Menjelang 2048, dianggarkan 14% penduduk Malaysia berusia 65 tahun ke atas, menjadikan negara ini sebagai sebuah negara tua (aged society). Malaysia sudahpun melangkah ke fasa negara menua (ageing society) pada 2021 apabila jumlah warga emas mencapai 7%.
Peralihan ini hanya mengambil masa 27 tahun, jauh lebih pantas berbanding Perancis (115 tahun), Sweden (85 tahun), Amerika Syarikat (69 tahun) dan United Kingdom (46 tahun).
Soalnya, adakah Malaysia benar-benar bersedia?
Beban Generasi Bekerja
Kadar kebergantungan warga emas semakin meningkat.

Pada 2020, terdapat 10 warga emas bagi setiap 100 penduduk usia bekerja. Angka ini dijangka akan melonjak kepada 17 menjelang 2040 dan 22 pada 2050. Beban berat bakal ditanggung oleh golongan pertengahan usia yang bukan sahaja perlu membesarkan anak, malah menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia juga.
Isu kewangan akan menjadi lebih genting apabila cadangan menaikkan usia persaraan sering ditolak orang ramai.
Data KWSP menunjukkan hanya 36% ahli aktif memiliki simpanan melebihi RM240,000 pada usia 55 tahun. Sebahagian besar mereka yang bersara tidak mempunyai simpanan mencukupi dalam mengharungi usia emas.
Krisis Penjagaan & Kesihatan
Isu penjagaan warga emas juga akan kian meruncing. Tenaga kerja dalam sektor penjagaan sosial dan kejururawatan tidak bertambah dengan signifikan seiring dengan keperluan.
Ketika ini, sistem kesihatan awam sudah pun terbeban. Doktor bekerja lebih masa, waktu menunggu panjang dan kekurangan doktor sering kali menjadi topik sistem kesihatan negara.

Seorang doktor awam terpaksa merawat 1,488 orang pesakit, jauh lebih tinggi berbanding 306 orang pesakit yang perlu dirawat doktor swasta.
Desakan supaya Kerajaan meningkatkan peruntukan kesihatan awam kepada 5% KDNK semakin kuat, terutama sekali lagi daripada pihak berhaluan kiri seperti Parti Sosialis Malaysia.
Tetapi setakat ini, peruntukan kekal sekitar 2% (RM45.4 bilion) berbanding saiz ekonomi negara. Sebagai perbandingan, negara maju membelanjakan sehingga 5% daripada KDNK negara untuk tujuan kesihatan awam.
Kos penjagaan kesihatan swasta juga semakin mahal. Inflasi perubatan mencecah 10–12% pada 2022 dan 2023, menyebabkan premium insurans naik mendadak.
Topik yang Masih Taboo
Di Malaysia, berbicara tentang usia tua masih dianggap sensitif. Menghantar ibu bapa ke rumah jagaan, mungkin akan membuatkan anda dilabel anak derhaka. Istilah “pekerja sosial” pula hampir tidak wujud dalam perbualan umum.
Namun, realiti ini tidak dapat dielakkan. Malaysia akan menjadi negara tua dalam tempoh 23 tahun saja lagi. Adakah anda bersedia dari sudut kewangan? dan adakah negara bersedia dari segi infrastruktur dan kesihatan awam?

