Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa, IATA pada 5 Mac 2020 telah mengeluarkan penilaian impak Coronavirus terhadap industri penerbangan global. Menurut Ketua Pakar Ekonomi IATA Economics, impak Covid-19 terhadap ekonomi dunia adalah lebih besar kerana bahagian ekonomi China berbanding ekonomi global telah meningkat dari 4% pada 2002 kepada 16% pada 2018.
Bersandarkan senario SARS yang berlaku pada 2003, Covid-19 diunjurkan akan mengakibatkan syarikat-syarikat penerbangan Asia Pasifik untuk rugi sekitar 13% hasil untuk setiap kilometer [ Revenue Per Kilometer (RPK) ] pada tahun 2020.
Industri penerbangan global dijangka akan kehilangan AS$29.3 bilion ataupun RM126 bilion dimana rantau Asia Pasifik dijangka paling terkesan akibat wabak Covid-19 ini. Pasaran penerbangan China dilaporkan mengalami pengurangan tempahan tiket penerbangan sehingga 80% diikuti Korea Selatan sekitar 60% pada April tahun ini berbanding April tahun lalu.
Larangan perjalanan yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat terhadap negara-negara Eropah turut memberikan kesan yang besar untuk industri penerbangan. Hasil daripada penumpang untuk pasaran Amerika-Schengen menyumbang sekitar RM88.6 bilion kepada sektor penerbangan.
Saham-saham syarikat penerbangan global juga menjunam sekitar 24% sejak wabak Covid-19 dikesan di luar China dimana terdapat kejatuhan mendadak nilai saham syarikat penerbangan apabila negara-negara seperti Iran, Korea Selatan serta Itali turut melaporkan jumlah kes yang semakin meningkat.
Saham AirAsia Berhad sebagai contoh telah mengalami kerugian 60% dari RM1.56 pada 24 Januari 2020 ( hari pertama kes Covid-19 dilaporkan di Malaysia ) kepada RM0.62 pada 17 Mac 2020. Berdasarkan laporan suku tahunan, Airasia yang mempunyai tunai sekitar RM2.5 bilion mampu bertahan terhadap kejutan aliran wang selama 2.6 bulan berdasarkan jumlah purata hasil RM997 juta untuk setiap bulan pada tahun lalu.
Walaubagaimanapun, kejatuhan harga minyak dunia dijangka sedikit sebanyak dapat membantu syarikat penerbangan untuk mengurangkan kos operasi penerbangan sekaligus mengurangkan tekanan kewangan yang semakin meruncing.
Hampir kesemua syarikat penerbangan di Malaysia telah mengambil beberapa langkah dalam menghadapi cabaran Covid-19 ini. Malindo Airways dilaporkan telah memotong gaji pekerja sebanyak 50% manakala Malaysia Airlines serta AirAsia pula memotong pendapatan pengurusan tertinggi.
Situasi Covid-19 di Malaysia kelihatan semakin meruncing apabila terdapat peningkatan kes yang mendadak kepada 673 kes sehingga 17 Mac 2020. Kerajaan telah mengambil langkah drastik dalam membendung wabak ini dengan mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.