Oriental Kopi Holdings Berhad mengakhiri tahun kewangan 2025 dengan prestasi yang begitu kukuh, dengan hasil sebanyak RM451 juta dan keuntungan selepas cukai berjumlah RM60.8 juta.
Trajektori pertumbuhan Oriental Kopi juga luar biasa.
Pada tahun 2021, syarikat ini hanya merekodkan hasil sekitar RM5 juta dengan kerugian sebanyak RM500,000. Dalam tempoh kurang lima tahun, Oriental Kopi bukan sahaja kembali mencatat keuntungan, malah berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia.

Ketika ini, syarikat tersebut mempunyai permodalan pasaran sekitar RM2.1 bilion. Pelabur yang menyertai tawaran awam permulaan (IPO) turut menikmati pulangan yang signifikan, dengan nilai pelaburan meningkat sekitar 140% apabila harga saham naik kepada RM1.06 sesaham, berbanding harga IPO pada RM0.44 sesaham.
Bagi memahami perjalanan di sebalik pertumbuhan luar biasa ini, Ekonomi Rakyat melalui siri baru The Perspective telah menemubual Pengarah Urusan syarikat, Dato’ Calvin Chan.
Beliau memulakan perniagaan dengan membuka cawangan pertama di Johor Bahru dan telah memiliki sebanyak 32 buah cawangan (29 buah cawangan di seluruh Malaysia dan 3 buah cawangan di Singapura) pada tahun 2026.

Sejak usia muda, Calvin telah terdedah kepada dunia perniagaan makanan melalui pengalaman membantu saudara mengurus operasi harian. Namun, kerjayanya tidak bermula secara langsung dalam industri F&B.
Ketika ditanya oleh Fathin Amelina, hos PERSPEKTIF, beliau menjelaskan bahawa selepas tamat SPM, beliau tidak meneruskan pengajian kerana kekangan kewangan. Sebaliknya, beliau bekerja sebagai penjual telefon bimbit sebelum beralih menjadi pemborong.
Pengalaman ke luar negara kemudiannya membuka perspektif baharu.
Beliau mendapati makanan Malaysia sukar ditemui di beberapa pasaran antarabangsa. Pemerhatian ini menjadi antara faktor yang mendorong beliau untuk menceburi industri makanan dan minuman.
Permulaan dan Cabaran
Keputusan untuk menceburi bidang F&B tidak dibuat secara tergesa-gesa. Sebelum membuka cawangan pertama, Calvin meluangkan masa yang panjang untuk menguji resipi dan memperkemas SOP dapur di premis yang telah pun disewa.
Beliau menekankan bahawa konsistensi dalam penyediaan makanan memerlukan disiplin operasi yang tinggi.
“Cabaran yang dihadapi agak besar kerana saya berasal daripada latar belakang sebagai penjual telefon bimbit dan tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan makanan. Proses memasak juga bukan sesuatu yang mudah. Memasak satu hidangan nasi lemak mungkin agak mudah. Namun, apabila perlu menyediakan makanan untuk 10 orang, teknik dan pengurusannya menjadi berbeza.”
Kekurangan pengalaman dalam industri F&B, ditambah dengan keperluan mengurus operasi pada skala lebih besar, menjadi antara cabaran awal yang perlu diatasi.
Produk dan Konsep Makanan
Oriental Kopi menumpukan kepada hidangan tempatan seperti nasi lemak, roti bakar dan kopi, di samping pelbagai variasi menu lain. Antara produk yang mendapat sambutan ialah egg tart, selain minuman kopi dan hidangan utama.
Menurut Calvin, syarikat memberi penekanan kepada penggunaan bahan segar dan penyediaan yang konsisten. Walaupun pendekatan ini meningkatkan kos, standard kualiti tetap dikekalkan.
“Kami menitikberatkan penggunaan bahan mentah yang segar sebagai keutamaan utama. Setiap bahan yang dibekalkan akan diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan ia memenuhi standard yang ditetapkan. Kami juga berusaha mengekalkan kualiti bahan agar konsisten.”
Beliau turut berkongsi bahawa pada peringkat awal operasi, keputusan menggunakan bahan mentah berkualiti tinggi turut dipertikaikan dalam kalangan chef mereka.
“Macam mana nak jual. Dia (chef) tanya saya. Sebab kos kita, mungkin harga jualan orang lain… Saya cakap tak apalah. Kita buat yang terbaik, harap pelanggan boleh faham lah “
Kenapa Tidak Guna Model Francais?
Sejak awal, Oriental Kopi tidak memilih model francais sebagai strategi pengembangan.
Fokus utama adalah memastikan kawalan terhadap kualiti makanan dan pengalaman pelanggan.
Menurut Calvin, perniagaan ini bermula dengan matlamat yang sederhana, bukan untuk berkembang secara agresif:
“Walau sesukar mana pun, saya memang tidak memilih model tersebut (francais). Ini kerana titik permulaan saya berbeza daripada orang lain, begitu juga dengan pendekatan model perniagaan yang digunakan. Pada peringkat awal, saya hanya mahu membuka satu kedai untuk menyediakan makanan kepada rakan-rakan. Matlamat saya ketika itu bukanlah untuk meraih keuntungan yang besar.”
Keputusan ini juga didorong oleh keperluan mengekalkan kawalan ketat terhadap bahan mentah dan proses penyediaan makanan, yang berpotensi terjejas jika menggunakan model francais.
Oleh itu, Oriental Kopi memilih untuk mengurus operasi secara langsung di setiap cawangan.
Bagaimana Kualiti Perkhidmatan Dikekalkan?
Bagi memastikan tahap perkhidmatan yang konsisten, Oriental Kopi memberi penekanan kepada SOP yang jelas dan tersusun sebagai panduan operasi.
Menurut Calvin, SOP digunakan dalam penyediaan makanan dan perkhidmatan di semua cawangan. Latihan berterusan turut diberikan kepada pekerja, manakala pemeriksaan kualiti dilakukan secara berkala. Maklum balas pelanggan juga diambil secara serius untuk tujuan penambahbaikan.
Dalam masa yang sama, aspek sikap dan budaya kerja turut diberi perhatian:
“…satu lagi aspek yang penting ialah sikap dan budaya kerja. Jika pekerja hanya melihat diri mereka sebagai tukang masak, mereka mungkin tidak akan memberikan prestasi terbaik. Oleh itu, kami cuba memupuk kesedaran bahawa mereka turut memainkan peranan dalam memperkenalkan makanan Malaysia kepada masyarakat yang lebih luas, termasuk pelanggan dari pelbagai negara.”
Ke Mana Halatuju Oriental Kopi?
Menyentuh perancangan masa hadapan, Calvin menjelaskan bahawa syarikat sedang merancang untuk memperluas rangkaian ke kawasan baharu yang belum diterokai.
“Kita akan cuba stabilkan rangkaian di Malaysia… Contohnya di Sabah dan di Kelantan. Satu hari nanti kita mahu bawa rasa dan makanan tradisi Malaysia ke luar negara.”
Selain itu, beliau turut mengenal pasti potensi pertumbuhan dalam segmen produk pengguna seperti kopi dan sambal.
Dalam masa yang sama, pemilihan lokasi kekal sebagai faktor penting dalam strategi pengembangan. Cawangan lazimnya dibuka di kawasan dengan aliran pengunjung tinggi seperti pusat membeli-belah dan kawasan komersial.
