NHS dan Penjagaan Kesihatan Sejagat

Share it

Pandemik Covid-19 menyedarkan kita betapa mustahaknya sistem penjagaan kesihatan sejagat (universal healthcare) di negara Malaysia. Tak kira warganegara atau bukan, kaya atau miskin, semuanya bergantung nasib pada sistem perubatan awam untuk mendapatkan rawatan atau ujian saringan Covid-19.

Sistem perubatan sedemikian diwarisi pentadbiran Malaysia sejak kemerdekaan. Bahkan sebelum kemerdekaan lagi telah bermula pembinaan hospital-hospital oleh pemerintahan kolonial British. Walaupun hasratnya untuk penjagaan kesihatan tenaga buruh demi kepentingan perladangan dan perlombongan milik mereka, penduduk Malaya juga menerima manfaat secara tidak langsung.

Malangnya, tidak semua masyarakat dunia dapat menikmati penjagaan kesihatan sejagat.

Di Amerika Syarikat (AS), penguasaan syarikat swasta dalam penjagaan kesihatan telah menyebabkan kos perubatan menjadi sangat mahal lalu meminggirkan golongan berpendapatan rendah. Laporan OECD mendapati AS sebagai negara yang mempunyai sistem kesihatan termahal di dunia. Ketika diserang wabak Covid-19, bil perubatan seorang pesakit yang terjangkit melambung hingga ke 32,927.43 dolar Amerika!

Lantaran itu insurans kesihatan merupakan keperluan asasi buat warga AS. 92% daripada mereka memiliki insurans pada tahun 2017. Malah, salah satu kempen utama Presiden Obama adalah Obamacare, yang bertujuan meluaskan milikan insurans kesihatan oleh golongan pekerja.

Adakah keadaan ini normal di negara-negara maju? Semestinya tidak. Amerika Syarikat boleh dianggap satu-satunya negara maju yang tidak mempunyai penjagaan kesihatan segajat hari ini. Banyak negara di Eropah telah pun melaksanakan penjagaan sejagat sepanjang abad ke-20.

Barangkali yang paling signifikan adalah pengenalan National Health Service (Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan) pada tahun 1948. Penderitaan dan kesengsaraan tak henti-henti ekoran Perang Dunia Pertama (1914-1918), Great Depression (1929-1938) dan Perang Dunia Kedua (1939-1945) telah melahirkan tekanan supaya kerajaan berbuat sesuatu untuk memulihkan keadaan.

Kalau dulunya kerajaan bersifat terhad mengikut faham konvensional ketika itu, kini timbul desakan supaya kerajaan mengambil peranan lebih besar untuk menjamin kesejateraan rakyat. Kerajaan diseru untuk memikirkan langkah-langkah melindungi kebajikan rakyat, ramainya yang terjejas dari segi pendapatan, keperluan asasi dan kesihatan akibat peperangan dan kemelesetan ekonomi.

Kerajaan gabungan Konservatif-Buruh zaman perang lantas menerbitkan Laporan Beveridge pada tahun 1943 yang bertujuan menamatkan keperitan rakyat jelata. Antara cadangannya adalah penubuhan sebuah sistem penjagaan kesihatan sejagat di Britain yang dipanggil NHS. Berdasarkan sistem ini, seluruh hospital di Britain dimiliknegarakan, dan dibukakan kepada semua warganegara Britain tanpa had dan diskriminasi. Pembiayaan NHS hampir kesemuanya datang daripada perbendaharaan awam.

Tentunya, idea ini ditentang hebat sekali. Mana mungkin sebuah negara kapitalis melancarkan program berbajet besar yang berbaur sosialisme ini? Antara penentang hebat cadangan ini tidak lain tidak bukan ialah ketua Parti Konservatif dan Perdana Menteri kerajaan gabungan, Winston Churchill, yang disanjungi ramai atas kepimpinan berketerampilan beliau sewaktu Perang Dunia Kedua.

