JLand Group (JLG), cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation (JCorp), melancarkan Ibrahim Technopolis (IBTEC), pembangunan bersepadu seluas 7,290 ekar yang menjadi pemacu utama Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ)

Majlis pelancaran di Dataran Mahkota disempurnakan oleh Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, sebagai Wakil Rasmi Yang Maha Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Raja Johor, dan turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor dan Pengerusi JCorp, bersama pemimpin persekutuan dan negeri, rakan strategik serta pelabur antarabangsa.
IBTEC menyasarkan industri bernilai tinggi termasuk medtech, sains hayat, pembuatan termaju, logistik, pusat data dan agritech, dengan menggabungkan R&D, infrastruktur digital, dan amalan lestari untuk meningkatkan produktiviti, rantaian bekalan dan kecekapan operasi.
Fasa pertama pembangunan pusat data StepEast di IBTEC berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM30 bilion, sekaligus memperkukuh status kawasan ini sebagai hab teknologi termaju di Johor.
Dengan pusat pembuatan dan logistik, kluster R&D, infrastruktur digital pintar, serta dasar yang menyokong inovasi, projek ini direka untuk menjadi pusat inovasi rendah karbon, bersedia masa depan dan ikonik di peringkat global, termasuk pembangunan Exclaim Discovery City oleh Zaha Hadid Architects.

Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden & CEO JCorp menjelaskan peranan mereka bukan sekadar pemaju, tetapi sebagai pengurus ekosistem jangka panjang bagi pembangunan inovasi berskala besar.
“IBTEC adalah pelaburan untuk generasi akan datang, sekaligus isyarat bahawa Johor bersedia bersaing di medan baharu.
Ia direka untuk menjadi salah satu ‘innovation sandbox’ bersepadu terbesar di dunia, disokong oleh infrastruktur yang boleh diskalakan, platform digital terbuka dan rangka kerja institusi yang menyokong. Hasilnya, ia mewujudkan persekitaran di mana rakyat Johor dan Malaysia dapat terlibat secara bermakna dalam peluang ekonomi baharu.”
Dibangunkan sebagai salah satu “innovation sandbox” terbesar Asia, IBTEC menyediakan persekitaran untuk industri, kerajaan dan inovator menguji dan memajukan penyelesaian baharu.

Selain itu, ketika sidang media di Hotel Double-Tree Hilton, Johor Bharu, Pengarah Urusan Kumpulan JLG, Datuk Sr. Akmal Ahmad berkata IBTEC bakal memberi manfaat dengan mewujudkan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi, membuka peluang kepada PKS menyertai rantaian bekalan serantau dan melahirkan usahawan tempatan dalam industri baharu
“Kejayaan IBTEC akan diukur bukan sahaja melalui pelaburan yang diterima, tetapi juga melalui bagaimana ia membantu rakyat Malaysia dan Johor menaikkan rantaian nilai – sebagai pekerja, usahawan dan komuniti.”
Selain infrastruktur fizikal, IBTEC berfungsi sebagai platform mesra pelabur yang menyokong pelaksanaan NIMP 2030, Rancangan Malaysia Ke-13, dan aspirasi Maju Johor 2030, sekaligus menjana pekerjaan bernilai tinggi, memperkukuh penglibatan PKS dan menyediakan peluang keusahawanan tempatan.
