Kerugian berpanjangan yang dialami FELDA sejak tahun 2013 telah menjejaskan kedudukan kewangan FELDA secara serius. Dewan Rakyat mendedahkan FELDA menanggung hutang sebanyak RM10.7 bilion pada tahun 2020 dengan majoriti hutangnya terdiri daripada pinjaman daripada institusi-institusi kewangan.
FELDA juga dilaporkan mengalami kerugian hampir RM500 juta pada tahun 2021 dan RM1 bilion pada tahun 2022 akibat kos operasi serta kos faedah hutang yang tinggi.
Cuba Tamatkan Perjanjian Pajakan Tanah Dengan FGV
Tertekan dengan isu kewangan, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan FELDA pada Jun 2020 yang dipengerusikan oleh tokoh korporat, Tan Sri Abdul Wahid Omar untuk menangani masalah yang menimpa FELDA .
Salah satu langkah terawal yang diambil pada tahun tersebut adalah dengan cuba untuk menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) 350,000 hektar dengan FGV. Rasional di sebalik usaha ini adalah kerana pembayaran LLA oleh FGV yang lebih rendah berbanding unjuran asal.
FELDA pada awalnya menjangkakan menerima RM800 juta setahun daripada FGV melalui bayaran LLA, namun hanya menerima purata RM300 juta setahun daripada FGV.Â
Mengikut Perjanjian yang ditandatangani ketika IPO, FGV perlu membayar RM248 juta dan tambahan 15% daripada keuntungan operasi kepada FELDA sebagai bayaran LLA.
Jika LLA ini ditamatkan, FELDA akan mengambil alih kembali operasi kesemua 350,000 hektar ladang miliknya dan menerima hasil penuh daripada penjualan minyak sawit mentah. Namun dalam masa yang sama, mereka juga perlu membiayai kos pekerja, kos baja, kos perumahan pekerja ladang dan sebagainya.
FGV bagaimanapun menjelaskan bahawa bayaran LLA yang rendah adalah berpunca daripada harga minyak sawit mentah global yang rendah serta disebabkan mewarisi pokok-pokok kelapa sawit yang sudah tua daripada FELDA, sekaligus menyebabkan mereka perlu membelanjakan sekitar RM300 juta setiap tahun untuk prorgam penanaman semula.
FGV di dalam kenyataannya pada tahun 2020 itu juga menegaskan bahawa masalah yang dihadapi oleh FELDA bukanlah berpunca daripada pembayaran LLA yang rendah, tetapi disebabkan hasil yang dijana daripada IPO FGV tidak dibelanjakan untuk pelaburan-pelaburan yang bermanfaat.

FELDA dilaporkan telah menerima RM5.6 bilion dari FGV sejak tahun 2012 hasil LLA, dividen dan lain-lain bayaran. Tetapi, FELDA kekal dibelenggu dengan kekangan kewangan.
Meskipun langkah menamatkan LLA Ini telah mendapat persetujuan kabinet pada pentadbiran yang lalu, namun langkah itu tidak diteruskan disebabkan oleh pampasan yang begitu tinggi yang perlu dibayar oleh FELDA.Â
Menurut laporan media, FELDA dianggarkan perlu membayar sehingga RM4.3 bilion kepada FGV, jika ingin meneruskan penamatan LLA. Dengan poket yang nipis, FELDA sudah semestinya perlu menoleh kepada Kerajaan untuk membiayai mereka untuk membayar pampasan ini.
Pilihan Kedua – Ambil Alih FGV
Memandangkan kos untuk menamatkan LLA yang terlalu tinggi, FELDA merancang untuk menyahsenaraikan FGV bagi mengawal kembali FGV dan secara tak langsung mendapatkan kembali keseluruhan tanah-tanah yang dipajak kepada FGV.
Justifikasinya mudah, kos mengambialih FGV adalah lebih rendah berbanding kos membayar pampasan kepada FGV. Permodalan pasaran FGV pada ketika ini hanyalah RM4.8 bilion,Â
Dengan sebahagian besar saham FGV telah dimiliki oleh FELDA, kos mengambilalih saham-saham yang lain tidaklah setinggi membayar pampasan RM4.3 bilion penamatan LLA kepada FGV.
Pada Disember 2020, FELDA memulakan langkah dengan membeli saham FGV sedikit demi sedikit, bermula dengan pembelian 13% saham FGV dari Urusharta Jemaah dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).
FELDA pada ketika itu mempunyai 34% saham di dalam FGV, namun menjelang Mac 2021, FELDA hanya berupaya meraih 81% saham FGV dengan tawaran RM1.30 sesaham melalui tawaran mandatori.
Kegagalan FELDA untuk meraih sekurang-kurang 90% kawalan saham di dalam FGV menyebabkan FELDA tidak berupaya untuk menyahsenaraikan syarikat berkenaan. Media melaporkan antara punca kegagalan tersebut adalah keengganan pemegang saham minoriti seperti Kerajaan Negeri Pahang dan Sabah untuk menjual pegangan mereka.