Namun, kehendak rakyat terbukti lebih kuat apabila Parti Konservatif di bawah pimpinan Churchill tewas dalam pilihan raya umum 1945 kepada Parti Buruh, yang memperjuangkan idea-idea terkandung dalam Laporan Beveridge. Sesudah menjadi kerajaan, Parti Buruh tanpa membuang masa melaksanakan pembaharuan-pembaharuan pasca-perang berlandaskan laporan itu. Maka, lahirlah apa yang digelar Negara Kebajikan (Welfare State) di Britain.

Dari tahun 1945 hingga ke 1951, pelbagai pembaharuan dilaksanakan. Selain NHS, diperkenalkan juga sistem pencen kebangsaan, perlindungan sosial bagi penganggur dan pekerja yang ditimpa musibah, perumahan awam, dan pendidikan percuma. Kerajaan juga telah memiliknegarakan industri-industri strategik seperti kereta api, pembuatan besi dan keluli, arang batu, tenaga elektrik dan gas demi menyediakan peluang pekerjaan buat rakyat Britain.

Negara Kebajikan hanya bertahan selama lebih kurang tiga dekad. Menjelang akhir tahun 1970-an, kelesuan ekonomi, kecelaruan politik dan perbalahan dengan parti-parti nasionalis dan kelas pekerja, telah menyebabkan Parti Buruh tewas kepada Parti Konservatif pimpinan Margaret Thatcher.

Pentadbiran Thatcher, yang menentang idea Negara Kebajikan dan mendokong “kerajaan terhad” (limited government), menamatkan atau mengecilkan program-program sosial berkos tinggi. Syarikat-syarikat yang dimiliknegarakan Parti Buruh terdahulu diswastakan kembali atas nama penjimatan dan kecekapan.

Namun, keutamaan NHS tidak berdaya dinafikan apabila Pentadbiran Thatcher yang beriltizam untuk mengurangkan beban kerajaan, berkeputusan mengekalkan NHS. “NHS selamat di tangan kita,” ujar Thatcher pada tahun 1982.

Dan sekali lagi hari ini, kita dapat melihat betapa penting dan bermaknanya NHS dalam hati sanubari rakyat Britain. Rakyat telah menganjurkan “Claps for Carers”, dimana seluruh negara bertepuk tangan dan bersorak demi menzahirkan penghargaan dan sokongan buat warga NHS dalam tempoh mencabar ini. Perdana Menteri Boris Johnson, yang sedang dalam self-quarantine (kuarantin kendiri) di No. 10 Downing Street, dilihat bertepuk tangan di pintu hadapan kediaman.

Ribuan tuan tanah telah menawarkan kediaman percuma kepada kakitangan NHS dan menyeru tuan tanah lain untuk berbuat sedemikian. Sebuah landasan web NHS Homes telah pun dibangunkan bagi memudahkan pencarian tempat tinggal percuma oleh kakitangan NHS.

Lebih menggemparkan adalah pengumuman Kementerian Kesihatan pada 2 April untuk menghapus kira hutang NHS berjumlah 13.4 billion Paun Sterling. Ini membebaskan NHS untuk membuat pelaburan dan perbelanjaan mustahak sempena wabak Covid-19. Walau ada yang menyifatkan tindakan ini sekadar window-dressing (hiasan luaran), ia menggambarkan kepentingan simbolik NHS di Britain.

Serupa di Malaysia, kepentingan sistem kesihatan awam terlihat jelas sewaktu negara dilumpuhkan virus Covid-19. Hanya hospital kerajaan yang memiliki keupayaan dan kelengkapan sewajarnya untuk menangani wabak ini. Tidak kira siapa atau berapa ramai yang terjangkit, hospital kerajaan tetap bersedia menjalankan ujian saringan dan rawatan, dengan kos minimum bahkan percuma. Ini tidak mungkin akan berlaku sekiranya sistem kesihatan kita dikuasai syarikat swasta.

