Ekonomi 101 – Baik dan Buruk Disebalik Monopoli

Share it

Jika sebut tentang monopoli, mungkin antara perkara pertama yang terlintas di kepala ialah permainan papan popular ‘Monopoly’ yang dikeluarkan oleh syarikat gergasi mainan Hasbro. Bagi yang pernah bermain papan permainan ‘Monopoly’ tersebut, sudah tentu masih ingat bahawa matlamat utama permainan ini ialah untuk memonopoli kekayaan dalam bentuk aset hartanah serta pemilikan perkhidmatan utiliti (air dan elektrik) sebanyak yang mungkin. Kemenangan akan diberikan kepada pemain yang bertahan sehingga ke akhir permainan setelah pemain-pemain lain diisytiharkan bankrap.

Namun begitu, soal menang atau kalah dalam permainan ‘Monopoly’ juga bergantung kepada nasib. Ada pemain yang berjaya mengumpul kekayaan terbanyak di hujung permainan hanyalah disebabkan mereka bernasib baik kerana mendapat giliran awal untuk membaling dadu bagi memulakan permainan, menyebabkan mereka berpeluang membolot sebanyak mungkin harta yang ada sebelum dimiliki orang lain. Mereka juga mungkin bernasib baik kerana tidak tertangkap masuk ke dalam penjara, lalu membolehkan mereka terus mengumpul kekayaan di saat ada pemain lain sedang meringkuk dalam penjara.

Dalam dunia kehidupan yang sebenar juga situasi yang sama mungkin dapat dilihat di dalam industri-industri yang berkembang pesat hari ini. Ada sebahagian individu ataupun syarikat yang menjadi kaya-raya kerana diberikan kelebihan untuk memonopoli perkhidmatan dan produk tertentu dalam pasaran. Sebagai contoh, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sebahagian besarnya dimiliki Kerajaan misalnya memonopoli perniagaan menyalurkan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pula memonopoli operasi hampir keseluruhan lapangan terbang komersial di Malaysia kecuali Lapangan Terbang Senai di Johor. Manakala Astro Malaysia Holdings untuk sekian lama telah memonopoli perkhidmatan kabel TV berbayar di negara ini.

Tidak menghairankan apabila monopoli seringkali diberikan persepsi yang negatif, lebih-lebih lagi buat mereka yang berpegang teguh dengan falsafah pasaran bebas. Hal ini kerana monopoli seolah-olah memberi gambaran bahawa sebuah pasaran yang bersaing secara sihat dan inovatif tidak perlu wujud bagi menambahbaik kualiti perkhidmatan atau produk yang dijual dalam pasaran.

Menurut pemenang hadiah Nobel Ekonomi 2001, Professor Andrew Michael Spence, beliau berhujah produk yang dijual oleh syarikat monopoli kadangkala tidak berkualiti kerana tiada desakan yang kuat datang dari kalangan pengguna sebagaimana dalam pasaran kompetitif yang beroperasi secara terbuka.

Dalam sesebuah pasaran monopoli, pengguna boleh dikatakan tidak mempunyai suara bagi meminta kualiti produk yang terbaik, lebih-lebih lagi jika kedudukan syarikat monopoli itu disokong oleh pihak Kerajaan. Maka disebabkan ini orang awam terpaksa menanggung kualiti perkhidmatan atau produk yang teruk kerana mereka tidak mempunyai pilihan yang lain.

Dalam era pasaran ekonomi moden, pasaran bersifat monopoli boleh dikatakan sudah berkurangan berbanding waktu dahulu. Di Malaysia misalnya, kemasukan pelbagai pelaburan dari negara luar serta dasar penswastaan yang dilaksanakan ketika awal 1980-an memberikan ruang bagi mewujudkan pasaran yang lebih sihat di negara ini dengan mengurangkan campur tangan kerajaan dalam pasaran. Antara tahun 1983 hingga 2003, terdapat 474 buah projek yang diswastakan di Malaysia menerusi Dasar Persyarikatan Malaysia.

Namun begitu, disebalik niat murni dasar penswastaan yang dilaksanakan oleh Kerajaan, timbul persoalan sejauh manakah dasar tersebut memanfaatkan rakyat atau hanya mengkayakan golongan tertentu sahaja dengan memindahkan syarikat-syarikat milik Kerajaan bagi diuruskan pihak swasta.

Perkara sebeginilah yang tanpa sedar menjadi punca kepada jurang kekayaan yang semakin lama semakin melebar antara orang miskin dan orang kaya di negara ini apabila sebilangan konsesi yang memberikan pulangan ratusan juta ringgit diberikan kepada kroni-kroni tertentu.

Dalam pada itu meskipun kebanyakan syarikat monopoli milik Kerajaan sudah pun diswastakan, kebanyakan industri terus dibelenggu oleh masalah monopoli beberapa syarikat yang besar, atau disebut juga sebagai pasaran jenis oligopoli.

