
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Madeline Berma berpendapat bahawa Malaysia memerlukan model baru dalam mengatasi isu kemiskinan. Menurut beliau, kaedah lama dalam menyelesaikan masalah ini iaitu dengan meningkatkan pendapatan semata-mata tidak lagi relevan ketika ini.
Beliau yang merupakan salah seorang Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia berkata model membasmi kemiskinan yang bersifat inklusif diperlukan sekarang. Menurutnya, ada lima aset individu yang perlu dibangunkan bagi membawa golongan miskin keluar daripada kemiskinan.
Lima perkara tersebut adalah modal kewangan, modal insan, modal fizikal, modal persekitaran dan juga modal sosial.
Menurut beliau, modal kewangan perlu dibangunkan bagi membantu individu terbabit untuk memastikan individu terbabit membina ekonomi mereka. Dr Madeline berkata bantuan tunai sewajarnya diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan sebagai golongan tua dan golongan kurang upaya.
Walaubagaimanapun, beliau berkata tidak ada masalah bagi menyalurkan bantuan tunai ketika ini kerana pandemik Covid-19 yang menimpa.
Selain itu, Dr. Madeline juga berkata modal insan iaitu pendidikan, kesihatan dan juga kemahiran juga perlu diberikan perhatian kerana saling berkait rapat.
” Jadi jangan hanya bagi pendidikan, Macam sekarang, ramai yang dapat pendidikan tetapi kemahiran tak ada. Maka kerja tak dapat juga. Kalau bangunkan pendidikan dia, tetapi dia sakit pun tak boleh juga “
Modal fizikal seperti rumah, motosikal dan kereta juga penting untuk dibangunkan bagi memastikan kumpulan rentan ini keluar dari kepompong kemiskinan.
” Modal fizikal ini termasuk rumah dia. Benda yang boleh menghasilkan pendapatan. Dia perlu ada motosikal kalau dia nak berniaga. Kalau nak jadi pemandu Grab, kena ada kereta ataupun motosikal “
Beliau berkata jika perkara ini tidak ditangani, amat sukar untuk golongan ini menjana pendapatan kerana kelengkapan yang tidak cukup.
Selain itu, modal persekitaran ( environmental capital ) dan modal sosial juga mustahak dalam mewujudkan masyarakat yang terangkum. Beliau berkata keadaan sekeliling perlu kondusif bagi memastikan pergerakan mereka tidak terhalang sekaligus memudahkan mereka mencari kehidupan.
Alam sekitar seperti hutan dan sungai perlu dijaga dan tidak dicemari kerana bagi sekumpulan manusia yang lain, lokasi tersebut merupakan sumber mereka mencari makanan. Manakala modal sosial diperlukan bagi memastikan masyarakat bekerjasama menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Dr Madeline ketika ditemubual oleh Ekonomi Rakyat juga mengulas mengenai isu yang dihadapi oleh pengkaji kemiskinan. Menurut beliau, pengkaji-pengkaji kemiskinan yang mempunyai pendidikan tinggi seharusnya mengakui bahawa mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai hakikat sebenar yang dihadapi oleh orang miskin.
” Maaf, dunia sebenar di luar sana. Universiti sebenar di luar sana. Apa yang anda belajar di universiti hanya empat tahun sahaja. Orang itu dah miskin berpuluh-puluh tahun. Dan anda nak datang satu malam, bawa borang soal selidik. Lepas itu cuba selesaikan masalah orang kampung. “
Beliau juga berseloroh mengenai ironi pengkaji kemiskinan yang gemar membincangkan soal kemiskinan di hotel-hotel lima bintang.
Dr Madeline turut berkongsikan kisahnya ketika terpaksa memasuki kawasan pedalaman bagi menyiapkan laporan keberkesanan projek terhadap keluarga miskin. Menurut beliau, orang miskin di lokasi tersebut diberikan ayam bagi menghasilkan telur untuk dibuat makanan.
Namun ketika kehadiran para pengkaji beberapa bulan selepas projek berjalan, keluarga terbabit menjamu pengkaji yang hadir dengan ayam yang mereka berikan beberapa bulan dahulu. Dr Madeline agak kesal dengan insiden tersebut dan beliau menyatakan bahawa merekalah yang sepatutnya membawa makanan dan buah tangan ketika bertemu dengan keluarga terbabit.
Artikel terdahulu : Kadar Kemiskinan Naik Kepada 8.4% Pada 2020, Ketidaksamaan Semakin Melebar