
WE2025: Future in Motion telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada 25 November 2025.
Edisi sulung acara yang berlangsung selama tiga hari, dari 25 hingga 27 November di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) menghimpunkan tokoh-tokoh wanita dari pelbagai sektor untuk membincangkan isu kepimpinan, keusahawanan dan pemerkasaan wanita.
Antara tokoh utama yang hadir ialah Bekas Presiden Kosovo, H.E. Atifete Jahjaga; Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Hanifah Hajar Taib; Bekas Menteri Luar Indonesia, H.E. Retno Marsudi; serta Bekas Menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin.
Menurut penganjur, Qube Integrated Malaysia, lebih 150 pempamer dari Malaysia, Singapura dan China menyertai ekspo berkenaan, yang menarik sekitar 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
Selain ekspo, acara ini turut dimeriahkan dengan Persidangan Kepimpinan yang menampilkan perbincangan mendalam mengenai isu-isu mendesak dalam ekonomi, perniagaan, kepimpinan dan sukan.
Antara panelis ialah Pengarah Urusan Boston Consulting Group, Datin Nurlin Salleh; Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang, Datin Anita Azrina; legenda olahraga negara, Dato’ Marina Chin; serta Managing Partner McKinsey & Co., Vidhya Ganesan.

Melalui Program Perolehan Antarabangsa MATRADE (International Sourcing Program), sesi business matching turut diadakan bersama entiti luar negara bagi membuka lebih banyak ruang kerjasama dan peluang komersial.
Dalam ucapan perasmian, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib menegaskan peranan acara seperti WE2025 dalam memperkukuh agenda pemerkasaan wanita di Malaysia. Beliau menekankan keperluan memastikan wanita diperlengkapkan agar potensi seluruh masyarakat dapat dimaksimumkan.
” Masa depan Malaysia bergantung pada usaha membuka potensi penuh setiap rakyat, wanita mesti diperlengkapkan dan diberdayakan untuk memimpin. WE2025 mengangkat komitmen ini sebagai agenda nasional dalam pemerkasaan ekonomi dan kepimpinan “

Pengerusi Eksekutif Qube, Richard Teo, pula menjelaskan bahawa WE2025 dirancang sebagai platform komprehensif untuk memperluas peluang perdagangan, keusahawanan dan kepimpinan, bukan hanya sekadar penganjuran persidangan atau pameran.
” Bagi kami, menganjurkan acara perniagaan bukan sekadar melakukan persidangan atau pameran. Ia sentiasa tentang mewujudkan platform untuk orang ramai dimana mereka dapat belajar, berhubung, bekerjasama dan berkembang bersama “
Program ini turut mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI).
Berjaya Food Berhad tampil sebagai penaja utama acara ini manakala Intrinsic SEA, NCWO, PrintDaddy, Peniagawati, ACCCIM, MCMTC, FMM, MICCI, MCCC, Wanita Samenta, The MIND Academy, WISTA Malaysia, Yingke Malaysia, Invest Penang dan Nawem hadir sebagai rakan strategik.
Ekonomi Rakyat dan BERNAMA pula berperanan sebagai rakan media rasmi bagi WE2025.
