Sejarah Penglibatan Wanita Dalam Sektor Tenaga Kerja di Malaysia

Share it

Penglibatan wanita dalam tenaga kerja Malaysia bukanlah fenomena baru, namun perjalanan sejarahnya mencerminkan perubahan besar dalam struktur ekonomi, sosial dan budaya negara kita.

Daripada peranan tradisional yang tertumpu kepada tugasan domestik kepada penglibatan aktif dalam sektor pembuatan dan profesional, evolusi ini menonjolkan keberanian, kesungguhan dan sumbangan wanita terhadap pembangunan Malaysia.

Dari Ruang Domestik ke Pasaran Buruh

Sebelum era perindustrian, kebanyakan wanita di Tanah Melayu terlibat dalam kerja domestik, pertanian kecil atau perniagaan keluarga. Walaupun terdapat wanita bangsawan yang menyertai aktiviti ekonomi, majoriti kekal terikat terhadap tanggungjawab rumah tangga.

Transformasi mula mengambil tempat pada tahun 70-an apabila perubahan struktur ekonomi membuka ruang kepada penyertaan wanita dalam sektor perkilangan.

Negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor menjadi tumpuan utama bagi wanita muda yang memasuki pasaran buruh. Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita meningkat daripada sekitar 44.5% pada 1982 kepada 47.8% pada 1990, susulan perkembangan ini.

Wanita Mula Bekerja Di Kilang-Kilang

Kemunculan gelombang wanita muda yang berhijrah ke bandar untuk bekerja di kilang telah menyebabkan wujud istilah “Minah Karan” pada ketika itu. Wanita menjadi penggerak utama kepada pertumbuhan sektor elektronik dan pembuatan ringan pada tahun 70-an dan 80-an, sekali gus memacu peralihan negara daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi industri.

Pertumbuhan pesat ini juga didorong oleh penglibatan besar syarikat-syarikat MNC dari luar negara yang membuka kilang di Malaysia.

Namun, perubahan ini tidak berlaku tanpa cabaran. Stigma sosial terhadap wanita yang bekerja, tekanan kos sara hidup bandar serta beban tanggungjawab keluarga menimbulkan dilema dalam kalangan mereka, menyebabkan ada dalam kalangan mereka teragak-agak sama ada untuk meneruskan kerjaya atau kembali kepada peranan tradisional.

Walau bagaimanapun, menjelang tahun 90-an, semakin ramai wanita memasuki sektor pekerjaan menyebabkan stigma tersebut kian terhakis. Pendapatan tambahan yang diperolehi mereka turut meningkatkan taraf hidup keluarga, terutamanya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Wanita Dalam Tenaga Kerja Hari Ini

Pada 2024, kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat kepada 56.5%, dengan penyertaan tertinggi dalam kalangan graduan muda. Sub-indeks “Pencapaian Pendidikan” dalam Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) mencatat skor 1.071, menunjukkan wanita kini mengatasi lelaki dalam pendidikan tinggi.

 

Ini bukan sesuatu yang mengejutkan, memandangkan setiap tahun jumlah graduan wanita dari universiti jauh mengatasi bilangan graduan lelaki.

Namun, jurang gender kekal ketara dalam sektor kepimpinan dan politik. Skor “Political Empowerment” hanya 0.096, manakala wanita hanya memiliki sekitar 20.3% perusahaan dan memegang 25.4% jawatan pengurusan.

Pemerkasaan Melalui Dasar dan Inisiatif

Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif untuk terus memperkasakan wanita melalui dasar dan inisiatif seperti Dasar Wanita Negara 2025-2030 dan Wanita MyWira Accelerator, yang menyasarkan pembangunan kemahiran wanita dalam sektor inovasi, teknologi dan tenaga boleh diperbaharui.

Usaha ini juga mendapat penglibatan dari pihak swasta. Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, syarikat pengendali acara terkemuka negara ini umpamanya menggerakkan inisiatif tersendiri dengan menganjurkan program WE2025: Future in Motion bagi menyokong pemerkasaan wanita melalui kerjasama strategik antara sektor swasta dan kerajaan.

Antara acara-acara sampingan yang turut diadakan termasuklah ‘Women Entrepreneurship Exchange’ dan ‘Women Entrepreneurship Dialogue’ bagi menyokong kepimpinan dan inovasi wanita.

WE2025: Future in Motion akan berlangsung dari 25-27 November 2025  di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Acara dijadualkan bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

Melalui pemadanan perniagaan, sesi networking, perbincangan strategik dan perkongsian kepakaran industri, WE2025 menyediakan akses kepada peluang, ilmu dan strategic network berimpak tinggi yang membolehkan wanita berkembang, memimpin dan bersaing dalam ekonomi global.

Penyertaan WE2025 terbuka kepada orang awam melalui pendaftaran di https://reg.we2025.com.my/registration-visitor/

Doktor Antara Profesion Yang Didominasi Wanita

Berdasarkan statistik terkini, wanita kini mendominasi beberapa profesion moden berkemahiran tinggi, termasuk doktor gigi (70%), doktor veterinar (62%), doktor perubatan (55%), peguam (55%) dan akauntan (54%). Corak ini mencerminkan peningkatan jelas penyertaan wanita dalam bidang profesional yang menuntut pendidikan tinggi serta latihan intensif.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa apabila peluang pendidikan, akses kepada latihan dan sokongan institusi diberikan secara menyeluruh, wanita mampu muncul sebagai penggerak utama tenaga profesional utama negara kita.

Keupayaan mereka bukan sahaja meningkatkan bilangan tenaga kerja, tetapi turut meningkatkan daya saing ekonomi dalam sektor-sektor kritikal bernilai tinggi.

Pemerkasaan wanita tidak seharusnya dilihat sekadar melalui angka penyertaan. Yang lebih penting ialah bagaimana potensi mereka diterjemahkan kepada penglibatan yang lebih bermakna, inovasi dan kepimpinan dalam segenap lapisan.

Sejarah penyertaan wanita dalam tenaga kerja Malaysia ialah satu perjalanan transformasi yang panjang. Daripada ruang domestik kepada arena profesional moden, wanita telah membentuk asas penting bagi pertumbuhan ekonomi dan sosial negara.

Namun, cabaran masih ketara. Jurang gender dalam pengurusan, kepimpinan dan politik memerlukan perhatian yang terperinci.

Memahami peranan dan sumbangan wanita membantu pembuat dasar merangka pendekatan yang lebih menyeluruh sekaligus memastikan wanita bukan sekadar wujud dalam tenaga buruh tetapi turut memimpin sektor strategik pada masa depan.