Industri Kelapa Sawit Untung Besar, Harga Minyak Sawit Mentah Melonjak Tinggi

Share it

Industri kelapa sawit di Malaysia meraih keuntungan lumayan susulan harga minyak sawit mentah ( CPO ) yang melonjak tinggi pada tahun ini. Pada tahun lalu, purata harga CPO hanyalah sekitar RM2,800 setan, namun pada Julai lalu, harga CPO telah naik sehingga RM4,129 setan.

Malaysia yang merupakan pengeluar kedua terbesar produk kelapa sawit selepas Indonesia mendapat manfaat besar disebabkan harga CPO yang tinggi. Sime Darby Plantation yang merupakan syarikat peladangan terbesar di dunia telah merekodkan keuntungan sebanyak RM1.3 bilion pada separuh pertama tahun ini, meningkat berbanding RM840 pada tempoh yang sama tahun lalu.

Sebuah lagi syarikat tersenarai yang mencatatkan prestasi memberangsangkan adalah Kuala Lumpur Kepong dimana keuntungan mereka naik dari RM427 juta kepada RM1.35 bilion.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia pada separuh pertama juga menunjukkan berita gembira kepada sektor ini. Pendapatan eksport daripada produk kelapa sawit telah meningkat RM45 bilion pada separuh pertama tahun ini. Sepanjang tahun lalu, industri ini hanya merekodkan pendapatan sebanyak RM73.3 bilion saja.

Jika harga CPO kekal tinggi, kemungkinan besar Malaysia bakal meraih pendapatan sehingga RM90 bilion sepanjang tahun 2021.

Kadar Duti Eksport Minyak Sawit Mentah

Peningkatan ini juga menambah hasil kerajaan melalui duti eksport minyak sawit mentah dimana syarikat pengeluar kelapa sawit perlu membayar duti jika harga CPO melebihi RM2,250 setan. Ketika ini, mereka perlu membayar 8% duti eksport kerana harga CPO meningkat melebihi RM3,450 setan.

Kerajaan telah mengutip lebih RM550 juta pada lima bulan pertama tahun ini, lebih tinggi berbanding RM111 juta yang dikutip pada tahun lalu.

Mengikut beberapa laporan tahunan syarikat tersenarai, kos bagi setiap tan minyak sawit mentah adalah sekitar RM1,500 setan. Margin keuntungan yang tinggi ini sememangnya berita gembira buat syarikat-syarikat peladangan diseluruh negara.

Malaysia mengeluarkan lebih kurang 19 juta tan minyak sawit segar melalui 5.9 juta hektar ladang sawit di seluruh Malaysia.

Antara syarikat-syarikat lain yang bakal meraih manfaat hasil lonjakan harga sawit mentah ini adalah Genting Plantation, FGV Berhad dan United Plantations.