseluruhan RM1.16 bilion pulangan dividen.

Seminar Saham

Top Glove pada tahun kewangan ini diunjurkan meraih keuntungan sebanyak RM9.3 bilion, 455% lebih tinggi berbanding tahun lalu. Pendapatan juga dianggarkan meningkat melebihi RM20 bilion pada tahun ini.

Top Glove Belanja RM438 Juta Untuk Beli Balik Saham Syarikat Mereka

Beli Balik Saham

Modal Pasaran syarikat ini kini bernilai RM41 bilion sekaligus meletakkan Top Glove sebagai syarikat ketujuh terbesar yang tersenarai di dalam Bursa Malaysia. Dalam kata lain, nilai pasaran Top Glove hampir menyamai nilai gabungan kedua-dua syarikat RHB Bank Berhad dan Genting Malaysia Berhad.

Syarikat ini juga telah menjalankan operasi membeli balik saham dengan aktif apabila membeli balik saham Top Glove kira-kira sebanyak RM438 juta sejak 20 November tahun lalu. Ini bermaksud Top Glove kini memegang saham syarikat mereka sebanyak 202 juta unit ataupun bersamaan RM1.1 bilion setelah berbelanja ratusan juta ringgit untuk aktiviti membeli balik saham tahun lepas.

Aktiviti membeli balik saham oleh syarikat yang tersenarai sering dikritik kerana langkah tersebut dianggap sebagai kurang produktif berbanding membuat pelaburan ataupun meningkatkan gaji pekerja.

Lim Wee Chai Terima RM1.167 Bilion Dividen Dalam Tempoh Kurang Enam Bulan

Top Glove sebelum ini dilanda pelbagai kontroversi apabila lebih 5,000 orang disahkan positif Covid-19 yang berpunca dari kluster Teratai. Selain itu, pentadbiran Amerika Syarikat juga melarang dua anak syarikat Top Glove untuk mengimport barangannya masuk ke AS atas dakwaan layanan buruk terhadap pekerja.

Syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan yang meraih durian runtuh gara-gara krisis kesihatan ini juga menjadi sasaran beberapa pihak untuk mengenakan cukai durian runtuh susulan keuntungan besar yang dinikmati mereka.

Dua minggu lalu, laporan Nikkei Asia menyatakan bahawa Top Glove berminat untuk menyenaraikan saham syarikat teresbut di Hong Kong meskipun proses vaksinasi sedang berlangsung. Menurut Top Glove, mereka positif terhadap prospek pasca-Covid dan berharap dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar sarung tangan terbesar dunia.