Industri peruncitan merupakan antara segmen perniagaan yang paling mencabar di dunia disebabkan oleh persaingannya yang sengit. Faktor utama yang menyumbang kepada cabaran tersebut ialah kerana industri ini mempunyai barrier to entry yang rendah, sehingga membawa kepada munculnya ramai pesaing baharu. Akibatnya, pemain-pemain industri peruncitan berdepan dengan risiko margin keuntungan yang amat nipis.
Dengan hanya menyewa lot kedai, sesiapa pun boleh membuka kedai runcit bagi merebut sebahagian kecil kek pasaran runcit yang bernilai sekitar RM85 bilion ketika ini.
Di peringkat global, syarikat-syarikat runcit (termasuk pasar raya) hanya mendapat margin keuntungan sekitar 1%-3% sahaja. Situasi yang hampir sama dapat dilihat di Malaysia, apabila purata margin keuntungan sebelum cukai yang direkodkan syarikat-syarikat peruncitan seperti 7-Eleven, KK Supermart, MyNews,Mydin, Lotus (dahulu dikenali sebagai Tesco), AEON dan 99 Speedmart hanyalah kira-kira 2.1%.
Bahkan, penyata kewangan sebilangan gergasi peruncitan negara mendedahkan mereka sebenarnya menanggung kerugian saban tahun. GCH Retail (Malaysia) umpamanya, yang mengendalikan pasar raya Giant, merekodkan kerugian selama enam tahun berturut-turut antara 2014-2019. Begitu juga dengan Tesco Malaysia, yang mencatatkan kerugian berjumlah RM44 juta pada tahun 2019, sebelum mereka membuat keputusan untuk keluar dari pasaran Malaysia tidak lama selepas itu.
Kedai runcit dan pasar raya mini persendirian yang lebih bersifat tempatan (localised) juga semakin tenggelam. Jika dahulu, kedai-kedai ini merupakan tumpuan utama penduduk setempat bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian. Layanan yang diterima juga adalah lebih istimewa kerana pelanggan dan pemilik kedai selalunya mengenali antara satu sama lain.
Menurut analisis Frost & Sullivan, nilai jualan yang direkodkan oleh kedai runcit persendirian dan pasar raya besar (hypermarket) masing-masing susut sebanyak 0.1% dan 2.7% setiap tahun antara 2019-2023, manakala kedai runcit berangkai pula menikmati kadar pertumbuhan tahunan tertinggi, sebanyak 16% dalam tempoh yang sama.
Pertumbuhan ini membuktikan bahawa di sebalik cabaran hebat yang dihadapi dalam industri peruncitan negara, kedai-kedai runcit berangkai seperti 99 Speedmart berjaya memecahkan dominasi gergasi-gergasi runcit yang lain dengan strategi perniagaan berbeza.
Sejarah perniagaan 99 Speedmart boleh diimbau kembali pada tahun 1987, dimana pengasasnya Lee Thiam Wah memulakan perniagaan runcitnya dengan menggunakan nama Pasar Raya Hiap Hoe di Klang, Selangor.
Bermula dari itu, Pasar Raya Hiap Hoe berkembang dengan membuka beberapa lagi cawangan di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan nama perniagaan Pasar Mini 99.
Selepas membuat penjenamaan semula pada tahun 2000, 99 Speedmart kini merupakan rangkaian kedai runcit terbesar dengan keseluruhan 2,651 cawangan di seluruh Malaysia. 99 Speedmart juga merekodkan hasil tahunan sebanyak RM9.98 bilion pada tahun 2024 dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM490 juta.
Hasil yang dicatatkan oleh 99 Speedmart adalah tiga kali ganda lebih besar jika dibandingkan dengan pasar raya-pasar raya seperti Mydin yang hanya menjana hasil RM3 bilion pada tahun sama.
Bagaimana 99 Speedmart Pecahkan Dominasi Gergasi Peruncitan di Malaysia?
Model perniagaan berasaskan prinsip ‘Dekat Lagi Murah’ merupakan kunci utama kejayaan 99 Speedmart dalam mendominasi pasaran runcit tempatan di Malaysia.
Selain itu, cawangan-cawangan 99 Speedmart yang bertaburan di seluruh negara juga rata-ratanya dibuka berhampiran kawasan-kawasan perumahan yang lebih mudah diakses oleh orang ramai. Harga yang ditawarkan juga sering kali lebih murah berbanding pesaing-pesaing mereka yang lain, sekaligus menyebabkan 99 Speedmart menjadi kedai runcit pilihan bagi kebanyakan keluarga di Malaysia.
Data yang dikongsikan 99 Speedmart melalui prospektus mereka menunjukkan pembeli membelanjakan RM22.29 bagi setiap transaksi di outlet mereka pada tahun 2023. Setiap hari, 99 Speedmart juga melakukan 1.1 juta transaksi penjualan harian menerusi pelanggan-pelanggan mereka. Setiap outlet 99 Speedmart juga merekodkan purata transaksi jualan lebih RM10,000 setiap hari.

