PETRONAS Belanja RM3.2 bilion untuk Tajaan F1

Share it

Formula satu merupakan sebuah industri sukan permotoran yang paling mahal dengan kos setiap pasukan berjumlah RM1.2 bilion. Modal pasaran Liberty Media, pemegang hak komersial F1 saja bernilai RM77 bilion yang didagangkan di pasaran saham Nasdaq. Dengan promosi serta prestij yang tinggi, pengeluar-pengeluar kereta menjadikan F1 sebagai untuk mempromosikan jenama mereka.

Tidak terkecuali, syarikat berkaitan automotif juga menjadikan F1 sebagai salah satu kaedah untuk membina jenama agar dikenali di pentas antarabangsa. Syarikat minyak negara, Petronas telah terlibat dengan sukan F1 sejak tahun 90-an lagi melalui kerjasama bersama Sauber. Petronas telah menaja pasukan Switzerland ini dari tahun 1995 sehingga 2009 ( termasuk BMW Sauber ). Selain itu, Petronas juga merupakan penaja rasmi untuk GP Malaysia dari mula sukan permotoran ini dibawa masuk ke Malaysia

Sejak tahun 2010, Petronas mengambil satu langkah ke hadapan dengan menaja pasukan Mercedes dengan jumlah tajaan sekitar RM120 juta. Tajaan Petronas berterusan sehingga kini sekaligus mejadikan PETRONAS sebagai penaja terbesar F1 untuk tempoh 10 yang lalu dengan jumlah tajaan terkumpul sebanyak RM3.7 bilion.

Seminar Saham

Langkah Petronas menaja Mercedes ini  mendapat reaksi yang sumbang dari beberapa pihak kerana Petronas tidak menaja pasukan tempatan, Lotus Racing yang turut menyertai F1 pada tahun tersebut. Walaubagaimanapun, selepas sepuluh tahun, langkah Petronas ini membuahkan hasil kerana Mercedes AMG-Petronas telah memenangi enam daripada sepuluh kejuaraan yang terakhir.

CEO Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee pada 2017 menyatakan bahawa Petronas telah berjaya mendapat nilai pengiklanan yang tinggi melalui tajaan ini. Dengan jumlah penonton sekitar 400 juta orang pendedahan Media Global yang diraih melalui tajaan Petronas dianggarkan bernilai RM3.2 bilion.

Kontrak tajaan Petronas bersama Mercedes selama lima tahun dijangka akan berakhir pada tahun ini dan masa depannya masing belum diketahui. Dengan harga minyak yang semakin merudum, Petronas mungkin berdepan kesukaran untuk membelanjakan kira-kira RM320 juta setahun untuk terus berada di pentas F1.

Selain F1, Petronas turut menaja kejuaraan Cub Prix yang merupakan perlumbaan motosikal utama negara. Di pentas antarabangsa, Petronas tampil menaja pasukan MotoGP di ketiga-ketiga kategori iaitu Moto3, Moto2 dan MotoGP.

Meskipun Petronas sering menaja sukan permotoran yang strategik buat perniagaan mereka, tidak dinafikan bahawa terdapat juga suara-suara sumbang daripada pakar pemasaran baru-baru ini apabila Petronas menaja Le Tour De Langkawi yang dianggap sebagai tidak cocok dengan produk perniagaan mereka.

Kami mendapatkan pakar pemasaran, En. Ivan Ibrahim Omar untuk memberikan pandangan beliau mengenai perkara ini melalui pertanyaan e-mel.

Beliau yang pernah menjawat jawatan sebagai ketua korporat dan komunikasi pemasaran di Petronas Dagangan menyatakan bahawa pulangan terhadap Petronas terhadap tajaan di dalam F1 setelah 25 tahun sudah tidak lagi berpatutan. Katanya, Petronas telah tersenarai di dalam Fortune 500 dan tidak perlu bergantung kepada jenama lain untuk meningkatkan status dan kredibiliti di persada dunia.

Beliau juga berpandangan bahawa Petronas lebih perlu memilih dalam menentukan rakan strategik mereka untuk tujuan penajaan dan mencadangkan supaya Petronas bekerjasama dengan agensi yang melaksanakan agenda kebangsaan seperti Tourism Malaysia, Sambutan Kemerdekaan dan sebagainya.

” Ringkasnya, mereka perlu membuat penaakulan lebih mendalam apabila menentukan rakan kerjasama yang boleh berkongsi nilai jenama mereka – penentunya haruslah sama ada nilai kerjasama ini boleh meningkatkan jenama PETRONAS di mata dunia dan program berkaitan agenda negara atau bina negara. “ tambah beliau

Ivan Ibrahim yang telah berkhidmat lebih 20 tahun di dalam bidang pemasaran ini turut menyatakan bahawa tajaan Petronas di dalam Le Tour de Langkawi sebagai tidak strategik. LTDL katanya sebagai tidak memberikan sebarang nilai tambah kerana tidak mempunyai sebarang kaitan dengan urusniaga teras iaitu minyak dan gas.

Berbeza dengan tajaan di dalam aktiviti sukan MotoGP dimana ia boleh dijadikan medan untuk meguji keberkesanan dan kebolehan minyak pelincir mereka.