Premium Disebalik Ketinggian

Share it
Premium Dibalik Ketinggian

Menjadi tinggi merupakan salah satu sifat fizikal yang diidamkan oleh ramai orang. Ada yang berasa tertekan akibat paras fizikal yang rendah sehinggakan membuka pasaran buat sebilangan kapitalis untuk menjual ubat menambahkan ketinggian.

Di Malaysia, purata ketinggian bagi lelaki adalah 165cm manakala bagi wanita adalah 154cm.

Dunia telah ditanamkan dengan idea bahawa seseorang yang mempunyai fizikal yang tinggi sebagai lebih menawan. Tidak hairanlah pemegang watak utama di dalam kaca televisyen sering kali mempunyai ketinggian melebihi ketinggian orang ramai.

Namun ada sebilangan bintang terkenal yang berjaya menempa nama meskipun mempunyai ketinggian yang sedikit rendah. Tom Cruise sering kali dijadikan classic example sebagai bintang filem yang rendah meskipun beliau mempunyai ketinggian 173cm yang lebih tinggi berbanding purata ketinggian lelaki di Malaysia.

Seminar Saham

*Tom Cruise dianggap rendah kerana purata ketinggian lelaki Amerika adalah 175cm

Persoalannya, selain kelihatan lebih menarik, apakah manfaat yang diperoleh disebalik paras fizikal yang tinggi. Beberapa kajian ekonomi telah menunjukkan penemuan menarik disebalik ketinggian fizikal seseorang itu.

Menurut kajian dari Renmin University of China terhadap 3,500 orang dewasa di China, setiap tambahan 1 cm pada ketinggian akan memberikan tambahan 1.3% kepada pendapatan tahunan. Banyak penemuan yang serupa turut ditemukan apabila kajian yang serupa di buat di negara lain.

Di Amerika Syarikat, kajian yang dijalankan dalam kalangan pelajar universiti mendapati mereka membayangkan bahawa seorang pemimpin ideal itu mempunyai paras fizikal yang tinggi. 64% responden melukis lakaran pemimpin lebih tinggi berbanding orang ramai.

Bagaimana Untuk Menjadi Tinggi?

Ketinggian bukanlah seperti berat badan. Anda mungkin boleh menambah dan mengurangkan berat badan dengan melakukan rutin harian seperti bersenam ataupun menambah pengambilan makanan bagi mencapai objektif anda.

Bagi ketinggian, manusia akan mencapai kemuncaknya pada usia sekitar 18 tahun. Walaubagaimanapun, tidak mustahil bagi seseorang individu itu untuk terus tumbuh membesar sehingga pertengah usia 20-an.

Genetik antara salah satu faktor yang mempengaruhi ketinggian seseorang. Individu yang mempunyai ibu bapa yang tinggi lebih berpotensi untuk mempunyai anak yang tinggi. Namun demikian, faktor-faktor lain turut memberi kesan kepada ketinggian seseorang.

Misalnya, nutrisi yang diberikan kepada seseorang kanak-kanak. Kanak-kanak yang mendapat nutrisi makanan yang mencukupi mempunyai potensi untuk tumbuh membesar pada ketinggian yang normal. Manakala kanak-kanak yang mempunyai isu malnutrisi lebih cenderung untuk mengalami isu bantut.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia, bantut adalah keadaan dimana pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak terjejas akibat kurang nutrisi, jangkitan berulang dan stimulasi psikososial yang tidak mencukupi*.

*kurang perhatian terhadap perkembangan kanak-kanak dari sudut audio, visual dan sentuhan dan emosi oleh penjaga.

Perkara ini perlu diberi perhatian bagi ibu bapa bagi memastikan kanak-kanak tumbuh membesar dengan sihat sekaligus memastikan anak-anak mereka mempunyai ketinggian yang mencukupi. Perkembangan kanak-kanak pada awal usia adalah amat penting kerana ia tidak boleh diterbalikkan.

Isu bantut bukanlah isu tidak cukup tinggi semata-mata. Tetapi ia melibatkan isu kemampuan berfikir dimana kajian di Ethiopia mendapati kanak-kanak bantut mempunyai markah yang lebih rendah berbanding kanak-kanak normal di dalam tugasan Matematik dan soalan pemahaman.

Melonjak ke alam pekerjaan, kanak-kanak yang bantut juga mempunyai pendapatan seumur hidup 20% lebih rendah berbanding rakan-rakan mereka yang normal.

34% Kanak-Kanak di Kelantan Mengalami Bantut

Di Malaysia, Kelantan mengalami isu bantut yang paling kronik sekali apabila 34% kanak-kanak mengalami bantut. Perkara ini tidak menghairankan, dengan keadaan sosio-ekonomi yang serba daif, sudah tentu kanak-kanak disana lebih terkesan dengan masalah bantut.

Jika anda membaca artikel ini, kebarangkalian yang tinggi anda tidak boleh melakukan apa-apa terhadap ketinggian anda. Satu-satunya kaedah yang boleh dipertimbangkan adalah dengan melakukan pembedahan bagi meningkatkan ketinggian.

Tetapi jika anda mempunyai anak yang kecil, selain faktor genetik, nutrisi yang anda berikan boleh mempengaruhi ketinggian mereka apabila mereka membesar. Dan ini sudah pasti akan memberi pelbagai kelebihan kepada mereka apabila mereka menginjak ke usia dewasa kelak.