ARVIA Pacu Transformasi Pendidikan Digital Menerusi Inisiatif AI Smart Classroom

Share it
Pengarah ARVIA, Puan Nurul Ain (lima dari kiri) bersama barisan pegawai JPWPP Putrajaya

Kuala Lumpur, 19 Mei — Pengajaran dalam bilik darjah di Putrajaya bakal mengalami satu transformasi besar dengan pengenalan inisiatif AI Smartclassroom.

Inisiatif itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) antara Arvia Solutions Sdn. Bhd. dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP), yang akan membawa AI Smartboard serta perisian pembelajaran interaktif ke sekolah-sekolah di sekitar Putrajaya.

MOU tersebut dimeterai oleh Pengarah JPWPP, Nadimin Abdul Aziz dan Pengarah Urusan Arvia Solutions Sdn. Bhd., Nurul Ain Mohamad Khdri di pejabat JPWPP, Putrajaya semalam.

Pengarah Urusan Arvia Solutions Sdn. Bhd., Nurul Ain berkata AI Smartboard itu direka bersesuaian dengan cara pembelajaran generasi baharu yang terbiasa dalam persekitaran digital, teknologi dan gajet.

“Pelajar hari ini hidup dengan teknologi dan gajet, itu cara mereka belajar, bermain dan berkomunikasi. AI Smartboard membawa pengalaman yang sama ke dalam bilik darjah, menjadikan pengajaran lebih interaktif dan dekat dengan cara mereka berfikir.

“Hasilnya, pelajar bukan sekadar lebih cepat faham, malah kehadiran mereka ke kelas juga lebih terjamin kerana sesi pembelajaran menjadi lebih menarik menjadikan mereka teruja untuk hadir,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPWPP, Nadimin Abdul Aziz memaklumkan pelaksanaan AI Smartclassroom itu juga memberi manfaat besar kepada warga pendidik, selain menjadi sebahagian daripada agenda transformasi digital pendidikan di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Inisiatif ini memberi ruang kepada guru untuk fokus kepada pelajar, bukan sekadar kepada penyediaan bahan pengajaran. Apabila tugas rutin seperti menyediakan rajah, eksperimen atau penjelasan menjadi lebih cekap, guru mempunyai lebih banyak masa untuk membimbing dan memahami keperluan setiap pelajar.

“Kami akan memperluas pelaksanaan ini secara berperingkat ke lebih banyak sekolah di bawah JPWPP sebagai sebahagian daripada agenda transformasi digital pendidikan,” ujarnya.

Dengan AI Smartclassroom, guru akan dapat menggunakan visualisasi 3D, simulasi sains dan eksperimen maya untuk menjelaskan konsep abstrak dalam subjek seperti Kimia, Biologi dan Matematik.

Melalui teknologi tersebut, guru kini boleh membimbing, menunjuk cara dan berinteraksi dengan pelajar secara langsung dengan fungsi anotasi digital, perkongsian skrin tanpa wayar serta papan putih pintar, pengajaran tidak lagi bersifat satu hala.