Prestasi yang cemerlang ini membolehkan 99 Speedmart terus mendominasi, apabila kini memegang 40.1% bahagian pasaran dalam industri pasar raya mini. Data ini membuktikan bahawa strategi perniagaan 99 Speedmart berkesan dalam membina pelanggan setia. Dengan menarik pelanggan untuk berulang kali berbelanja di rangkaian outlet mereka, 99 Speedmart berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pasaran runcit Malaysia.
Margin Rendah Tapi Masih Buat Untung
Mengikut penyata kewangan tahun 2024, 99 Speedmart merekodkan margin keuntungan kasar sebanyak 11.0%, jauh lebih rendah berbanding rangkaian 7-Eleven dan MyNews yang masing-masing merekodkan margin keuntungan kasar sebanyak 31% dan 35%.
Jika ditolak dengan kos-kos operasi yang lain seperti kos pekerja, kos pajakan (sewa) kedai dan kos utiliti, 99 Speedmart sebenarnya boleh dikatakan mengalami kerugian daripada operasi penjualan mereka sekitar RM120 juta.

Walau bagaimanapun, kerugian ini bukan satu masalah yang besar untuk 99 Speedmart kerana pendapatan mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada jualan secara langsung semata-mata. Sebaliknya, mereka meraih pendapatan yang besar dari product display fee ataupun caj meletakkan barang di premis mereka.
Pada tahun 2023 umpamanya, 99 Speedmart mencatatkan pendapatan sebanyak RM507 juta, bagi membolehkan pembekal-pembekal barangan meletakkan produk mereka di premis 99 Speedmart.
*Perbandingan dibuat pada tahun 2023 memandangkan tiada butiran terperinci melalui laporan prestasi suku tahunan 2024
Dalam kata lain, syarikat-syarikat seperti Nestle, DKSH (yang terkenal dengan produk seperti Snickers, Vico, M&M’s) dan Dutch Lady perlu membayar fi terlebih dahulu sebelum dibenarkan meletakkan produk mereka di kesemua outlet 99 Speedmart.
Caj-caj seperti ini sukar dikenakan oleh kedai-kedai runcit kecil kepada pembekal kerana mereka tidak mempunyai kuasa pasaran yang kuat bagi menjual produk-produk pembekal dalam kuantiti yang besar.
Selain itu, 99 Speedmart juga mendapat komisyen ataupun insentif daripada pembekal jika mereka berjaya mencapai sasaran jualan yang ditetapkan. Pada tahun 2023, 99 Speedmart meraih RM184 juta kerana berjaya mencapai sasaran jualan yang ditetapkan. Ganjaran ini bukan sahaja meningkatkan keuntungan syarikat, malah turut mendorong 99 Speedmart untuk menggandakan usaha jualan melalui pelbagai strategi seperti promosi, tawaran menarik dan inisiatif pemasaran yang lebih agresif.
Pendapatan lain yang diperoleh oleh 99 Speedmart adalah caj pusat pengedaran, dimana 99 Speedmart mengenakan bayaran kerana menguruskan edaran produk-produk pembekal melalui gudang-gudang milik mereka. Pada tahun 2023, 99 Speedmart merekodkan pendapatan sebanyak RM145 juta dalam menguruskan produk-produk pembekal untuk diedarkan kepada outlet-outlet milik mereka.

Untuk keseluruhan tahun 2023, 99 Speedmart meraih RM853.9 juta melalui pendapatan operasi lain-lain yang terdiri daripada yuran paparan produk, insentif, caj pusat pengedaran serta yuran iklan dan promosi. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung perbelanjaan-perbelanjaan operasi lain seperti kos membayar gaji pekerja, bil-bil utiliti dan kos pajakan/sewa kedai.
Pasar Raya Lain Tutup Kedai
Kebangkitan pesat 99 Speedmart telah memberi 99 masalah kepada para pemain industri peruncitan lain di Malaysia, termasuk pasar raya besar yang sebelum ini menguasai pasaran. Persaingan yang semakin sengit ini memberi tekanan hebat kepada peruncit lain, sehingga menyebabkan beberapa pasar raya besar seperti Giant terpaksa menutup operasi mereka di beberapa lokasi, termasuk cawangannya di Batu Caves baru-baru ini.
Fenomena ini mencerminkan perubahan landskap peruncitan di Malaysia, di mana pengguna kini lebih cenderung memilih kedai runcit berangkai berskala kecil yang menawarkan harga kompetitif, serta pantas dan lebih mudah diakses.
Dengan rangkaian yang luas dan strategi harga yang berkesan, 99 Speedmart bukan sahaja menarik pelanggan daripada kedai runcit tradisional tetapi juga menggugat kedudukan peruncit besar yang bergantung kepada model perniagaan konvensional. Jika trend ini berterusan, berkemungkinan lebih banyak pasar raya besar terpaksa menghadapi cabaran serupa dalam mengekalkan daya saing mereka dalam pasaran.
