Gaji Penengah Pekerja Malaysia Jatuh 15.6% Pada 2020

IMF Turunkan lagi Jangkaan Pertumbuhan Ekonomi Malaysia kepada -3.8%
Share it
Gaji Penengah Pekerja Malaysia Susut 15.6% Tahun Lalu

Gaji penengah pekerja di Malaysia telah jatuh 15.6% kepada RM2,062 sebulan pada tahun lalu setelah negara terkesan teruk dengan endemik Covid-19. Pada tahun 2019, gaji penengah pekerja di Malaysia meningkat 5.8% kepada RM2,442.

Kejatuhan RM380 gaji penengah pekerja di Malaysia ini telah membawa Malaysia empat tahun ke belakang iaitu dibawah paras sebelum tahun 2017.

Sementara itu, gaji purata pekerja juga jatuh 9% dari RM3,224 kepada RM2,933.

Dalam kalangan pekerja tempatan, etnik Bumiputera merupakan kumpulan yang paling terkesan dengan krisis ekonomi ini. Gaji penengah mereka telah jatuh RM396 ( -16.4% ) dari RM2,415 kepada RM2,019. Manakala diikuti pekerja India dan Cina yang masing-masing mengalami kejatuhan sebanyak 9.2% dan 4.9% kepada RM2,014 dan RM2,470.

Rata-rata pekerja asing yang bekerja di sektor berkemahiran rendah juga terjejas teruk apabila gaji penengah mereka jatuh 23.1% dari RM1,836 kepada RM1,412.

Pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya kekal menduduki tangga teratas dengan gaji penengah tertinggi di pada peringkat negeri dengan gaji penengah bulanan sebanyak RM3,717, menurun sedikit berbanding RM3,749 pada tahun sebelumnya.

Putrajaya Catat Gaji Penengah Tertinggi di Malaysia

Kelantan pula berada di tangga tercorot dengan gaji penengah pekerja sebanyak RM1,343 sebulan, jatuh RM296 berbanding RM1,639 pada tahun sebelumnya.

Penjawat Awam Catat Pertumbuhan Gaji Positif

Data yang dikeluarkan mengikut industri menunjukkan pekerja-pekerja yang berada di sektor awam ( pentadbiran awam dan pertahanan, aktivit keselamatan sosial wajib ) kekal mencatatkan pertumbuhan gaji yang memberangsangkan. Gaji penengah mereka telah meningkat 3.9% dari RM3,620 kepada RM3,761 pada 2020.

Para guru dan pekerja kesihatan juga mencaatatkan gaji penengah positif iaitu masing-masing meningkat kepada RM5,058 dan RM3,602 sebulan pada 2020.

Penemuan ini sudah dapat dijangka kerana tatkala segenap lapisan ekonomi telah terjejas teruk susulan langkah kawalan penularan Covid-19, sektor awam merupakan satu-satunya institusi yang berfungsi secara penuh.

400,000 Orang Pekerja Bekerja Kurang Enam Jam Sehari

Laporan turut menunjukkan terdapat berlaku peningkatan mendadak bagi pekerja yang tidak bekerja secara sepenuh masa. Kumpulan pekerja yang bekerja kurang dari enam jam sehari telah meningkat 175% dari 145,400 orang pada 2019 kepada 400,300 orang pada 2020.

Situasi Semasa Lebih Parah

Keadaan semasa dimana negara masih lagi berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan ( kini dikenali sebagai Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara ) mencerminkan realiti sebenar ekonomi di negara ini. Meskipun sudah lebih 17 bulan kita berhadapan dengan virus ini, orang ramai masih lagi skeptikal dengan prospek keadaan ekonomi pada masa akan datang.

Kadar suntikan vaksin yang tinggi tidak memberikan apa-apa makna buat mereka yang menetap di Lembah Klang dan negeri-negeri yang teruk terkesan dengan Covid-19. Bilangan kes-kes baru terus mencatatkan rekod tertinggi jangkitan pada akhir-akhir ini.

Harus diingatkan, laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia ini khusus buat tenaga buruh yang mempunyai kerja tetap ( makan gaji ). Hakikatnya di Malaysia, kita mempunyai 2.1 juta orang pekerja yang bekerja sendiri yang jauh lebih terkesan dengan krisis ini.

Jika pekerja makan gaji dibuang kerja, sekurang-kurangnya mereka akan mendapat bantuan daripada PERKESO ataupun berpeluang untuk mengeluarkan simpanan persaraan mereka. Namun bagi mereka yang bekerja sendiri, hanya 6% daripada mereka yang mencarum kepada PERKESO.

Pekerja Berbangsa Cina Kekal Raih Gaji Penengah Tertinggi di Malaysia

Perkara ini memberikan tekanan yang besar jika mereka kehilangan pendapatan tambahan lagi dengan pendapatan bulanan yang tidak stabil dan lebih rendah.

Dengan prestasi ekonomi yang menyedihkan tahun ini, adalah sesuatu yang tidak mengejutkan jika trend penurunan gaji pekerja di Malaysia akan terus mengalami kejatuhan untuk tahun kedua berturut-turut.

Melihat dari kerangka yang lebih besar, isu gaji yang merudum bukanlah sesuatu masalah besar buat pasaran buruh negara dalam konteks semasa. Hal ini kerana gaji hanya dapat diberikan kepada golongan yang ‘bertuah’ iaitu mereka yang masih lagi mempunyai pekerjaan.

Masalah utama yang perlu lebih diberi perhatian adalah isu pengangguran terutamanya pengangguran belia yang akan membelenggu negara ini untuk tempoh seketika selepas krisis kesihatan ini berakhir. Dan jika perkara ini tidak ditangani dengan sewajarnya, ia bakal menjadi bom detik yang bakal meledak tidak lama lagi apabila rakyat kembali bergerak.