Hubungan antara Tanah Melayu dan China telah bermula sejak sekian lama. Pada abad ke-15, Kesultanan Melaka menjalin hubungan rasmi dengan Dinasti Ming. Lawatan Parameswara ke China pada tahun 1411 menjadi simbol awal betapa kukuhnya hubungan diplomatik Alam Melayu dan China, seratus tahun sebelum penjajahan Portugis.
Malaysia membuka lembaran baharu pada tahun 1974 apabila Tun Abdul Razak memeterai hubungan diplomatik dengan China. Langkah itu dilihat berani, kerana Malaysia menjadi satu-satunya negara bukan Sosialis yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China di rantau Asia Tenggara, sekaligus menghakis pengaruh Komunis di Malaysia.
50 tahun kemudian, China muncul sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai dagangan mencecah kira kira RM484 bilion, merangkumi eksport sebanyak RM188 bilion dan import sebanyak RM296 bilion
Defisit dagangan Malaysia turut meningkat dengan ketara, dari 13% pada tahun 2017 kepada 22% pada tahun 2024, bersamaan dengan RM109 bilion.
Peniaga Tempatan Mula Resah
Di sebalik hubungan ekonomi yang kukuh, keresahan semakin ketara dalam kalangan peniaga tempatan. Di platform seperti Threads dan Twitter, rungutan datang daripada peniaga e-dagang yang berdepan kenaikan fi yang dikenakan oleh TikTok.
Fi transaksi dinaikkan dari 2.16% kepada 3.78% pada September tahun lalu. Komisyen marketplace pula ditingkatkan dari 2.7%-4.32% kepada 4.86%-10.26%. Margin peniaga tempatan dikatakan semakin nipis.
Lebih mencabar, sebahagian penjual dari China kini membuka gudang di Malaysia dan menjual terus kepada pengguna.
Sektor makanan dan minuman juga tidak terkecuali. Rangkaian F&B China seperti Mixue dan Chagee berkembang pada kadar pertumbuhan yang luar biasa. Kehadiran Luckin Coffee dengan harga serendah RM3.00 secawan kopi pula dianggap game-changer.
Jika sebelum ini pemain tempatan seperti Zus Coffee dan rangkaian antarabangsa seperti Starbucks bersaing pada paras harga mid-tier dan ke atas. Kini, mereka berdepan pesaing yang menawarkan harga pada kadar yang begitu murah dan berkembang secara agresif.
Bengkel Juga Bakal Terkesan?
Kehadiran Tuhu, rangkaian bengkel terbesar dari China, memberi petunjuk awal bagaimana model perniagaan baru boleh mengubah sektor tradisional. Dengan aplikasi yang memaparkan harga secara telus, sistem tempahan digital dan rekod servis yang tersusun, Tuhu menawarkan sesuatu yang mustahil untuk bengkel persendirian tempatan sediakan.
Kelebihan mereka bukan sekadar teknologi. Kawalan ke atas rantaian bekalan membolehkan mereka menawarkan harga yang lebih rendah. Ini mencetuskan kebimbangan kepada pemilik-pemilik bengkel tempatan yang rata-rata bergantung pada runner untuk mendapatkan alat ganti, sekaligus menyebabkan kos alat ganti sedikit mahal.
Sebuah video TikTok, meraih 1.1 juta tontonan apabila membicarakan tentang kemasukan Tuhu di Malaysia. Seorang pengguna TikTok, menyuarakan kebimbangan melalui komen bahawa harga mungkin bakal dinaikkan apabila mereka mula memonopoli pasaran.
Namun, ada yang melihat perkara ini sebagai satu kemenangan untuk pengguna. Harga penyelenggaraan lebih rendah. Proses jgua lebih mudah dan tersusun.
Tetapi, dalam jangka masa panjang, keadaan mungkin berubah seperti apabila Grab mengambilalih Uber di Malaysia. Promosi semakin berkurang dan tambang ditingkatkan.
Pasaran yang dimonopoli satu pemain jarang memberi faedah jangka panjang kepada pengguna.
Mungkin masih ada ruang bertahan untuk pengusaha-pengusaha bengkel persendirian, dengan syarat mereka mempunyai kepakaran khusus, serta kepercayaan yang tinggi daripada pengguna.
Setakat ini, Tuhu kelihatan menawarkan penyelenggaraan am kenderaan sahaja. Kerosakan kompleks pada kereta mungkin memerlukan pemilik membawa kereta mereka kepada bengkel-bengkel khusus.
Begitu juga dalam sektor F&B. pemilik kedai kopi artisan, mungkin mampu bertahan, memandangkan pelanggan datang bukan disebabkan notifikasi promosi di skrin telefon, tetapi disebabkan pengalaman, rasa dan aura kedai itu sendiri.
Tetapi untuk rangkaian yang mempunyai model perniagaan pada skala besar, mereka mungkin bakal berhadapan dengan pelbagai rintangan.