RHB Investment Bank yang menjadi Penasihat Bebas untuk pengambilalihan ini juga berpendapat harga tawaran yang dibuat FELDA sebagai tidak adil (not fair), oleh kerana nilai saham FELDA dianggarkan berada pada sekitar RM1.42 hingga RM1.60 sesaham.
Selain itu, langkah untuk menyahsenaraikan FGV ini juga menimbulkan banyak persoalan, sama ada ia benar-benar mampu untuk menyelesaikan masalah FELDA ataupun bakal membebankan lagi FELDA dengan hutang yang lebih tinggi – memandangkan mereka perlu mendapatkan pembiayaan untuk membeli baki saham FGV yang belum dimiliki mereka.
Dari perspektif strategi korporat juga agak pelik, disebabkan syarikat yang perlu ‘di-turnaround’ bukanlah FGV, sebaliknya FELDA. Pada kebiasaannya, pemegang saham utama menswastakan atau menyahsenaraikan syarikat untuk tujuan merombak kembali operasi syarikat dan seterusnya mengembalikan keuntungan syarikat yang rugi untuk sekian lama.

Namun bagi FGV, prestasi kewangan mereka kekal kukuh dan konsisten merekodkan keuntungan sejak tahun 2020. Terkini, keuntungan pada tahun 2024 meningkat 171% dari RM102 juta pada tahun 2023 kepada RM276 juta.
Pelaksanaan Program Transformasi FGV yang bermula pada tahun 2019 juga membuahkan hasil positif buat syarikat berkenaan. Kadar perahan minyak (OER) yang merupakan indikator utama untuk menilai kecekapan operasi perladangan juga bertambah baik. OER FGV telah meningkat dari 20.49% pada tahun 2018 kepada 20.68% pada tahun 2023.

Manakala program penanaman semula juga menunjukkan FGV berjaya menurunkan purata usia pokok kelapa sawit. Purata usia pokok kelapa sawit FGV telah menurun dari 14.3 tahun kepada 12.8 tahun pada 2023.
Penurunan ini empat tahun lebih rendah berbanding pada awal-awal penyenaraian FGV, dimana purata usia pokok kelapa sawit FGV berada pada paras 16.3 tahun.
Pokok kelapa sawit memberi hasil yang terbaik pada usia 7 tahun hingga 18 tahun. Produktiviti pokok kelapa sawit menurun apabila usia pokok semakin tua.
Bursa Malaysia Hanya Bagi Masa Sehingga September 2025
Pegangan besar FELDA di dalam FGV sebenarnya telah melanggar peraturan penyenaraian di Bursa Malaysia, kerana FELDA sebagai pemegang saham utama mengawal lebih 75% pegangan di dalam syarikat berkenaan.
Menurut peraturan Bursa Malaysia, public spread ataupun pegangan awam hendaklah berada pada paras sekurang-kurangnya 25%. Ini bermakna mahu tidak mahu, FELDA perlu melupuskan sekurang-kurangnya 7% saham di dalam FGV jika tidak mahu FGV dikenakan tindakan oleh Bursa Malaysia.Â
Setelah enam kali lanjutan, Bursa Malaysia pada Mac 2025 hanya memberi tempoh enam bulan iaitu sehingga September 2025 untuk FELDA mematuhi peraturan berkenaan. Jika gagal, dagangan saham FGV berkemungkinan besar digantung selain berpotensi dikenakan penalti oleh Bursa Malaysia.
Wajarkah FELDA Menjalankan Perniagaan, Atau Kembali Ke Matlamat Asal?
Pengkomersialan agensi Kerajaan seperti FELDA telah menyebabkan pelbagai masalah kewangan dihadapi oleh entiti berkenaan.

Pada tahun 2011 iaitu tahun sebelum penyenaraian, nisbah hutang FELDA hanyalah 0.3x, dengan jumlah liabiliti sebanyak RM5.8 bilion.
Menjelang penghujung tahun 2017, Nisbah hutang FELDA meningkat kepada 1.2x, dengan jumlah liabiliti meningkat hampir 150% ganda kepada RM 14.4 bilion.
Dalam tempoh yang sama, jumlah aset FELDA hanya naik 17% dari RM21.3 bilion kepada RM25.0 bilion.
Kedudukan kewangan FELDA yang terkini tidak didedahkan, namun Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2020 menunjukkan FELDA kekal dibelenggu hutang yang tinggi, dengan jumlah pinjaman sebanyak RM10.7 bilion dan kini dikatakan mencecah lebih RM13 bilion.
Pengkomersialan FELDA ini mewujudkan satu kebimbangan, tentang keupayaan FELDA untuk menguruskan sebuah lagi syarikat korporat dengan hasil tahunan sebanyak RM22 bilion, disebabkan entiti-entiti korporat dibawah payung FELDA yang sedia ada terus mengalami kerugian.

