Khabar angin bahawa FGV bakal dinyahsenaraikan oleh FELDA kini menjadi kenyataan apabila FELDA pada 26 Mei lalu membuat tawaran untuk mengambilalih keseluruhan baki saham FGV Holdings Berhad pada harga RM1.30 sesaham.
Menurut dokumen yang dikongsikan oleh Bursa Malaysia, FELDA, Kerajaan Negeri Pahang, Koperasi Kakitangan FELDA Malaysia Berhad (FELKOP) serta Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, En. Sulong Jamil dan isterinya merupakan pihak-pihak yang terlibat (PAC) di dalam membuat tawaran ini.
Kesemua mereka mengawal 86.93% saham di dalam FGV Holdings Berhad.
Terdahulu, ura-ura FGV Holdings Berhad (FGV) bakal dinyahsenaraikan bertiup kencang setelah FELDA dilaporkan telah menghantar Pelan Strategik dan Pelan Halatuju 2025-2030 FELDA kepada Perdana Menteri pada penghujung April yang lalu.
Idea penyahsenaraian ini dimulakan oleh Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan FELDA pada tahun 2020 yang dipengerusikan oleh bekas Menteri EPU, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Namun selepas hampir lima tahun, Pelan Pemulihan FELDA ini masih tidak membuahkan sebarang hasil. Cubaan FELDA untuk menyahsenaraikan FGV pada tahun 2021 gagal apabila hanya meraih 82% saham, lebih rendah berbanding had minimum 90% saham yang diperlukan bagi menyahsenaraikan FGV.
Situasi semakin mendesak buat FELDA memandangkan Bursa Malaysia tidak membenarkan pelanjutan masa agar FGV memenuhi peraturan “public spread” (pegangan awam) 75% bagi membolehkan FGV terus didagangkan di pasaran saham.
Mahu tidak mahu, FGV perlu mematuhi peraturan tersebut sebelum 10 September 2025 dan jika gagal, dagangan FGV di Bursa Malaysia berkemungkinan besar digantung kerana tidak mematuhi peraturan berkenaan.
Ekonomi Rakyat berkesempatan menemuramah En. Sulong Jamil atau lebih dikenali sebagai Pak Sulong, bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai langkah korporat ini dan masa depan FELDA serta peneroka.
Pak Sulong yang berasal dari FELDA Behrang, Perak berkata beliau menyambut baik keprihatinan Perdana Menteri terhadap masa depan FELDA yang disampaikan pada Majlis Berbuka Puasa bersama warga FELDA pada April yang lalu.
Walaubagaimanapun, Pak Sulong berpendapat bahawa agensi kerajaan seperti FELDA perlu kembali ke landasan asal dengan menumpukan semula fokus terhadap objektif-objektif utama penubuhan FELDA.
Peranan asal FELDA menurut Akta Pembangunan Tanah 1956 lebih menjurus kepada pembangunan tanah serta pengurusan rancangan dan pembangunan sosial warga FELDA. Pak Sulong berharap selepas penyahsenaraian FGV, FELDA boleh memfokuskan peranan terhadap objektif-objektif asal, manakala untuk tujuan komersial, beliau merasakan ia patut diterajui oleh warga peneroka sendiri seperti model yang pernah digunapakai dahulu.

“Sama ada FELDA nak menyahsenaraikan FGV atau tidak itu terpulang kepada FELDA lah… Bursa pun dah bagi tempoh sampai bulan September untuk FELDA buat sesuatu. Cuma harapan kita (warga peneroka), FGV boleh kembali ke asal balik seperti FELDA Holdings Berhad. Maknanya peneroka mewakili 51% manakala FELDA 49%.”
Sebelum penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, FELDA Holdings Berhad (FHB) memiliki kesemua syarikat hiliran industri sawit dan getah, termasuk syarikat-syarikat logistik dan penyimpanan pukal produk-produk mereka. FHB juga mempunyai syarikat joint-venture yang besar bersama Procter & Gamble (P&G), syarikat multi-nasional gergasi yang mengeluarkan pelbagai produk pengguna seperti Gillette, Pantene dan Head & Shoulders.
KPF pada ketika itu memiliki 51% saham di dalam FHB yang rata-rata pekerjanya bukan sahaja berpengalaman dalam industri perladangan, bahkan juga terdiri daripada jurutera mekanikal dan elektrikal, ahli kimia serta saintis.
