Kenapa Harga Kereta Terpakai Semakin Mahal?

Share it

‘Bapaku pulang dari kota, bapaku belikan kereta’

Sama seperti rumah, memiliki sebuah kereta boleh dikatakan menjadi satu idaman, lebih-lebih lagi buat golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan. Pilihan yang terbaik sudah semestinya membeli kereta baru, ataupun kereta first-hand. Kereta baharu lebih terjamin dari segi kualitinya serta mempunyai waranti yang lebih baik berbanding kereta yang sudah pun digunakan orang lain sebelum ini, juga disebut sebagai kereta terpakai atau kereta second-hand.

Ada di antara kita yang bertuah kerana kereta pertama mereka di belikan oleh orang tua mereka, sama seperti situasi di dalam lirik lagu kanak-kanak di atas. Namun, tidak semua orang begitu bertuah dan bernasib baik. Ada dalam kalangan mereka yang terpaksa bekerja keras menyimpan wang untuk membeli kereta pertama, sama ada kereta baharu ataupun kereta terpakai. Terdapat juga sesetengah orang yang membeli kereta terpakai, terutamanya kereta import, kerana harganya yang lebih murah berbanding dibeli secara first hand.

*Kereta pada kebiasaannya kini menjadi pinjaman kedua anak muda selepas pinjaman pendidikan

Lazimnya, kereta terpakai lebih murah daripada kereta baru kerana sifat nilai kereta yang menurun mengikut masa. Namun begitu harga kereta terpakai dilaporkan semakin mahal semenjak kebelakangan ini, lebih-lebih lagi sejak negara beralih ke fasa endemik.

Perodua Myvi H terpakai tahun 2019 misalnya dijual pada harga RM50,000, hanya 8.9% lebih rendah berbanding unit baru yang dijual pada harga RM54,900. Trend yang serupa juga dapat dilihat pada kereta-kereta popular lain yang dikeluarkan oleh Perodua.

Peralihan negara ke fasa endemik merangsang permintaan kereta terpakai

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan harga kereta terpakai menjadi semakin mahal. Jika sebelum ini ketika fasa pandemik COVID-19, sebahagian orang terpaksa menjual kereta mereka untuk meringankan beban komitmen yang mereka tanggung.

Walaubagaimanapun, peralihan ke fasa endemik menyebabkan permintaan terhadap kereta terpakai naik. Menurut teori asas ekonomi, apabila permintaan naik, harga pun akan ikut naik.

Menurut Presiden Federation of Motor and Credit Companies Association of Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor ketika ditemubual The Star, pertumbuhan jualan kereta terpakai dijangka naik sebanyak dua digit bagi tahun ini

Keputusan Kerajaan untuk membenarkan pengeluaran simpanan KWSP turut menyumbang kepada kenaikan permintaan dan harga kereta terpakai. Hal ini kerana terdapat sebahagian daripada mereka menggunakan wang pengeluaran KWSP tersebut untuk membayar wang pendahuluan kereta terpakai.

Menurut statistik yang dikeluarkan KWSP, sepanjang tempoh COVID-19, sebanyak RM145 billion telah dikeluarkan oleh ahli-ahli KWSP daripada akaun simpanan persaraan masing-masing menerusi i-Sinar, i-Lestari, i-Citra dan Pengeluaran Khas RM10,000.

Pembukaan sempadan negara serta nilai matawang dolar Singapura yang kukuh berbanding ringgit juga menyumbang kepada kenaikan permintaan kereta terpakai terutamanya dalam kalangan warga Malaysia yang bekerja di Singapura.

Tempoh menunggu kereta baru yang sangat lama menyebabkan harga kereta terpakai naik

Sebuah lagi faktor ialah tempoh menunggu yang terlalu lama untuk membeli kereta baru. Di Malaysia, pelanggan yang berhajat untuk membeli kereta baru perlu menunggu berbulan-bulan, bahkan ada model kereta yang mempunyai tempoh menunggu melebihi setahun. Kelewatan ini berpunca daripada kekurangan bekalan cip mikro yang melanda industri automotif seluruh dunia gara-gara gangguan rantaian bekalan.

Ada di antara pelanggan ini dilaporkan tidak kisah untuk membatalkan hasrat membeli kereta baru dan terus membeli kereta terpakai yang tersedia dalam pasaran. Perkara ini sekali lagi menyebabkan permintaan dan harga kereta terpakai terus meningkat.

Dalam masa yang sama, sebahagian orang yang berhasrat menjual kereta milik mereka bagi digantikan dengan kereta baru juga terpaksa melupakan hasrat itu seketika dek kerana tempoh menunggu yang terlalu lama. Akibatnya, bekalan kereta terpakai di dalam pasaran jatuh sedangkan permintaan dan harga, masing-masing naik sebanyak 8% dan 5% bagi suku pertama 2022 menurut FMCCAM.

Platform jualan kereta terpakai atas talian, rahmat buat pelanggan?

