Kenapa Baju Melayu Bulan Bintang Jadi Fenomena?

Share it

‘Make Baju Melayu Great Again’

Slogan yang sering kali dilaungkan apabila tiba musim perayaan Aidilfitri menjadi paksi kepada kebangkitan Bulan Bintang, jenama pakaian tempatan yang kini bukan lagi sekadar nama biasa tetapi sebuah gergasi fesyen bernilai jutaan ringgit menjadi fenomena dan pilihan rakyat tempatan.

Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi

Diasaskan pada tahun 2016 oleh anak muda dari Teluk Intan, Perak, Azzim Zahid Azmi atau lebih dikenali sebagai Meri, perniagaan ini bermula secara kecil-kecilan ketika beliau berusia 19 tahun bermodalkan secebis ilmu menjual baju T-shirt di sekolah.

Bermula dengan hanya 300 helai kurta tanpa sebarang logo jenama, siapa sangka dalam tempoh sedekad Bulan Bintang telah membina satu gergasi industri yang mendominasi pasaran baju raya tanah air.

Strategi Pemasaran Berskala Besar

Kempen baju Bulan Bintang

Strategi jenama Bulan Bintang untuk lebih menyerlah berbanding pesaing lain terletak pada keberanian untuk melabur bagi pemasaran berskala besar seterusnya mampu menjana angka jualan luar biasa.

Pada tahun 2023, Bulan Bintang mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records apabila menerbangkan 350 buah dron yang dibawa khas dari United Kingdom di ruang udara Menara Kuala Lumpur melalui acara ‘Bulan Bintang Takes The Sky’.

Gimik itu menelan kos mencecah RM2 juta merangkumi 80% kos keseluruhan acara bagi mencipta rekod baharu yang terdahulu dipegang oleh syarikat gergasi antarabangsa, The Walt Disney Company.

Selain itu, antara strategi promosi lain termasuk menggunakan papan iklan digital 3D ‘anamorphic’ di hadapan KLCC yang turut tular kerana hasil rekaan yang seolah-olah hidup.

Jenama ini turut mengukuhkan nilai komersialnya dengan melantik barisan duta popular seperti Shukri Yahaya, Hannah Delisha, Nadhir Nasar sehinggalah ikon lagenda seperti Dato’ Ramli MS.

Pendapatan Syarikat Melonjak 5,200%

Keberanian mengambil risiko pemasaran berskala besar dengan barisan duta terkenal ini membuahkan hasil dengan lonjakan jualan yang sangat besar.

Pada 2016, sebanyak 300 helai kurta terjual sebelum jenama itu mula menembusi pasaran fizikal secara terbuka dengan menyewa tapak di Uptown Danau Kota, Setapak dan Booth Mood Republik di MITEC sekitar 2019.

Beberapa tahun kemudian, jualan baju Melayu dan kurta melonjak kepada 70,000 pada tahun 2021 sebelum pelaksanaan pengeluaran mega pertama sebanyak satu juta pasang baju menjelang 2023.

Bulan Bintang juga mencapai kejayaan dalam talian apabila diiktiraf sebagai No. 1 Tiktok Shop di Malaysia bagi kategori jenama pakaian.

Selain menguasai pasaran atas talian, jenama itu juga mengukuhkan lagi empayar fizikal dengan memiliki lebih 15 buah butik rasmi di seluruh negara dan berjaya membina peluang pekerjaan merangkumi 30,000 ejen dan dropship yang aktif.

Tahun ini, Bulan Bintang menyasarkan jualan sebanyak 1.5 juta helai pakaian bagi kempen Next Chapter 2026. Koleksi itu menampilkan pelbagai pilihan baju Melayu dan pakaian sedondon wanita serta kanak-kanak.

Prestasi kewangan Bulan Bintang pada tahun 2022

Walaupun data terkini belum diterbitkan, laporan terakhir MYDATASSM menunjukkan syarikat Bulan Bintang Clothing Sdn Bhd merekodkan pendapatan sebanyak RM35.28 juta pada tahun 2022 berbanding hanya RM660,207 pada tahun 2021 dengan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM189,208.

