
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Berhad, Dato Ridza Abdoh menegaskan bahawa motivasi dan kebajikan staf yang bekerja dalam sektor pengangkutan awam adalah kunci utama bagi memastikan sistem pengangkutan negara berfungsi dengan cekap dan berkesan.
Dalam episod pertama Podcast The Overview oleh Ekonomi Rakyat yang dihoskan oleh Mathew Achari, beliau menekankan bahawa kepimpinan dalam sektor ini tidak boleh memandang ringan maklum balas daripada staf bawahan, khususnya mereka yang berhadapan terus dengan operasi harian.
” Anda perlu menjaga kebajikan staf. Perlu kerja dengan staf. Galak mereka bagi maklum balas yang jujur tentang masalah dan bagaimana kita boleh menambahbaik sistem. Sebab mereka yang tahu.
Anda boleh tanya pemandu bas. Apa masalah. Mereka tahu. Tapi kalau anda abaikan pemandu bas, sebab dia pekerja bawahan.
Saya bos, saya tahu apa nak buat. Mungkin anda tak merosakkan sistem, tapi sistem tidak akan bertambah baik. “
Menurut beliau, pengurusan yang berkesan memerlukan kefahaman mendalam tentang realiti kerja di lapangan dari pemandu bas hinggalah mekanik.
Dato Ridza turut menekankan bahawa insentif yang adil dan berasaskan prestasi merupakan faktor penting dalam memastikan kecekapan sistem. Beliau mengimbas semula pengalamannya ketika menerajui Prasarana pada awal 2000-an, di mana pemandu bas terbaik di Prasarana mampu memperoleh pendapatan lumayan hasil prestasi yang tinggi.
Ketepatan masa dan disiplin amat dititikberatkan ketika beliau menjadi CEO di Prasarana.
” Saya bagi pemandu bas RM5,000 sebulan. Lebih tinggi daripada eksekutif. Saya bagi insentif. Mekanik bas pada ketika itu dapat RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.
Saya kata dekat mekanik, Pastikan bas sentiasa on-time. Bila bas bergerak dan dia rosak. Tak ada seal katakan disebabkan minyak bocor. Bas akan tersadai. Bila tersadai, tak boleh ambil penumpang. Kalau tak boleh ambil penumpang, hasil akan merosot. Ini semua kerja mekanik. “
Kalau Semua Orang Guna Kereta, Jalan Akan Sesak
Ridza berkata pengangkutan awam perlu ditikberatkan kerana mobiliti adalah ibarat oksigen buat manusia. Sewaktu Covid-19 melanda, hidup orang ramai susah disebabkan tidak dapat bergerak ke sana sini.
Pengangkutan awam perlu diuruskan dengan baik bagi memastikan orang ramai gembira kerana tidak semua orang boleh bergerak menggunakan kereta pada setiap masa.
” Kita memang kena bergerak ke sana sini. Tapi kalau semua orang guna kereta. Jalan akan sesak. Sebab itu penting untuk galakkan orang guna pengangkutan awam. “
Kerja Sampai Pukul Empat Pagi Untuk Faham Sistem
Beliau mengakui menguruskan pengangkutan awam sememangnya tugas yang sukar sehingga memerlukan beliau bekerja hingga lewat pagi. Menurutnya, pengangkutan awam bergerak 365 hari setahun dan tidak pernah cuti.
” Saya keluar rumah pukul 11 malam. Pukul 3-4 pagi baru balik. Esok, pukul 9 pagi di pejabat balik.
Stesen kosong pun saya masuk. Sampai sekarang, saya tahu pintu mana tak berkunci. Sebab pengangkutan awam macam Prasarana, mereka tidak ada cuti. 24-7. Hari Raya, Krismas, Deepavali, Tahun Baru Cina, tetap beroperasi. “
Ketika diminta untuk memberi komen tentang kerugian yang dihadapi oleh Prasarana yang mencecah RM1.5 bilion setahun. Beliau berpendapat perkara ini akan menjadi lebih membimbangkan jika kerugian terus meningkat.
Beliau merasakan pengangkutan awam boleh mencatatkan keuntungan jika diuruskan dengan betul, tetapi mengakui bahawa bagi sebilangan kepimpinan baru, mereka menganggap isu ini sebagai isu legasi, yang tidak perlu diperbetulkan.
” Kalau kita kata pengangkutan awam sebagai satu entiti yang sentiasa rugi. Kalau kita ikut negara-negara Barat, macam Amerika Syarikat, Eropah. Semua pun rugi macam ini juga. Tapi kalau tengok di Jepun, untung RM1.5 bilion.
Jadi yang mana kita naik ikut? Adakah kita nak ikut Eropah, Amerika Syarikat ataupun kita nak ikut Jepun. Saya rasa lebih baik kita ikut Jepun. Ada juga yang mengatakan Jepun boleh untung sebab densiti populasi di situ tinggi. Saya rasa tidak “
Di dalam podcast yang dijalankan di Studio Ekonomi Rakyat di Subang Jaya, beliau turut memberi pandangan tentang pelbagai topik lain seperti pengalamannya di Renong Group, isu Oligarki serta permasalahan yang dihadapi jurutera di Malaysia.
Tonton video penuh rakaman Podcast The Overview oleh Ekonomi Rakyat di Youtube Ekonomi Rakyat.
