
Cubaan terbaru Senator Elizabeth Warren dari Massachusetts yang mewakili Demokrat untuk mengusulkan Rang Undang-undang bagi mencukaikan golongan kaya di Amerika Syarikat kini semakin popular dalam kalangan rakyat Amerika.
Cadangan ini turut memberikan reaksi yang positif dalam kalangan penyokong Republikan setelah hampir 10 juta orang di Amerika Syarikat kehilangan pekerjaan akibat pandemik Coronavirus. Tinjauan Hill-HarissX menunjukkan lebih dua per tiga responden di sana bersetuju agar bilionair dikenakan cukai kekayaan bagi mengurangkan ketidaksamaan.
Ahli ekonomi dari University of California Berkeley, Emmanuel Saez dan Gabriel Zucman di dalam suratnya kepada Senator Elizabeth Warren menganggarkan $3 trilion bakal dijana oleh Pentadbiran Amerika Syarikat dalam tempoh 10 tahun melalui cukai kekayaan.
Cukai sebanyak 2% dirancang untuk dikenakan kepada mereka yang mempunyai kekayaan melebihi $50 juta manakala tambahan 1% cukai kepada individu yang mempunyai kekayaan melebihi $1 bilion.
Menurut kedua-dua ahli akademik ini, sebanyak 100,000 keluarga di Amerika Syarikat bakal dicukaikan jika usul ini diluluskan. Anggaran sebanyak $250 bilion ataupun sekitar 1% dari keseluruhan ekonomi Amerika bakal dikutip oleh kerajaan secara tahunan pada tahun-tahun awal cukai ini diperkenalkan.

Ketidaksamaan kekayaan di Amerika Syarikat semakin melebar sejak tahun 70-an. Kekayaan golongan terkaya 0.1% meningkat dari sekitar 7% pada tahun 70-an kepada sekitar 20% dari keseluruhan kekayaan isi rumah belakangan ini manakala kekayaan kumpulan terbawah 90% telah jatuh dari 35% pada tahun 80-an kepada 25% pada hari ini.
Kajian Saez, Zucman dan Piketty pada tahun tahun 2018 menunjukkan beban cukai golongan terkaya 0.1% ini hanyalah 3.2% daripada keseluruhan kekayaan mereka. Angka ini lebih rendah berbanding beban cukai kumpulan 99% terbawah dimana jumlah beban cukai mereka berada di paras 7.2%. Dalam kata lain, golongan terkaya di Amerika Syarikat secara relatifnya membayar cukai yang lebih rendah berbanding kumpulan lain.
Beban cukai yang rendah dalam kalangan kumpulan terkaya ini disebabkan sistem cukai bersifat regresif dimana kebanyakkan cukai dikenakan terhadap pendapatan buruh seperti gaji dari aktiviti bekerja.
Manakala bagi kumpulan terkaya, pendapatan yang diraih mereka adalah daripada kekayaan atau aset mereka seperti pulangan dividen dari pasaran saham yang mana tidak dicukaikan oleh kerajaan. Pengenalan cukai kekayaan di Amerika Syarikat dijangka akan meningkatkan beban cukai kumpulan terkaya dari 3.2% kepada 4.3% berbanding kekayaan mereka.

Idea-idea ekonomi berhaluan kiri kini semakin mendapat tempat di Amerika Syarikat setelah Joe Biden berjaya menewaskan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang pro golongan kaya. Demokrat juga kini dalam usaha untuk meningkatkan gaji minimum di seluruh Amerika Syarikat kepada $15 dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Ikuti saluran Telegram kami untuk perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY