Kerajaan Suntik RM5 Bilion Hadapi PKP3.0

Share it

Pentadbiran Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi PEMERKASA+ bagi mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang bermula 1 Jun 2021. Sejumlah RM5 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan beberapa inisiatif kerajaan bagi meringankan beban rakyat.

Kerajaan turut memberi tambahan Bantuan Prihatin Rakyat ( BPR ) sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 sebulan. Manakala bagi isi rumah berpendapatan diantara RM2,500 sehingga RM5,000, bantuan tambahan RM300 akan diberikan pada Jun nanti.

Individu bujang pula menerima tambahan RM100 seorang.

Kerajaan juga bersetuju memperuntukkan tambahan RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan mengukuhkan sektor kesihatan negara. Sejumlah 14,000 kakitangan kontrak kesihatan akan dilanjutkan kontrak sehingga tahun 2022 manakala 500 petugas kesihatan yang bersara wajib juga bakal dilanjutkan kontrak.

2.5 juta pekerja turut bakal menikmati pelanjutan subsidi upah selama satu bulan dengan anggaran kos sebanyak RM1.5 bilion ditanggung kerajaan. Manakala bagi pemilik perniagaan mikro, tambahan RM500 bakal diberikan melalui Geran Khas Prihatin yang dibayar pada Jun dan Julai.

Perdana Menteri menegaskan bahawa penutupan sektor-sektor ekonomi bakal memberi kesan yang besar terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat. Beliau menyeru kesemua pihak bekerjasama untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini.

Keseluruhan pakej rangsangan ekonomi PEMERKASA+ ini dianggarkan bernilai RM40 bilion dengan hanya hanya RM5 bilion suntikan fiskal daripada kerajaan.