Namun setelah IPO FGV dilaksanakan, FELDA telah memajak tanah kepunyaan mereka yang berkeluasan 350,000 hektar kepada FGV selama 99 tahun dengan bayaran RM260 juta setahun serta 15% perkongsian keuntungan daripada tanah-tanah tersebut.
FHB juga telah dibeli oleh FGV pada nilai RM2.2 bilion pada tahun 2013.
Pak Sulong yang mewakili warga peneroka berkata, ahli-ahli koperasi KPF menerima pulangan dividen yang baik melalui pegangan 51% KPF di dalam FHB. Katanya, KPF pernah mengisytiharkan dividen sehingga 17% sewaktu mereka menjadi pemilik saham FHB.
Analisis Ekonomi Rakyat menunjukkan FHB merupakan syarikat berprestasi tinggi yang telah menjana keuntungan yang memberangsangkan sebelum diambilalih oleh FGV.

Dari tahun 2010 hingga tahun 2012, FHB merekodkan perolehan tahunan di antara RM15 bilion hingga RM19 bilion dengan purata keuntungan sekitar RM650 juta. Ratusan juta dividen juga diagihkan kepada dua pemegang saham utama, KPF dan FELDA.
FGV juga kini merekodkan prestasi yang baik, dengan RM4.59 billion keuntungan selepas cukai direkodkan sejak IPO namun sebahagian besar keuntungan tersebut tidak memanfaatkan warga peneroka mamadangkan FGV kini dimiliki sebahagian besarnya oleh FELDA.
Dari tahun 2021 hingga 2024, FELDA yang menguasai 82% pegangan di dalam FGV menerima lebih RM900 juta dividen daripada FGV.
Struktur perniagaan seperti ini menyebabkan warga peneroka tidak menerima sebarang keuntungan yang dijana oleh FGV, meskipun sebahagian besar buah tandan segar yang diproses oleh FGV (yang mengeluarkan kira-kira 3 juta tan minyak sawit mentah) diterima daripada ladang-ladang milik warga peneroka.
Ketika ditanya sama ada KPF mempunyai kekuatan kewangan untuk mengambil alih 51% saham FGV daripada FELDA, Pak Sulong menjelaskan bahawa KPF mempunyai ladang-ladang dengan saiz sebesar 30,000 hektar yang boleh dijual atau ditukarkan bagi mendapatkan saham FGV tersebut.
“KPF ada tanah ladang 30,000 hektar di Samarahan dan beribu ekar juga di Gua Musang. Jadi mungkin kita jual pada FELDA. Kita tahu FELDA pun tak ada duit. FELDA boleh bayar dengan syer, kita panggil share swap. Kalau tak cukup, ada cara lain nak cari untuk sampai cukupkan 51%… Kita ada aset lebih daripada RM4 bilion, kita boleh bincang bersama dengan FELDA.”
Menurut Pak Sulong juga, mengembalikan hak warga peneroka untuk menjadi pemegang saham utama FGV akan membolehkan kebajikan peneroka dan warga FELDA terjamin.
Ketika ini, KPF sedang mengalami masalah kecairan, di mana sebahagian besar aset-aset yang dimiliki oleh KPF tidak boleh dicairkan dengan segera. Keadaan ini menyebabkan terdapat ahli-ahli KPF yang ingin menebus kembali syer-syer mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan tunai.
Dalam sidang media yang dijalankan beberapa minggu lalu, wakil ahli KPF menyuarakan kekecewaan apabila ada ahli yang sudah menuntut penebusan syer-syer mereka sejak 20 bulan lalu tetapi masih belum menerima pembayaran.
Salah satu punca yang menyebabkan ramai ahli KPF ingin menebus saham mereka adalah kerana dividen yang rendah. Pada tahun lalu misalnya, KPF hanya mengumumkan agihan dividen sebanyak 5%, jauh lebih rendah berbanding koperasi-koperasi lain serta penanda aras pelaburan simpanan tetap seperti ASB.
Oleh yang demikian, Pak Sulong berkata dengan menjadi pemegang saham utama FGV, beliau percaya KPF boleh memainkan lebih peranan dalam memastikan kecekapan operasi FGV terus dipertingkatkan, sekali gus membolehkan mereka menerima dividen yang lebih tinggi.

