1.9 Juta Graduan Kerja Dibawah Kelayakan

Graduan Kerja Dibawah Kelayakan
Share it

Jumlah graduan yang bekerja di bawah kelayakan akademik telah meningkat 22% kepada 1.89 juta orang pada suku keempat 2020 berbanding suku keempat 2019 menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Angka terbaru ini menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 346,000 graduan yang dianggap sebagai underemployed ( Guna Tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran ) berbanding setahun yang lalu

Apakah itu underemployment ataupun guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran?

Underemployment merupakan keadaan dimana pekerja tersebut mempunyai pendidikan tertiari seperti diploma ataupun ijazah namun bekerja di dalam pekerjaan berkategori separuh mahir ataupun berkemahiran rendah.

Sebagai contoh, seorang pemegang ijazah sarjana muda yang bekerja sebagai juruwang di kedai serbaneka ataupun seorang juruterbang yang bekerja sebagai penghantar makanan. Golongan ini dikategorikan oleh Jabatan Perangkaan sebagai underemployed.

Isu underemployment ini jarang sekali dibicarakan dalam khalayak ramai kerana tumpuan sering diberikan terhadap angka-angka pengangguran. Isu ini sudah menjadi barah sejak sekian lama dimana pada tahun 2019, negara kita sudah mempunyai 1.46 juta graduan yang bekerja dibawah kemahiran mereka.

Ini bermaksud segala bakat, ilmu dan potensi yang diraih oleh graduan tersebut ketika melanjutkan pelajaran tidak digunakan secara optimum ketika mereka memasuki pasaran buruh. Perkara ini telah menjadi semakin teruk apabila ribuan pekerja seperti jurutera, juruterbang dan sebagainya telah diberhentikan akibat pandemik Covid-19.

Terdapat 894,000 individu berusia di dalam lingkungan 25 tahun hingga 34 tahun berada di kategori underemployed diikuti mereka yang berusia 35 hingga 44 tahun iaitu seramai 445,200 orang.

 

Laporan Survei Tenaga Buruh turut mendedahkan masalah besar dalam pasaran buruh kita. Seramai 533,700 orang pekerja dilaporkan bekerja kurang daripada 30 jam seminggu iaitu peningkatan sebanyak 230,000 ataupun bersamaan dengan 75% berbanding pada suku keempat 2019.

Statistik ini bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan malahan merupakan petunjuk buruk terhadap pasaran buruh kita. Pengurangan waktu bekerja dari 40-48 jam seminggu kepada kurang daripada 30 jam seminggu boleh diterjemahkan kepada pengurangan pendapatan pekerja tersebut.

Kadar Pengangguran Tidak Mencerminkan Masalah Sebenar

Ya. Ramai pihak berpandangan bahawa kadar pengangguran di Malaysia kekal terkawal pada 4.8% dengan hanya 760,700 orang sahaja yang dianggap menganggur. Hakikatnya, masalah di dalam pasaran buruh lebih besar berbanding kadar pengangguran.

Negara kita telah mengalami penurunan sebanyak 0.3 mata peratus di dalam Kadar Penyertaan Tenaga Buruh kepada 68.4% dimana menyaksikan terdapat ratusan ribu orang keluar dari pasaran buruh terutamanya dalam kalangan wanita.

Dakwaan Graduan Memilih Pekerjaan, Tidak Berkemahiran Adalah Mitos

Angka-angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia turut menidakkan segala dakwaan liar yang dilemparkan terhadap graduan. Kegagalan graduan mendapat pekerjaan seringkali dimomokkan dengan penjelasan tidak masuk akal seperti graduan tidak pandai berbahasa Inggeris, tidak petah bercakap, tidak boleh berfikir dengan kritis, minta gaji tinggi dan memilih pekerjaan.

Namun seperti yang telah dirungkaikan di dalam dua artikel yang ditulis pada tahun lalu. Hakikatnya graduan-graduan di Malaysia tidak mempunyai pekerjaan kerana peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan mereka tidak ada.

Keadaan ini sudah sedia teruk semasa sebelum pandemik. Pada tahun 2019, hampir kesemua pencari kerja adalah graduan. 90 dari 100 orang yang aktif mencari kerja adalah graduan. Malang sekali, peluang pekerjaan yang disediakan untuk graduan hampir tidak wujud. Hanya 8 dari 100 peluang pekerjaan yang disediakan adalah untuk graduan.

Data Bank Negara Malaysia juga menunjukkan hanya 37% pekerjaan-pekerjaan yang baru dicipta di Malaysia merupakan pekerjaan berkemahiran tinggi. Dengan jumlah lepasan universiti yang meningkat saban tahun, pasaran buruh di negara ini tidak mampu untuk menawarkan kerja-kerja yang berkemahiran tinggi kepada golongan ini.

Akhirnya, graduan juga yang dipersalahkan oleh majikan dan pembuat dasar atas isu pengangguran dalam kalangan graduan. Para majikan tidak akan mengaku bahawa mereka gagal untuk menawarkan pekerjaan kepada graduan. Sebaliknya, mereka mula menuding jari terhadap graduan itu sendiri.

Tenaga buruh Malaysia pada saat ini merupakan tenaga buruh paling berpendidikan di dalam sejarah Malaysia. Data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 33.3% ataupun 5.05 juta dari keseluruhan tenaga buruh kita mempunyai pendidikan tertiari.

Peratusan dalam kalangan tenaga buruh wanita juga jauh lebih tinggi. Seramai 2.58 juta ataupun 41.9% tenaga buruh wanita merupakan graduan pendidikan tinggi. Dalam kata lain, untuk mengatakan bahawa graduan ataupun tenaga buruh kita sebagai kurang berkemahiran, tidak fasih berbahasa Inggeris adalah mitos semata-mata.

Menyelesaikan Masalah Pengangguran & Underemployment Dalam Kalangan Graduan

Langkah pertama untuk menyelesaikan masalah adalah dengan mengenalpasti punca masalah. Punca masalah di dalam isu pengangguran dan underemployment dalam kalangan graduan ini adalah ketiadaan kerja. Oleh itu, kerajaan perlu mencari satu rumus untuk mewujudkan pekerjaan-pekerjaan yang berkualiti kepada graduan kita.

Langkah-langkah untuk meningkatkan kemahiran atau dipanggil upskilling langsung tidak akan menyelesaikan masalah ini. Kenapa? Kemahiran tidak memberi apa-apa makna jika tiada pekerjaan setimpal yang ditawarkan.

Contoh mudah adalah seorang juruterbang yang tidak mempunyai pekerjaan dan diajak masuk ke kelas peningkatan kemahiran. Kerana beliau mempunyai asas untuk menerbangkan pesawat, beliau kini diajar untuk menerbangkan roket. Selepas tiga bulan di dalam kelas upskilling, beliau kini berkemampuan untuk menerbangkan roket untuk ke angkasa lepas.

Persoalannya….. Adakah beliau akan mendapat pekerjaan? Sudah tentu tidak. Kita tidak ada roket di Malaysia untuk beliau kemudi. Beliau mungkin terpaksa terbang ke Amerika Syarikat untuk memohon pekerjaan di California.

Negara kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang kian berlarutan ini jika gagal mengenalpasti masalah sebenar. Perubahan pemikiran dalam kalangan pembuat dasar merupakan kunci utama untuk menyelesaikan masalah dalam kalangan graduan ataupun isu yang tidak berkesudahan seperti ini akan menjadi bom masa yang akan meledak tidak lama lagi.