Sistem perubatan awam harus diutamakan walaupun jaringan hospital swasta mampu mengurangkan beban hospital kerajaan. Pada saat-saat genting seperti pandemik yang kian melanda, hospital awam juga yang menjadi barisan pertahanan akhir negara. Di Perancis dan Sepanyol, pihak kerajaan telah mengambil alih seluruh hospital swasta setelah kes kematian melonjak hari demi hari.

Kementerian Kesihatan Malaysia senantiasa menerima peruntukan yang besar tiap-tiap tahun, menandakan komitmen kerajaan dalam memperkasakan penjagaan kesihatan negara. Bagi tahun 2020, peruntukan Kementerian Kesihatan telah meningkat daripada 7% daripada RM 28.7 billion ke RM 30.6 billion.

Namun, kita tidak boleh alpa dengan masalah-masalah struktural yang wujud. Kekurangan bilangan hospital, alat kelengkapan, tenaga doktor dan kakitangan perubatan, tahap pendapatan dan tempat untuk doktor pelatih antara kebimbangan yang telah dibangkitkan mutakhir ini. Malah, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah antara yang telah menyuarakan kebimbangan ini di laman Twitter pada tahun lepas.

Kegagalan untuk membendung masalah-masalah ini akan menjejaskan tahap perlindungan kesihatan golongan B40 dan M40, yang ramainya tidak mampu miliki insurans kesihatan dan masih bergantung kuat kepada sistem perubatan awam. Rakyat kita tidak mampu untuk berharap kepada sistem insurans kesihatan swasta seperti di Amerika Syarikat.

Bagi tahun 2019, kadar penembusan insurans di Malaysia hanyalah berkadar 41%, kurang daripada setengah jumlah penduduk! Dengan premium insurans dijangkakan meningkat 30% tahun ini, pastinya makin kurang orang yang mampu memiliki insurans kesihatan. Lebih-lebih lagi dengan anggaran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bahawa 2.4 juta pekerjaan akan hilang akibat Covid-19.

Skim MySalam yang diumumkan tahun lepas hanya terdaya memberikan bantuan tunai one-off dan pendapatan ganti (replacement income) kepada golongan B40 dan M40. Ia langkah baik ke arah perlindungan sosial sejagat, namun masih tidak menyelesaikan isu-isu struktural sistem perubatan kebangsaan.

Di samping itu, terdapat kritikan terhadap amaun bayaran one-off yang kurang memadai dan kerumitan birokratik dalam proses penuntutan bayaran. Data terkini menunjukkan hanya RM13.7 juta berjaya dimaanfaatkan B40 daripada peruntukan RM400 juta setahun. Hanya 3.4%! Mungkin masih terlalu awal untuk menilai prestasi MySalam, tetapi data awal ini amatlah tidak memberangsangkan.

Jika masalah-masalah struktural itu tak diendahkan, sistem kesihatan awam akan merosot hingga sukar untuk dipulih semula. Apabila kepercayaan terhadap sistem awam hilang, lambat-laun penjagaan kesihatan kita kebanyakannya akan dikendali oleh syarikat-syarikat swasta. Adakah kita akan senasib dengan pengundi Amerika Syarikat yang terpaksa bergelut dengan kos perubatan dan premium insurans kesihatan yang sangat membebankan?

Biarlah pandemik Covid-19 ini membuka mata kita semua. Sistem kesihatan awam Malaysia merupakan khazanah berharga yang wajib dipelihara buat generasi ini dan generasi seterusnya. Jika dibiarkan, jurang ketidaksamaan yang sudah pun luas akan makin melebar. Atas nama keadilan sosial, penjagaan kesihatan sejagat wajib dipertahankan. Ingatlah kata-kata Martin Luther King Jr., “Dalam semua jenis ketidaksamaan, ketidakadilan dari segi kesihatan adalah yang paling zalim dan kejam.”

FIKRI FISAL merupakan penyelidik pengajian pembangunan dan ekonomi politik (political economy). Beliau juga merupakan penulis bersama buku Minister of Finance Incorporated: Ownership and Control of Corporate Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2017.