Beliau percaya bahawa pulangan dividen setinggi 15% boleh diagihkan kepada ahli-ahli KPF jika strategi pelaburan KPF diperbetulkan.
Kata Pak Sulong, dividen KPF seringkali dianggap sebagai pendapatan bulan ke-13 buat warga FELDA. Walaubagaimanapun, agihan dividen semakin berkurangan sehingga ke paras 5% sejak KPF tidak lagi menjadi pemegang saham utama FGV yang dahulunya dikenali sebagai FHB.
KPF sebelum ini pernah membayar dividen dua angka kepada ahli, contohnya pada tahun 2013 apabila KPF mengisytiharkan dividen 15%, namun pulangan yang diterima semakin menurun sejak akhir-akhir ini.
Beliau juga percaya bahawa KPF dan FELDA boleh turut memainkan peranan dalam usaha Kerajaan mempertingkatkan keterjaminan makanan negara. Aktiviti hiliran yang diceburi ini boleh membawa pulangan kepada warga peneroka jika KPF dapat bekerjasama.
KPF ketika ini mempunyai pegangan dalam aktiviti hiliran seperti MSM Holdings Berhad, yang merupakan salah satu pengeluar gula di negara ini. Pegangan KPF di dalam MSM sebanyak 15.27% kini dianggarkan bernilai RM 140 juta.
Selain itu, KPF juga mempunyai pelbagai pelaburan termasuklah dalam segmen perniagaan perladangan, katering, perhotelan dan hartanah. Walaupun begitu, Pak Sulong yang juga Anggota Lembaga Koperasi berpendapat KPF perlu memfokuskan kembali kepada sektor perladangan melalui FGV seperti model yang pernah diamalkan dahulu.
Pak Sulong mengulangi gesaan agar model perniagaan yang telah diwujudkan oleh Tun Raja Alias, pengasas FELDA ini dikembalikan, di mana warga peneroka juga mempunyai pegangan dan tanggungjawab terhadap aktiviti perniagaan FELDA secara terus.
“Kalau semua (pegangan FGV) untuk FELDA maka tak ada apalah untuk peneroka. Saya harap lepas nyahsenarai FGV, kita di KPF ambil 51%. Bayarlah berapa nilai 51% saham itu, FELDA boleh pegang 49%.”
Beliau juga menyatakan kebimbangan tentang kebajikan peneroka jika FELDA mengambil alih keseluruhan FGV kerana situasi kewangan FELDA yang agak tenat. Ketika ini, FELDA dilaporkan berdepan kekangan kewangan apabila mempunyai hutang melebihi RM13 bilion.
Menurut Kertas Putih FELDA yang dibentangkan pada tahun 2019, FELDA terpaksa membelanjakan secara purata RM260 juta setiap tahun untuk kos pembayaran faedah hutang.
Pak Sulong khuatir wang-wang yang diterima FELDA daripada FGV ini hanya akan digunakan oleh FELDA untuk membayar hutang, disebabkan tanggungan hutang yang terlalu tinggi sekali gus menyebabkan kebajikan warga peneroka diketepikan. Oleh itu, beliau berharap Kerajaan membantu FELDA tanpa menjejaskan kebajikan warga peneroka.
“FELDA sebagai badan berkanun, apa masalah dia, Kerajaan bantu lah. Sekarang ini letak macam mana pun, duit yang mereka dapat habis bayar hutang saja.”
Berdasarkan dokumen yang dikeluarkan Maybank Investment Bank, pemegang saham FGV mempunyai tempoh sehingga 15 Jun 2025 untuk membuat keputusan sama ada menerima ataupun tidak tawaran yang dikemukakan oleh FELDA.
Bagi memastikan langkah penyahsenaraian ini berjaya, FELDA perlu memastikan mereka mengawal sekurang-kurangnya 90% pegangan di dalam FGV menjelang 8 Julai 2025. Jika had ambang 90% ini dipenuhi, saham FGV akan digantung sebelum langkah menyahsenaraikan FGV dari Bursa Malaysia dilakukan.
KPF pula perlu mengorak langkah dengan berunding dengan FELDA bagi membeli kembali 51% pegangan di dalam FGV, jika cadangan itu dipersetujui.



