
Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1% pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Pertumbuhan tinggi ini didorong aktiviti rancak ekonomi pada bulan April dan Mei yang disumbangkan dari sektor pembuatan sebelum kegiatan ekonomi kembali perlahan akibat pelaksanaan PKP3.0.
Namun dari suku ke suku, ekonomi Malaysia menguncup 2% berbanding suku pertama tahun ini. Prestasi ekonomi Malaysia yang melonjak tinggi disebabkan kejatuhan mendadak 17.1% pada tempoh yang sama tahun lalu.
Kegiatan ekonomi pada tempoh tersebut masih kekal di bawah keadaan sebelum pandemik. Nilai Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) untuk suku kedua adalah sebanyak RM336.3 bilion, RM14 bilion lebih rendah berbanding suku kedua tahun 2019 ( RM350 bilion ).
Pasaran buruh juga kekal muram apabila kadar pengangguran terkini meningkat kepada 4.8% pada Jun berbanding 4.5% pada Mei. Daripada 100 pekerja yang dibuang, hanya 35 orang mendapat pekerjaan baru, merudum dari 48 orang pada bulan Mei.

Eksport negara pula mencanak naik 44% untuk suku kedua tahun ini, lebih tinggi berbanding pertumbuhan 18% yang direkodkan pada suku pertama.
Laporan Bank Negara turut menunjukkan transaksi perbankan atas talian meningkat 36% kepada 12.1 bilion pada separuh pertama tahun ini setelah orang ramai beralih kepada transaksi atas talian.
Unjuran pertumbuhan untuk tahun ini disemak semula kepada diantara 3.0% hingga 4.0% untuk tahun ini, jauh lebih rendah berbanding 6.0% hingga 7.5% yang diramalkan sebelum ini. Penurunan unjuran ini disebabkan kesan PKP3.0 yang merencatkan kegiatan ekonomi sejak Jun lalu.