Purata pekerja di Lembah Klang menghabiskan masa hampir 44 jam setiap bulan akibat jalan jem. RM6.5 bilion duit minyak perlu dibelanjakan setiap tahun disebabkan terperangkap di dalam kesesakan jalan raya.
Menurut pensyarah UITM, Dr Ismaniza Ismail, kerugian produktiviti yang dihadapi oleh pekerja mencecah RM308 sebulan berdasarkan purata gaji RM7 sejam.
Walaupun kesesakan jalan raya dianggap sesuatu yang buruk kerana membazir masa, namun dari sudut ekonomi, ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ini kerana penggunaan bahan api yang berlebihan akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya juga boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Prestasi ekonomi sesebuah negara sering kali dinilai melalui indikator Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ataupun Gross Domestic Product (GDP).
KDNK diukur berasaskan semua barangan dan perkhidmatan akhir yang dihasilkan di dalam sesebuah negara itu dalam sesuatu masa.
Di dalam kelas ekonomi, ia dikira sebagai C+I+G+(X-M)
C (Consumption) merujuk kepada penggunaan iaitu pembelian harian rakyat Malaysia. I (Investment) pula merujuk kepada pelaburan seperti pembelian rumah ataupun pembelian jentera untuk aktiviti perkilangan.
Manakala G (Kerajaan) merujuk kepada perbelanjaan Kerajaan. Di dalam konteks Malaysia, ia bermakna apa-apa perbelanjaan yang dibentangkan oleh Kerajaan pada sesi Belanjawan tahunan seperti pembayaran gaji penjawat awam ataupun bantuan sosial seperti SARA.
Yang terkahir X-M merujuk kepada eksport ditolak dengan import. Eksport diukur kerana barangan ataupun perkhidmatan ini juga dihasilkan di dalam negara, tetapi tidak dikira di dalam bahagian-bahagian lain.
Import pula ditolak kerana barangan dan perkhidmatan luar yang digunakan di Malaysia telah dimasukkan di dalam bahagian C,I dan G.
Dalam kata lain, ia bermaksud segala bentuk barangan domestik dan perkhidmatan seperti kereta, tin sardin, servis potong rambut dimasukkan ke dalam kiraan KDNK.
KDNK Bukan Cerminan Kesejahteraan Hidup Rakyat
Meskipun KDNK menjadi kayu ukur flagship oleh setiap Kerajaan, namun akhir-akhir ini ramai ahli ekonomi yang mengkritik penggunaan KDNK secara keterlaluan.
Profesor ekonomi terkenal, Joseph Stiglitz berkata “ KDNK tidak memberi apa-apa makna tentang kemampanan “.
Salah satu punca kenapa ukuran KDNK dikritik adalah kerana ia tidak melambangkan kesejahteraan hidup rakyat. Ekonomi boleh tumbuh pada kadar yang tinggi, namun ia tidak bermaksud kesemua orang menikmati pertumbuhan ekonomi tersebut.
KDNK juga mendiskriminasi sebilangan kerja-kerja yang memberi makna tanpa sebarang ganjaran kewangan. Kerja-kerja ini pada kebiasaannya dilakukan oleh golongan wanita.
Sebagai contoh, kerja-kerja memasak, menjaga anak mahupun melakukan mengemas rumah tidak dimasukkan ke dalam KDNK. Tetapi kerja-kerja yang sama jika dilakukan di kedai makan mahupun TASKA, akan dikira di dalam indikator tersebut.
Selain itu, KDNK turut tidak mengambil kira pencemaran alam sekitar yang menjejaskan kualiti hidup rakyat. Aktiviti-aktiviti seperti perlombongan bauksit, mahupun penebangan balak menjejaskan ekosistem sesebuah kawasan namun boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Begitu juga dengan aktiviti perjudian ataupun pelacuran. Jika Kerajaan mengambil keputusan untuk menghalalkan aktivit perjudian dan pelacuran, sektor-sektor ini turut boleh menyumbang kepada statistik ekonomi negara.
Thailand sebagai contoh, menganggarkan aktiviti perjudian jika dibenarkan di negara berkenaan akan mewujudkan 70,000 peluang pekerjaan dan menyumbang sehingga 0.7% terhadap ekonomi.
Beralih dari KDNK
Banyak negara kini termasuk Malaysia turut mengambil kira indikator-indikator lain dalam mengukur kesejahteraan rakyat. Antara indikator yang digunapakai secara meluas adalah Indeks Pembangunan Manusia (HDI) yang mengukur kesejahteraan rakyat dengan mengambil kira pelbagai kriteria seperti kesihatan, pendidikan dan kualiti hidup.
Di Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia setiap tahun juga mengukur kesejahteraan rakyat melalui Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM). Walau bagaimanapun, prestasi indikator-indikator ini tidak diuar-uarkan secara meluas, dan selalu dibayangi oleh liputan dan kenyataan melibatkan prestasi KDNK.