Empayar RM17 Bilion Lee Thiam Wah
Strategi pengembangan yang cekap turut memainkan peranan penting dalam kejayaan 99 Speedmart menguasai industri runcit di Malaysia. IPO yang difailkan oleh 99 Speedmart pada September 2024 menjadi IPO terbesar di Malaysia dalam tempoh tujuh tahun, apabila berjaya meraih sebanyak RM2.36 bilion.
Sebaik sahaja penyenaraiannya di Bursa Malaysia, saham 99 Speedmart telah meningkat 14% dari RM1.65 kepada RM1.88 sesaham. Kini saham 99 Speedmart didagangkan pada harga RM1.97 sesaham, dengan permodalan pasaran (market cap) hampir RM17 bilion.
Sebahagian besar saham syarikat dimiliki oleh Lee Thiam Wah yang mengawal hampir 80% saham 99 Speedmart. Baru-baru ini, beliau telah menembusi ranking 10 individu terkaya di Malaysia, dengan nilai bersih kekayaan melebihi RM17 bilion.
Terdahulu, beliau juga meraih RM1.7 bilion apabila menjual saham-sahamnya kepada pelabur-pelabur ketika penyenaraian. Tidak hairanlah, Lee terus mengorak langkah dengan mengembangkan empayar perniagaannya di sektor-sektor lain termasuklah F&B dan perbankan.
Pada tahun 2015, Lee mengambilalih rangkaian makanan segera BurgerKing daripada Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) dengan harga RM74.6 juta. Lee juga pernah membeli 5.076% pegangan saham dalam Alliance Bank Malaysia Berhad, menjadikan beliau pemegang saham ketiga terbesar dalam bank tersebut pada satu ketika.
99 Speedmart: Mendepani Cabaran dan Kritikan
Di sebalik kejayaan-kejayaan 99 Speedmart, syarikat peneraju industri runcit ini juga tidak dapat lari daripada berdepan dengan pelbagai cabaran dan kritikan umum.
Antara kritikan terhebat yang dilontarkan kepada 99 Speedmart ialah hakikat bahawa mereka masih membayar gaji pekerja asas mengikut gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan. Keadaan ini berlaku walaupun 99 Speedmart mencatatkan keuntungan bersih jutaan ringgit daripada pelbagai sumber pendapatan dan pengasasnya Lee Thiam Wah merupakan salah seorang daripada top 10 billionaire di Malaysia.
Gaji yang terlalu rendah menimbulkan persoalan mengenai sama ada pekerjaan di 99 Speedmart memenuhi kriteria “decent work” atau pekerjaan yang bermaruah, yang merupakan salah satu daripada matlamat utama SDG yang digariskan oleh PBB. Dalam era di mana syarikat-syarikat semakin giat mempromosikan agenda kemampanan seperti ESG dan SDG, timbul persoalan sejauh mana mereka benar-benar melaksanakan prinsip tersebut dalam amalan perniagaan sebenar.
Hal ini kerana 99 Speedmart juga sering dikritik bukan sahaja kerana kadar gaji pekerja yang rendah, tetapi juga kerana keadaan kedai yang kurang selesa. Salah satu isu utama yang dibangkitkan adalah reka bentuk lantai (floor layout) yang sempit dan dipenuhi dengan stok barangan yang menyukarkan pergerakan pekerja serta pelanggan. Tambahan pula, keadaan kedai yang kurang sistem pengudaraan yang baik, ditambah dengan penggunaan ruang yang maksimum bagi menyimpan stok barangan, sering menyebabkan suasana di dalam kedai menjadi panas dan sesak.
Walau bagaimanapun, 99 Speedmart dipuji kerana rata-rata pekerja-pekerja di rangkaian kedai mereka terdiri daripada warga tempatan, berbeza dengan sebilangan pencabar lain yang turut mengambil warga asing dalam menguruskan outlet.
Era Digital: Masa Depan Baharu Industri Runcit di Malaysia
Dalam era digital yang semakin berkembang pesat, ramai pemain industri peruncitan telah beralih ke platform e-dagang untuk menarik lebih ramai pelanggan. Contohnya, Grab telah bekerjasama dengan Jaya Grocer bagi membolehkan pelanggan membeli barangan runcit secara dalam talian.
Namun begitu, 99 Speedmart dilihat masih belum menunjukkan komitmen yang ketara untuk beralih ke platform e-dagang. Model perniagaan 99 Speedmart yang berasaskan kedai fizikal dengan konsep kedai serbaneka berisiko menghadapi cabaran besar dalam menyesuaikan diri dengan trend peruncitan dalam talian yang semakin berkembang ini.
Jika 99 Speedmart terus bergantung kepada pendekatan tradisional, mereka berisiko kehilangan pelanggan, terutamanya kepada pesaing-pesaing yang lebih pantas mengadaptasi perubahan teknologi. Namun buat ketika ini, mereka masih boleh kekal tenang, memandangkan trend pembelian barangan runcit secara dalam talian di peringkat global menunjukkan pertumbuhan yang begitu perlahan.