FELDA Investment Corporation, anak syarikat pelaburan FELDA rekodkan kerugian terkumpul sebanyak RM1.05 bilion pada tahun 2023
FELDA Investment Corporation – Syarikat pelaburan utama FELDA mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM1.05 billion, dengan kerugian terbesar direkodkan pada tahun 2016 iaitu sebanyak RM329.9 juta.
Dalam Laporan Ketua Audit Negara, sebuah lagi anak syarikat mereka iaitu FIC Properties merekodkan kerugian sebanyak hampir RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.Â

Laporan Ketua Audit Negara mendapati FIC Properties Sdn Bhd turut alami kerugian hampir RM1 bilion dari tahun 2021 hingga 2023
Prestasi hambar anak-anak syarikat FELDA ini mengundang tanda tanya, sama ada wajarkah FELDA untuk meneruskan aktiviti-aktiviti komersial ataupun kembali ke objektif asal iaitu membangunkan tanah dan menambahbaik sosioekonomi peneroka.
Apakah peningkatan pegangan 82% kepada 100% FGV akan berupaya memperbaiki kedudukan kewangan FELDA, atau bakal menyebabkan agensi ini terus bergelut dengan hutang dan risiko aliran tunai disebabkan pegangan FELDA di dalam FGV tidak lagi mudah cair (liquid).
Mampukah FELDA untuk melunaskan komitmen kewangan mereka terhadap kontraktor-kontraktor dan pembekal-pembekal sedia ada serta tabung tanaman semula peneroka.
Bagi pemegang taruh seperti peneroka-peneroka FELDA, langkah untuk mengambilalih FGV mungkin akan menjejaskan ketelusan di dalam mengetahui status kewangan FGV. Hal ini kerana sebagai sebuah syarikat tersenarai, FGV wajib mendedahkan prestasi kewangan mereka kepada umum secara berkala.
Kadar kecekapan operasi FGV juga sukar dipantau disebabkan ketiadaan keperluan untuk FGV mendedahkan data-data operasi mereka. Pelabur serta pemegang-pemegang taruh mungkin tidak lagi dapat melihat kadar perahan minyak, usia pokok serta indikator-indikator lain untuk menilai prestasi FGV di lapangan jika angka-angka ini tidak didedahkan.
Kedudukan kewangan FGV yang kukuh amat penting untuk dipantau oleh para peneroka, memandangkan FGV merupakan entiti teras dalam ekosistem perniagaan FELDA dan Peneroka. Setiap tahun, FGV memperuntukkan berbilion ringgit daripada bajet tahunan untuk membeli hasil kelapa sawit daripada peneroka.
Sekiranya kedudukan kewangan FGV terjejas selepas proses penyahsenaraian, ia berisiko menjejaskan kelangsungan operasi syarikat dan secara tidak langsung memberi impak kepada kesejahteraan peneroka. Ini kerana FGV mungkin tidak lagi mampu melaksanakan perbelanjaan modal yang menelan belanja besar.
Perbelanjaan modal seperti penanaman semula pokok kelapa sawit, penaiktarafan kilang dan pembelian jentera yang efisien amat kritikal bagi menjamin kelangsungan perniagaan FGV, lantas dapat memastikan hasil sawit peneroka dapat dibeli pada harga yang setimpal dan kompetitif.
FELDA Perlukan Model Yang Baru?
Ada ahli akademik yang mengutarakan pandangan agar unit-unit komersial FELDA seperti FGV dikembalikan kepada Peneroka untuk diuruskan. Model ini bukanlah asing kerana telah digunapakai di negara-negara lain seperti Amul di India dan Fonterra di New Zealand.
Amul yang mengawal 40% pegangan pasaran di dalam industri tenusu India dimiliki oleh Koperasi Penternak Lembu yang mempunyai bilangan ahli seramai 3 juta orang.
Manakala Fonterra yang terkenal dengan jenama seperti Anchor, Anlene dan Cheesdale merupakan syarikat perladangan tersenarai di New Zealand yang dimiliki sebahagian besarnya oleh peladang-peladang New Zealand.
FELDA pula boleh kembali memfokuskan terhadap objektif asal mereka iaitu membangunkan tanah-tanah dan infrastruktur di wilayah FELDA serta mengutamakan usaha-usaha meningkatkan sosioekonomi peneroka.
Setelah tiga belas tahun melalui perjalanan yang penuh liku, FELDA kini berada di persimpangan kritikal untuk menentukan hala tuju baharunya. Laporan akhbar memaklumkan bahawa FELDA telah pun mengemukakan Pelan Strategik dan Halatuju 2025-2030 kepada Perdana Menteri pada 29 April yang lalu.
Akhbar The Edge beberapa hari lalu turut melaporkan bahawa FELDA telah melantik Maybank Investment Bank bagi membantu usaha menyahsenaraikan FGV.
Saat ini merupakan detik penting buat FELDA dalam menentukan halatuju organisasinya pada masa hadapan. Mungkin FELDA perlu mempertimbangkan kembali sama ada langkah untuk menyahsenaraikan FGV ini selari dengan objektif asal penubuhan FELDA, atau ia akan terus menyebabkan FELDA dibelenggu dengan masalah kewangan yang berpanjangan.