” Kenapa Rosyam Nor Hisap Rokok Dengan Brad Pitt Hisap Rokok Ada Dua Layanan Yang Berbeza “

Share it

” Kenapa Rosyam Noor hisap rokok dan Brad Pitt hisap rokok ada dua treatment yang berbeza ” aju penggiat seni terkenal, Bront Palarae ketika ditanya mengenai isu penapisan di dalam konteks industri perfileman tempatan.

Bront yang diwawancara oleh Ekonomi Rakyat menyatakan beliau memahami bidangkuasa Kementerian Dalam Negeri berkenaan isu sensitif tambahan lagi dengan konteks masyarakat Malaysia yang terdedah dengan isu-isu yang boleh menganggu-gugat keharmonian rakyat dengan mudah.

” Saya faham bidangkuasa penapisan Kementerian Dalam Negeri melibatkan isu-isu sensitif. Maksudnya kebebasan bersuara ke ataupun kebebasan berkreativiti. There’s always a limit to it. Terutamanya di dalam konteks negara kita yang senang dihuru-harakan oleh pelbagai isu yang senang disensasikan “

Walaubagaimanapun, beliau membangkitkan persoalan kerelevanan penapisan filem sedangkan ruang internet melalui penstriman atas talian seperti Netflix atau Disney+ tidak mempunyai sebarang tapisan daripada pihak kerajaan.

” Tapi dalam skop yang lebih besar pula, saya memandanng relevannya LPF, juga bergantung kepada decentralize ataupun democratize media right now di dalam internet. Tapi realitinya, nak saring-saring pun, tapi memang pagar belah sana pun telah terbuka. Nak saring apa belah sini? “

Menurut beliau, perkara ini menambahkan lagi cabaran penerbit filem tempatan untuk bersaing dengan filem antarabangsa dari sudut kreativiti. ” Kita anginnya dari sudut semangat kreatif la, dah la kita fight dengan Hollywood dari sudut bajet tak ada. So now, we also fighting them dalam keadaan it’s not level playing field “.

Bront juga menyuarakan kekangan yang dihadapi oleh penerbit filem tempatan. Katanya, penerbit televisyen di Malaysia telah mensubdisikan kos penggambaran drama televisyen sejak tahun 1998 kerana bajet drama yang tidak berubah untuk sekian lama.

” Industri televisyen telah disubsidikan oleh penerbit TV sejak tahun 1998. Tahun 1998 adalah tahun terakhir harga drama TV naik sebelum tahun 2018, RTM bagi sekali tapi TV3 rasanya belum. Kemampuan penerbit untuk menerbitkan, menurun setiap tahun. “

Dari sudut industri kreatif tempatan, beliau berpendapat masih ada ruang untuk industri ini untuk berkembang ke peringkat antarabangsa jika kita dapat meningkatkan kualiti karya seni. Mengambil pasaran Indonesia sebagai contoh, beliau merasakan tidak ada sebarang rasa benci peminat Indonesia terhadap artis-artis tempatan.

” Saya tidak percaya teori animosity ( kebencian ) dari media Indonesia ataupun peminat Indonesia terhadap rakyat Malaysia. Amy Search, Siti Nurhaliza, Upin & Ipin dan Chew Kin Wah, semua okay saja dekat sana “

Ketika ditanya Ekonomi Rakyat mengenai bilakah filem Dawn Raid akan ditayangkan. Bront enggan menyatakan tarikh terperinci tayangan filem tersebut kerana enggan ‘dikecewakan’ lagi susulan keadaan pandemik Covid-19 yang kian berpanjangan.

Namun beliau yang diwawancara Mei lalu hanya memberi bayangan bahawa filem seperti itu lebih seronok ditayangkan pada bulan Ogos sesuai dengan semangat hari kebangsaan yang disambut oleh seluruh rakyat Malaysia.