Pasaran Saham Kuala Lumpur Terus Menjunam

Share it

saham bursa malaysia | ekonomi rakyat

Pasaran Saham Kuala Lumpur terus menjunam meskipun kemelut politik negara telah selesai susulan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8. Indeks FBM KLCI yang mengukur prestasi 30 syarikat terbesar di dalam pasaran saham jatuh 24 mata kepada 1458 mata pada pagi ini.

Saham syarikat arak, Carlsberg jatuh sekitar 9% pada dagangan pagi manakala pesaingnya, Heineken Malaysia pula susut 11% susulan prospek negatif berkemungkinan berpunca daripada kemasukkan Parti Islam se-Malaysia ( PAS ) sebagai anggota kerajaan.

Operator kasino tunggal di Malaysia, Genting Malaysia Berhad juga mengalami penyusutan nilai saham sekitar 3% ketika dibuka.

Saham syarikat pembekal fiber optik yang berkait dengan Dato’ Mukriz Mahathir, Opcom Berhad mengalami kejatuhan mendadak sekitar 17%. Sementara itu, syarikat Datasonic yang terkait dengan perbicaraan kes melibatkan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi pula naik 11%.

Saham Eden Berhad yang berkait dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui anaknya, Datuk Fakhri Yassin pula mencanak naik 30% pada pagi ini.

Sepanjang kemelut politik berlangsung pada minggu lalu, Indeks Bursa Malaysia susut 3.2% dari 1531 mata pada 21 Februari 2020 kepada 1482 mata pada 28 Februari, terendah sejak 10 tahun yang lalu. Faktor politik domestik serta jangkitan Coronavirus yang merebak di beberapa buah negara memberikan tekanan kepada pasaran saham negara.