Pada 8 Mac 2020, seluruh dunia menyambut Hari Wanita Sedunia demi mengiktiraf serta menyanjungi titik peluh kaum wanita dalam menuntut kesamarataan jantina dan hak-hak wanita.
Malaysia selaku salah satu anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, telah mengangkat Kesaksamaan Jantina (Gender Equality) sebagai salah satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) yang ingin dicapai menjelang tahun 2030.
Sebelum kejatuhan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, gabungan politik ini juga telah menyuarakan ketekalan mereka dalam memperkasakan golongan wanita terutamanya dalam barisan kepemimpinan badan-badan kerajaan. Pelantikan wanita sebagai Ketua Hakim, ketua-ketua badan kerajaan, dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah diakui masyarakat sebagai langkah-langkah menuju kesaksamaan jantina.
Namun begitu, sekilas pandang fakta dan statistik berkaitan wanita mendedahkan bahawa agenda kesaksamaan jantina di Malaysia bukan sahaja tidak mengalami kemajuan, malah semakin merosot di mata dunia dan rantau.
Laporan terkini Indeks Jurang Jantina Global 2020 (Global Gender Gap Index) yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) menunjukkan bahawa daripada sejumlah 153 negara, Malaysia telah jatuh tiga anak tangga ke kedudukan 104. Di dalam rantau Asia Tenggara, Malaysia terletak di tempat kesembilan, mengatasi hanya negara Myanmar dan Timor Leste.
Kedudukan Malaysia yang sangat sorot berdasarkan Indeks ini disebabkan terutamanya jurang jantina yang besar dalam dua bidang, iaitu pemerkasaan politik dan juga penyertaan ekonomi.
Walaupun sudah 14 tahun terlibat dengan Indeks Jurang Jantina, keadaan pemerkasaan wanita dalam politik Malaysia masih menyedihkan. Dapatan ini disahkan oleh kajian yang dibuat oleh Inter-Parliamentary Union pada Mac 2019.
Perwakilan wanita di Dewan Rakyat yang berkadar 14.4% meletakkan negara kita di tangga ke 141! Di Asia Tenggara, Malaysia menduduki tangga tiga tersorot di atas Myanmar, Brunei dan Thailand. Hanya peratusan wanita di Kabinet dilihat bagus secara relatif di rantau ini.
Dari segi penglibatan ekonomi pula, kaum wanita masih jauh ketinggalan berbanding kaum lelaki. Kadar penyertaan tenaga buruh (labour force participation rate) wanita pada suku kedua 2019 hanya berjumlah 55.8% berbanding 80.8% buat lelaki. Selain itu, hanya 20.4% jawatan kanan (senior) dalam tenaga kerja dipegang oleh wanita.
Ini belum mengambil kira jurang pendapatan mengikut jantina yang sering mendapat perhatian para peneliti belakangan ini. Data tahun 2018 dari Jabatan Statistik Negara membuktikan bahawa terdapat jurang pendapatan yang ketara mengikut jantina merentasi SEMUA jenis pekerjaan. Walaupun tahap pendidikan sama, perempuan masih dibayar lebih rendah berbanding lelaki.
Data-data ini menunjukkan masih jauh perjalanan Malaysia untuk mencapai Matlamat No. 5 SDG iaitu Kesaksamaan Jantina. Pastinya ia bukanlah sebuah perkara yang mudah.
Faktor budaya sesungguhnya memainkan peranan sangat besar dalam menghambat kemaraan golongan wanita dalam alam pekerjaan. Misalnya, kepercayaan bahawa wanita lebih sesuai menjadi surirumah daripada bekerja sangat berleluasa terutamanya dalam kalangan masyarakat konservatif.
Selain itu, pemikiran pihak usahawan yang mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira kebajikan wanita juga penghalang utama. Baru-baru ini sahaja negara terkesima dengan kenyataan seorang pereka kasut terkenal di wawancara televisyen secara langsung. Pada pendapatnya, cuti bersalin yang panjang tidak bagus kerana pemilik perniagaan lebih mahukan pekerja yang boleh kembali bekerja dengan cepat.
Justeru, cabaran yang menimpa kaum wanita datangnya dari berbagai lapisan masyarakat, bukannya hanya yang konservatif ataupun yang moden.
Meski itu, kita boleh menanam harapan kepada usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh badan-badan kerajaan dan organisasi-organisasi sosial demi menjadikan kesaksamaan jantina sebuah realiti. Antaranya ialah #111iniative (inisiatif111) yang memperjuangkan peningkatan kehadiran wanita Dewan Rakyat kepada 111 kerusi.
Kata peneraju kempen tersebut Qyira Yusri,
“Kita sedang mencuba menambahkan perwakilan wanita di Dewan Rakyat menjadi 50 peratus memandangkan kaum wanita mewakili 50 peratus populasi Malaysia. Usaha kami adalah untuk menimbulkan kesedaran dengan menuntut masyarakat, dan terutamanya parti-parti politik, untuk berhadapan dengan masalah ini pada puncanya. Kita tidak dapat mengundi untuk kaum wanita jika mereka bertanding pun tidak semasa pilihan raya.”
Menurut Qyira lagi, dengan adanya sistem legislatif yang lebih seimbang dari segi jantina, budaya politik negara akan menjadi lebih matang dan terangkum. Kemudian, barulah hal-hal seperti diskriminasi bedasarkan jantina, gangguan seksual, nikah bawah umur dan cuti bersalin dapat diperdebatkan dengan lebih menyeluruh.
Akhir kata, walau perjalanan masih jauh, diharapkan agar usaha-usaha seperti #111initiative dapat meningkatkan kesedaran dan kesungguhan masyarakat dalam mencapai kesaksamaan jantina. Tanggungjawab ini tidak jatuh pada organisasi-organisasi sosial sahaja, tetapi wajar dipikul setiap anggota masyarakat tidak kira bangsa, agama atau umur.
FIKRI FISAL merupakan penyelidik pengajian pembangunan dan ekonomi politik (political economy). Beliau juga merupakan penulis bersama buku Minister of Finance Incorporated: Ownership and Control of Corporate Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2017.