Perkembangan ini sekali gus menjadikan pendapatan syarikat itu naik melebihi 5,200% secara tahunan.

Meskipun merekodkan hasil jualan yang sangat tinggi, PAT Bulan Bintang bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM238,957. Ini bermakna syarikat hanya mencatatkan margin keuntungan bersih sekitar 0.67% pada tahun berkenaan.

Kenapa Margin Keuntungan Syarikat Boleh Rendah?

Keuntungan bersih yang rendah walaupun lonjakan pendapatan luar biasa dalam masa setahun dapat dijangka susulan kenaikan kos operasi susulan permintaan jualan yang tinggi dalam masa yang singkat.

Ini turut disertai dengan peningkatan mendadak dalam kos inventori, penghantaran dan logistik. Syarikat mungkin terpaksa membeli stok produk dalam kuantiti besar untuk memenuhi permintaan, yang secara langsung memberi tekanan kepada margin keuntungan.

Dalam pada itu, dengan strategi pemasaran agresif melibatkan duta pakaian selebriti seperti pelakon dan penyanyi terkenal, jenama ini mungkin telah membelanjakan jumlah yang besar untuk pemasaran digital, pempengaruh, pengiklanan media sosial dan promosi.

Malah, perbelanjaan kakitangan dijangka turut meningkat kerana pertumbuhan syarikat secara mendadak memerlukan pengambilan pekerja baharu, latihan dan pemberian gaji seterusnya menambah beban kos operasi syarikat.

Tetapi dalam senario lain, sesetengah pemilik bisnes di luar sana juga menguruskan perbelanjaan peribadi melalui syarikat. Melalui langkah ini, pemilik atau pengarah syarikat mungkin telah menuntut perbelanjaan peribadi sebagai perbelanjaan syarikat.

Contohnya, membeli kenderaan mewah menggunakan nama syarikat, perjalanan dan penginapan peribadi, jamuan yang tidak melibatkan perniagaan atau elaun yang tinggi kepada ahli keluarga.

Prestasi Bulan Bintang Tidak Menggambarkan Realiti Sebenar Industri Fesyen

Pada kebiasaannya, syarikat fesyen menjana keuntungan kasar yang besar, melebihi separuh daripada harga jualan. Fast Retailing Co. , syarikat yang dikenali dengan jenama Uniqlo umpamanya merekodkan keuntungan kasar sekitar 53.8%, pada tahun 2025, dengan keuntungan sebanyak 12.7%

Tidak dapat dinafikan, industri fesyen sangat berbeza dengan industri lain seperti teknologi atau farmaseutikal, industri fesyen tempatan khususnya segmen pakaian kebanyakannya tidak banyak bergantung kepada inovasi produk.

Kebanyakan jenama tempatan membeli produk daripada kilang yang sama  dari Vietnam, China, Bangladesh atau Indonesia sebelum menjualnya semula dengan jenama berbeza.

Selain itu, isu plagiarism dalam industri fesyen Malaysia yang melibatkan peniruan reka bentuk, corak, identiti jenama dan produk fesyen tanpa kebenaran pemilik asal turut menjejaskan nilai kreativiti pereka fesyen tempatan.

Kesannya? Bagi membezakan satu jenama dengan jenama lain tidak terletak kepada kualiti atau reka bentuk produk itu sendiri, sebaliknya nilai jenama bergantung sepenuhnya kepada kuasa pemasaran dan imej jenama yang dibina.

Siapa yang menjadi duta jenama dan dilihat memakai produk tersebut, kadar populariti kempen pemasaran untuk dijalankan bakal menentukan kejayaan sesebuah jenama fesyen tempatan hari ini.

Dalam konteks Bulan Bintang, penggunaan selebriti dan pempengaruh sebagai duta jenama adalah strategi utama untuk membina persepsi nilai di mata pengguna. Namun, strategi ini datang dengan kos yang tinggi.