Kenapa PETRONAS Gas Perlu Berada Dalam Jawatankuasa Perancangan?

Share it

Tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada April 2025 masih segar dalam ingatan. Namun, insiden kebocoran paip gas butana milik PETRONAS Gas Berhad (PGB) di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, Terengganu, pada 20 September 2025 sekali lagi mengingatkan kita betapa rapuhnya keselamatan infrastruktur tenaga negara apabila penyelarasan pembangunan tidak teratur. 

Insiden Kerteh: Amaran Bahaya Pembangunan Tanpa Kawalan 

Dalam kejadian tersebut, kebocoran paip gas berhampiran kawasan pembinaan ECRL memaksa penutupan sementara Jalan Kerteh–Ranggon. Walaupun tragedi besar dapat dielakkan hasil tindakan pantas PGB dan pihak berkuasa, situasi itu merupakan satu insiden near miss yang amat membimbangkan. 

Siasatan awal menunjukkan kebocoran berkemungkinan berpunca daripada pergerakan tanah atau aktiviti agresif di kawasan pembinaan. Kejadian itu memperlihatkan bagaimana ketiadaan penyelarasan pembangunan boleh meletakkan paip gas PGB dalam keadaan berisiko. 

Sebagai pemilik dan pengendali lebih 2,000 kilometer rangkaian paip gas yang menjadi nadi kepada bekalan tenaga negara, sebarang kerosakan terhadap sistem ini boleh membawa implikasi besar kepada keselamatan awam dan kestabilan tenaga negara. 

Jurang Kuasa dan Tanggungjawab 

Masalah utama yang dihadapi PGB ialah ketiadaan suara rasmi dalam jawatankuasa perancangan pembangunan, termasuk bagi projek yang terletak berhampiran laluan paip mereka (right-of-way atau ROW). 

Ironinya, apabila berlaku kerosakan atau insiden yang menjejaskan integriti paip, PGB sering dipertanggungjawabkan sepenuhnya termasuk menanggung kos pembaikan walaupun mereka tidak pernah dirujuk dahulu dalam proses perancangan. Situasi ini bukan sahaja tidak adil, malah meletakkan keselamatan awam dalam bahaya. 

Perlu Autoriti Bagi Menjamin Keselamatan Awam 

Menyedari risiko berulang, PGB kini bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi untuk meneliti semula peruntukan di bawah Akta Bekalan Gas 1993, dengan matlamat memperkukuh peranan mereka dalam proses perancangan pembangunan. 

PGB menuntut dua perkara utama iaitu kerusi rasmi dalam jawatankuasa perancangan di peringkat negeri dan tempatan serta autoriti bersyarat untuk menghentikan aktiviti pembinaan yang berpotensi mengancam keselamatan paip atau penduduk sekitar. 

Langkah ini bukan bertujuan melambatkan pembangunan, tetapi bagi memastikan keselamatan menjadi keutamaan dalam setiap perancangan infrastruktur. 

Beberapa kerajaan negeri termasuk Selangor dan Negeri Sembilan telah bersetuju secara prinsip untuk melibatkan PGB dalam jawatankuasa perancangan. Pendekatan ini dilihat sebagai langkah proaktif yang boleh mencegah risiko sebelum tragedi berlaku. 

Menurut Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Abdul Aziz Othman, memperkukuhkan penglibatan mereka bukan sekadar soal pematuhan, tetapi satu keperluan untuk melindungi masyarakat dan memastikan infrastruktur kritikal negara dibangunkan dengan selamat. 

Insiden di Kerteh dan Putra Heights menjadi peringatan mahal tentang kelemahan koordinasi antara agensi dan pemilik infrastruktur. Memberi tempat kepada PGB di meja perancangan merupakan satu langkah penting untuk memastikan keselamatan awam tidak lagi menjadi dikompromi akibat pembangunan yang tidak terselaras.