Di Malaysia, terdapat banyak platform jualan kereta terpakai secara atas talian seperti mudah.my, Carsome dan myTukar. Kewujudan platform-platform ini memudahkan pelanggan untuk membeli kereta terpakai tanpa perlu survey secara fizikal di kedai.

Carsome dan myTukar dilihat lebih dipercayai ramai kerana harga yang dipaparkan di platform mereka adalah lebih telus tanpa sebarang kos tersembunyi. Kelebihan ini adalah situasi menang-menang buat kedua-dua pihak penjual dan pembeli. Berbeza dengan sesetengah platform jualan yang lain, ada di antaranya tidak memaparkan kos sebenar untuk membeli kereta terpakai.

Di Carsome misalnya, harga yang ditulis di laman sesawang mereka adalah termasuk sekali dengan cukai jalan, bayaran PUSPAKOM, bayaran pemprosesan pinjaman dan juga bayaran tukar milik. Ketelusan informasi ini boleh menambahkan keyakinan bakal pembeli.

*Kos insurans dibayar asing

Bercakap soal keyakinan, industri kereta terpakai agak unik kerana sering berisiko terdedah dengan masalah ‘asymmetric information’ atau informasi yang tidak setara di antara penjual dan pembeli. Dalam kes kereta terpakai, hanya pemilik kereta berkenaan sahaja yang benar-benar tahu keadaan sebenar kereta itu sama ada pernah kemalangan, ditenggelami banjir, sering bermasalah ketika memandu serta pelbagai lagi isu. Penjual kereta terpakai yang tidak bertanggungjawab mungkin merahsiakan maklumat sebegini daripada pembeli.

Industri kereta terpakai juga selalu dikaitkan dengan masalah ‘lemon’. Namun, ‘lemon’ dalam perbincangan ini bukanlah sejenis buah, sebaliknya merujuk kepada istilah kereta yang rosak. Masalah pembelian kereta ‘lemon’ ini terjadi kerana hanya penjual mengetahui nilai sebenar sesebuah kenderaan tersebut sekaligus menyebabkan hanya urusniaga yang menguntungkan penjual akan berlaku.

Sebagai contoh, jika penjual mengetahui nilai sebenar harga kereta yang elok bernilai RM10,000 tetapi pembeli menawarkan harga kurang dari RM10,000, maka urusniaga tidak akan berlaku. Namun demikian, jika penjual mengetahui harga sebenar kereta yang rosak hanya RM8,000 tetapi pembeli menawarkan harga lebih dari RM8,000, maka urusniaga akan berlaku.

Walaupun kereta terpakai juga mempunyai waranti, kadangkala kerosakan yang ada itu tidak cukup untuk dilindungi oleh waranti semata-mata. Di Malaysia, pembeli kereta terpakai hanya dilindungi oleh Akta Perlindungan Pengguna yang bersifat umum, setakat ini. Apa yang diperlukan ialah undang-undang ‘lemon’ yang khas melindungi kes-kes tuntutan ganti rugi melibatkan kereta terpakai.

Tinjauan di laman sesawang Carsome dan myTukar mendapati syarikat ini memaparkan maklumat pemeriksaan kenderaan bagi setiap kereta yang diiklankan. Maklumat pemeriksaan ini berguna untuk para pelanggan menentukan kualiti sebenar kereta terpakai yang dijual. Apa yang menariknya, kedua-dua syarikat ini turut mewajibkan setiap penjual kereta untuk menjalani pemeriksaan kenderaan secara percuma bagi menentukan nilai serta kualiti kereta tersebut.

Industri kereta terpakai Malaysia: Duopoli Carsome dan myTukar?

Ketika ini, Carsome dan myTukar dilihat cuba menguasai industri kereta terpakai di Malaysia. Carsome selaku syarikat unicorn pertama tanah air dilaporkan berjaya menjual sebanyak 18,000 unit kereta terpakai sebulan dan bercita-cita mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih besar di rantau Asia Tenggara. Namun begitu, syarikat bernilai USD1.7 billion itu dilaporkan telah memberhentikan 10% staf mereka di saat dunia menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi tahun hadapan. Maka persoalannya, adakah pelan pengembangan mereka ini boleh diteruskan dengan mampan?

Begitu juga dengan myTukar yang telah membuat penjenamaan semula pada Julai lepas, mereka turut berkongsi cita-cita sama untuk mengukuhkan lagi perniagaan mereka di rantau ini. Sudah semestinya strategi-strategi ini memerlukan dana yang banyak.

Namun seperti unicorn-unicorn yang lain, sebahagian besar perbelanjaan awal di dalam proses pengembangan syarikat dibiayai oleh dana pelabur. Dan apabila dana semakin berkurangan kelak, maka pelbagai taktik korporat akan diambil seperti mengurangkan bilangan pekerja untuk memuaskan hati pelabur.

Tetapi itu bukanlah masalah anda sebagai pelanggan. Apa yang penting, anda akan menikmati pelbagai tawaran terbaik dari penyedia platform jualan kereta terpakai kerana promosi-promosi ini sebahagian daripada strategi mereka untuk meluaskan pegangan pasaran di dalam industri jualan kereta terpakai di Malaysia.