Penggabungan UEM Sunrise & EcoWorld Cetus Kebimbangan

Khazanah Bakal Bail Out EcoWorld?
Share it

UEM Sunrise, syarikat yang majoriti sahamnya dipegang oleh Khazanah melalui UEM Group disahkan oleh Bursa Malaysia untuk menjalani proses penggabungan dengan syarikat seteru, EcoWorld Berhad yang diketuai oleh Tan Sri Liew Kee Sin.

EcoWorld diambil alih oleh TS Liew selepas beliau menjual SP Setia kepada Permodalan Nasional Berhad beberapa tahun lalu.  Ura-ura penggabungan dua syarikat gergasi ini sebelum ini mendapat reaksi negatif di media sosial yang mana ramai beranggapan bahawa ia satu usaha untuk menyelamatkan ataupun bail-out EcoWorld.

Syarikat hartanah tersebut kini mempunyai hutang dan pinjaman lebih kurang RM1.8 bilion dengan liabiliti semasa sebanyak RM4.3 bilion. Dengan hanya tunai sekitar RM600 juta, EcoWorld dikatakan berdepan dengan masalah aliran tunai disebabkan oleh aset-aset yang tidak terjual.

Aset-aset ini menurut laporan tahunan tahun 2019 bernilai sekitar RM4 bilion dimana dijangka tidak dapat menjana aliran wang kerana pasaran hartanah yang muram akibat Covid-19 ini. EcoWorld turut dijangka untuk membuat rosot nilai yang tinggi akibat harga rumah yang semakin menjunam kebelakangan ini.

Rata-rata mengatakan penggabungan UEM Sunrise dan EcoWorld bukanlah sesuatu keputusan yang bijak. Harga saham EcoWorld telah jatuh dari RM1.40 kepada RM0.40 dengan hanya modal pasaran sebanyak RM1.16 bilion.

Penggabungan kedua-dua syarikat ini berpotensi tidak akan menguntungkan syarikat kekayaan negara iaitu Khazanah dan mungkin berdepan dengan nasib yang serupa seperti yang dialami oleh SP Setia. PNB membeli saham SP Setia pada nilai RM3.90 pada 2011 dengan kerugian nilai saham sebanyak 80% apabila harga semasa terkini hanya didagangkan pada RM0.76.

Spekulasi mengenai penggabungan dua entiti ini iaitu UEM Sunrise dan EcoWorld bermula pada September tahun lalu yang mana media melaporkan terdapat kebimbangan terhadap urusniaga ini yang dikatakan hanya menguntungkan sebelah pihak saja.

Kedua-dua saham syarikat tersenarai ini telah digantung dari dagangan dengan notis telah dikeluarkan dimana EcoWorld dijangka akan dinyahsenarai dari Bursa Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *