CoffeeSpace: Tinder Untuk Co-Founder yang Diasaskan Anak Malaysia Kini Bernilai RM34 Juta

Share it

Bayangkan anda frust dengan perangai bos anda, lalu mahu berhenti kerja untuk membina sebuah startup. Masalahnya, idea ada tetapi rakan pengasas (co-founder) tiada.

Di sinilah CoffeeSpace muncul. Diasaskan oleh Hazim Mohamad bersama Carin Gan dan Fauzan Maulana, aplikasi ini bertujuan menyelesaikan masalah besar yang sering menghantui pengasas baru iaitu mencari co-founder yang sesuai.

Melalui CoffeeSpace, pengguna boleh membina profil dengan memaparkan latar belakang pendidikan, pengalaman kerja serta aspirasi mereka. Jika berminat dengan seseorang, mereka boleh swipe right untuk cuba match. Kaedahnya hampir serupa dengan aplikasi dating seperti Tinder, Bumble atau Hinge.

Hazim Mohamad ketika ditemuramah secara online oleh Ekonomi Rakyat

Hazim ketika ditemuramah Ekonomi Rakyat sendiri mengakui, ketika awal pelancaran pada 2024, mereka memasarkan aplikasi ini dengan tagline “Hinge for Co-Founders” atau “Tinder for Co-Founders”.

Masalah Eksistensial: Tak Jumpa Co-Founder

Idea CoffeeSpace tercetus semasa Hazim mengikuti program accelerator di Austin, Texas. Ramai peserta menghadapi masalah sama iaitu tidak mempunyai co-founder.

Masa kita tengah melalui program accelerator di Austin, Texas. Ada ramai dalam kita punya cohort. Ada dalam 40 orang, tapi 20 orang adalah peserta solo…. Ini existential problem. Kalau kita tak jumpa co-founder, kita tak boleh mulakan buat syarikat, dan kita tak boleh nak dapatkan pelaburan daripada venture capital, angel investor.

Pada fasa awal, CoffeeSpace tidak menggunakan teknologi canggih. Hanya Google Form untuk mengumpul maklumat pengguna, manakala proses ‘matching’ dibuat secara manual di papan putih.

Namun, cabaran utama ialah jumlah pengguna yang kecil.

Dia macam Chicken and Egg punya problem. Apa-apa nak start social platform awal, kalau tak ada orang pakai, dia macam tak cool nak pakai… Kalau tak ada orang pakai, you tak boleh match-kan… Tapi bila 300 orang ada dalam sesuatu bandar itu, orang akan rasa ada pilihan yang cukup. Uber pun sama, kalau tak cukup driver, kena tunggu setengah jam. Orang akan pakai teksi.

Privasi dan Tarikan CoffeeSpace

CoffeeSpace berbeza daripada LinkedIn. Identiti pengguna tidak terbuka, menjadikannya selamat untuk mereka yang masih bekerja sepenuh masa tetapi mencari peluang baru.

Ramai orang, nak share dia punya pekerjaan, dia takut bos dia tahu. Nanti dia tak dapat promotion. Ini (CoffeeSpace) bukan macam LinkedIn, boleh cari. Dia macam Tinder, you tak boleh tahu siapa dekat Tinder. You swipe dan jumpa orang.

Kalau bos you pun join CoffeeSpace, maknanyan dia pun nak cuba buat company lain. Itu bukan masalah sangatlah.

Tinjauan Ekonomi Rakyat mendapati aplikasi ini di Malaysia kerap digunakan oleh pekerja GLC, MNC dan startup termasuk beberapa CEO syarikat ternama. Ada juga startup founder yang turut berada di dalam CoffeeSpace.

Hazim berkata terdapat sekitar 700-800 pengguna mereka yang berada di Malaysia, dengan sebahagian besar daripada mereka tertumpu di Kuala Lumpur.

Setakat ini, CoffeeSpace merekodkan lebih 1.4 juta swipes dengan 20,000 pengguna di seluruh dunia, hanya dalam tempoh 18 bulan selepas dilancarkan.

Model Perniagaan: Dari Langganan ke B2B

CoffeeSpace menjana pendapatan melalui dua model. Pertama ialah model langganan, yang berfungsi hampir sama seperti Tinder atau Bumble. Pengguna yang melanggan akan mendapat lebih banyak kredit untuk melakukan swipe dan meningkatkan peluang mereka bertemu calon co-founder yang sesuai.

Kedua, CoffeeSpace menawarkan perkhidmatan kepada syarikat secara B2B. Melalui kaedah ini, syarikat yang ingin mencari calon pekerja dengan kemahiran khusus boleh menggunakan platform CoffeeSpace sebagai alternatif kepada agensi pencarian kerja. Bayaran untuk setiap calon melalui perkhidmatan ini jauh lebih tinggi, iaitu antara $1,000 hingga $5,000 berbanding bayaran langganan bulanan sebanyak $25 hingga $50.

Banyak orang bayar $25, $50 sebulan. Dan betul, bila seseorang pengguna itu sedang cari orang. Lepas itu dia tak bayar dah. Tapi itu tak ada masalah. Sebab macam Airbnb, dia berfungsi bila orang nak pergi bercuti. Bukan tiap-tiap hari orang pergi bercuti. Mungkin setahun sekali atau dua kali sahaja.

Tapi bagi kita, orang akan cari co-founder…. Mungkin dia akan cari co-founder nombor dua, nombor tiga.

Jadi, daripada mereka (syarikat) menggunakan agensi pekerjaan untuk mencari pekerja. Mereka juga boleh pakai platform kita untuk dapat calon. Dan mereka bayar lagi tinggi daripada $25-$50. Lebih kurang $1,000 hingga $5,000 mereka bayar untuk satu calon. Kita dah beri servis ini kepada beberapa syarikat juga lah.

Kini Bernilai RM34 Juta

Setakat ini, CoffeeSpace telah mengumpul pelaburan sebanyak $1 juta (RM4.5 juta) dengan penilaian syarikat mencecah $8 juta (RM34 juta). Hazim turut mendedahkan CoffeeSpace merancang satu lagi pusingan fundraising menjelang suku keempat tahun hadapan, bergantung pada traction mereka.

Baca artikel Bahagian Ke-2.