PM Umum Pakej Rangsangan Tambahan Sebanyak RM10 Bilion

Pakej Ransangan Tambahan
Share it

Perdana Menteri pada Isnin mengumumkan langkah tambahan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM10 bilion. Sebanyak RM7.9 bilion lagi diperuntukkan kepada Skim Subsidi Gaji kepada pekerja tempatan yang bergaji sehingga RM4,000.

Ini menjadikan kos keseluruhan skim subsidi gaji ini sebanyak RM13.8 bilion meningkat dari RM5.9 bilion. Jumlah subsidi juga ditingkatkan bagi perusahaan yang mempunyai 75 orang pekerja dan kebawah dengan kadar subsidi gaji sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja. Manakala bagi syarikat yang mempunyai sehingga 200 pekerja akan memperoleh RM800 bagi setiap pekerja.

Syarikat yang mempunyai lebih dari 200 orang turut menerima subsidi gaji sebanyak RM600 bagi setiap pekerja. Namun begitu, jumlah maksimum pekerja yang layak menerima subsidi gaji ini dihadkan kepada 200 orang.

Sebanyak RM2.1 bilion lagi diperuntukkan untuk skim Geran Khas Prihatin bagi semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan. Skim ini dijangka mampu memanfaatkan lebih 2.1 juta PKS mikro di seluruh negara.

Pengumuman tambahan RM10 bilion ini menjadikan suntikan fiskal ke dalam ekonomi sebanyak RM35 bilion ataupun kira-kira 2.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. Suntikan ini sedikit sebanyak meringankan beban majikan yang akan terbeban dengan kos buruh akibat kekurangan hasil yang berpunca dari Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ).

Subsidi RM1,200 ini juga bersamaan dengan 52% gaji penengah pekerja di Malaysia yang rata-rata menerima RM2,308 sebulan. Ini bermaksud kerajaan menanggung lebih separuh gaji pekerja bagi pekerja yang berkhidmat di syarikat kecil.

Walaubagaimanapun, suntikan RM35 bilion ke dalam ekonomi ini tidak cukup untuk membawa negara mengharungi Malaysia keluar dari kemelut ekonomi ini. Jumlah ini tidak sampai separuh berbanding saranan yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia ( MIER ) dimana mereka mencadangkan kerajaan untuk berbelanja sekitar RM75 bilion.

Kajian yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia turut menunjukkan bahawa terdapat kira-kira 48% kejatuhan dalam perbelanjaan penggunaan kepada RM2,110 berbanding sebelum PKP iaitu berjumlah RM4,033. Ini bermaksud terdapat sekurang-kurangnya RM36.24 bilion pengurangan di dalam perbelanjaan pengunaan sepanjang sebulan tempoh PKP ini.

Kerajaan harus mengambil langkah yang lebih drastik dengan menyuntik lebih banyak wang ke dalam ekonomi bagi merancakkan lagi ekonomi sejurus Covid-19 ini reda dan PKP ditamatkan. Suntikan berjumlah RM35 bilion tidak cukup untuk mengeluarkan Malaysia dari kemelesetan secepat mungkin setelah Covid-19 ini berakhir.