Pasaran oligopoli berbeza dengan pasaran monopoli dari sudut jumlah syarikat. Dalam pasaran monopoli, bekalan sesuatu produk atau perkhidmatan dikuasai oleh satu syarikat sahaja. Manakala dalam pasaran oligopoli, penguasaan dalam sesebuah industri itu dibahagi antara sekumpulan kecil syarikat-syarikat besar.

Antara contoh industri yang mempunyai pasaran jenis oligopoli paling ketara ialah industri penerbangan. Di Malaysia misalnya, industri penerbangan dimonopoli oleh dua nama besar Air Asia dan Malaysia Airlines (MAS) dengan bahagian pasaran (market share) masing-masing berjumlah 71% pada tahun 2018 menurut data CAPA – Centre for Aviation.

Oligopoli boleh dikatakan merupakan cerminan kepada monopoli versi moden. Jika sebelum ini, apabila disebut syarikat monopoli pasti akan terbayang satu syarikat sahaja yang menguasai segala-galanya. Namun sedar ataupun tidak, oligopoli lebih berbahaya kerana secara luarannya tampak seolah-olah seperti mereka ini mempunyai persaingan yang lebih sihat sesama mereka berbanding monopoli. Namun, apakah yang akan berlaku sekiranya syarikat-syarikat besar ini bekerjasama untuk menekan pengguna demi mengaut keuntungan semata-mata? Sebagai contoh, pada awal tahun lalu, MyCC pernah mendenda beberapa syarikat perkhidmatan feri RORO di Langkawi kerana berkomplot sesama mereka untuk menetapkan harga tambang kenderaan.

Amalan anti-persaingan ini adalah sesuatu yang buruk kepada pengguna kerana pengguna terpaksa membayar pada harga yang tinggi kerana pengusaha-pengusaha perniagaan bekerjasama dalam menetapkan harga kepada pengguna bagi mengurangkan persaingan dan perang harga sesama mereka.

Walaubagaimanapun, ini tidak lah sama sekali bermaksud monopoli ini semuanya buruk belaka tanpa ada sebarang kebaikan langsung buat orang awam. Di Malaysia misalnya, terdapat beberapa perkhidmatan asas yang terus dimonopoli seperti bekalan elektrik dan air. Monopoli semula jadi ini lebih praktikal kerana mudah bagi Kerajaan untuk memantau bekalan elektrik supaya dapat disalurkan dengan cekap serta memantau harga supaya kekal murah kepada orang awam berbanding jika dibekalkan oleh beberapa syarikat yang berbeza.

Dalam masa yang sama, perkhidmatan utiliti sebegitu juga lebih sesuai dibekalkan secara monopoli kerana kos pembinaannya yang terlalu mahal. Kos pembinaan bagi sebuah pencawang elektrik sahaja menelan harga jutaan ringgit. Jika perkhidmatan elektrik dibekalkan secara monopoli, TNB mempunyai kelebihan dari sudut ‘ekonomi skala’ yang mereka ada.

Keadaan ini bermaksud TNB mampu menyediakan perkhidmatan elektrik secara meluas di seluruh negara dengan kos yang lebih rendah, jika dibandingkan sekiranya mereka terpaksa bersaing dengan beberapa syarikat lain. Maka disebabkan itulah adalah lebih mudah dan akan menjamin harga yang lebih stabil sekiranya perkhidmatan sebegini diuruskan oleh satu syarikat monopoli sahaja.

Dari sudut lain, Kerajaan seringkali menjustifikasikan monopoli sebilangan syarikat yang kebiasaannya dimiliki oleh mereka adalah untuk tujuan strategik. Umpamanya, Malaysia Airports Holdings Berhad yang dimiliki secara tidak langsung oleh Kerajaan melalui Khazanah Nasional memonopoli perkhidmatan lapangan terbang mereka bagi memastikan lapangan-lapangan terbang yang tidak menguntungkan seperti di pedalaman Sabah dan Sarawak juga boleh beroperasi atas tujuan-tujuan tanggungjawab sosial.

Daripada aspek kawal selia undang-undang di negara ini, Akta Persaingan 2010 telah dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2012 menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). Menerusi akta ini, tindak-tanduk pemain industri dikawal selia bagi memastikan tidak berlakunya aktiviti-aktiviti anti-persaingan yang boleh membantutkan persaingan yang sihat dalam pasaran di Malaysia seperti aktiviti kartel, penetapan harga secara tidak adil dan sebagainya. Pada tahun 2019, MyCC membuka 163 siasatan berkaitan aduan aktiviti anti-persaingan dalam kalangan pemain industri.

Meskipun monopoli sering mendapat tanggapan yang negatif secara amnya, perkara sebegini tidak boleh dilihat secara mudah dengan pandangan hitam vs putih sahaja. Hal ini kerana dalam sebuah pasaran ekonomi yang wujud dalam dunia yang sebenar, situasinya adalah lebih rumit tidak seperti teori-teori ekonomi yang seringkali dibina bersandarkan tanggapan rasional semata-mata. Sedangkan, dunia ini dipenuhi dengan pelbagai ‘variable’ yang kadangkala sungguh tidak rasional dan masuk akal.