Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia dan Turkmenistan menarik perhatian ramai penganalisis geopolitik ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global.
Rusia merupakan pemain utama dalam sektor tenaga dunia dengan pengeluaran sekitar 10 juta tong minyak sehari, sekali gus menjadikannya antara pengeluar minyak terbesar dunia.
Turkmenistan pula sebuah negara bekas Soviet yang mempunyai populasi sekitar tujuh juta orang, kaya dengan sumber hidrokarbon dan mineral meskipun masih berada dalam fasa pembangunan.
Kenyataan Presiden Rusia, Vladimir Putin bahawa bekalan minyak dan gas Malaysia akan kekal terjamin untuk tempoh 20 tahun akan datang memperlihatkan keupayaan Malaysia mengurus hubungan strategik dalam landskap geopolitik tenaga yang semakin kompleks.
Dasar luar Malaysia yang berkecuali membolehkan negara berunding dan bekerjasama dengan pelbagai kuasa dunia bagi memastikan keselamatan tenaga negara terus terpelihara.
Peranan Rusia dalam pasaran tenaga global tidak boleh dipandang ringan. Ketika Eropah melaksanakan sekatan terhadap import tenaga Rusia susulan perang di Ukraine, rantau itu mengalami lonjakan harga tenaga yang mendadak. Inflasi tenaga di Eropah pada ketika itu pernah mencecah 50%.
Sebelum Perang Ukraine, Rusia membekalkan kira-kira 45% daripada keperluan gas Eropah, menyebabkan gangguan bekalan memberi kesan besar kepada ekonomi negara-negara Eropah.
Komitmen Rusia untuk menjamin bekalan tenaga kepada Malaysia boleh dianggap sebagai satu kemenangan strategik dalam usaha memperkukuh keterjaminan tenaga negara.
Penganalisis geopolitik, Azmi Hassan berkata, kerjasama antara Malaysia dan Rusia dalam sektor tenaga telah terjalin sejak sekian lama melalui hubungan antara PETRONAS dan Rosneft, syarikat minyak terbesar milik Rusia.
“Kerjasama ini tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia dibina melalui hubungan diplomatik yang berpanjangan, kerjasama komersial serta kepercayaan antara kedua-dua pihak. Ia mencerminkan hubungan yang kukuh antara dua negara yang turut disokong oleh syarikat minyak milik negara masing-masing,” katanya.
Rosneft merupakan syarikat minyak dan gas terbesar Rusia dengan hasil tahunan dianggarkan mencecah RM320 bilion.
Dalam siri lawatan yang sama, Perdana Menteri turut menyaksikan pemeteraian perjanjian antara PETRONAS dengan State Concern Turkmennebit dan State Enterprise Hazarnebit.
Melalui Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) yang melibatkan Blok 19 dan Blok 20 di luar pesisir Turkmenistan, perjanjian tersebut membuka lembaran baharu kepada PETRONAS dalam memperluaskan operasi antarabangsanya.
Menurut Perdana Menteri, kawasan yang diperoleh PETRONAS itu mengandungi medan gas antara yang terbesar di dunia.
Perkembangan ini membolehkan PETRONAS mengukuhkan operasi perniagaannya pada masa hadapan ketika peluang penerokaan minyak dan gas domestik semakin terhad.
Seorang lagi penganalisis geopolitik, Syed Farhan Syed Feizal berkata langkah tersebut juga membolehkan Malaysia mengoptimumkan kapasiti penapisan minyak tempatan yang masih mempunyai ruang untuk dipertingkatkan.
“Kapasiti pengeluaran minyak Malaysia ketika ini sekitar 350,000 tong sehari, sedangkan negara pernah mencapai pengeluaran hampir 700,000 tong sehari. Untuk menyokong pertumbuhan masa depan, Malaysia perlu menjalin kerjasama dengan negara luar” katanya.
Mengapa PETRONAS Mempunyai Kelebihan di Pentas Global?
Terdapat beberapa faktor yang memberikan kelebihan kompetitif kepada PETRONAS di peringkat antarabangsa.
Pertama, kedudukan PETRONAS sebagai pengendali tunggal sumber petroleum negara membolehkannya membangunkan kepakaran merentasi keseluruhan rantaian industri minyak dan gas, termasuk sektor huluan, pertengahan (midstream) dan hiliran.
Penguasaan menyeluruh ini membolehkan PETRONAS mengumpulkan pengalaman teknikal dan komersial yang sukar ditandingi oleh kebanyakan syarikat tenaga lain.
Selain itu, skala operasinya yang besar membolehkan PETRONAS melaksanakan pelaburan strategik di luar negara secara berterusan. Pada kebiasaannya, keupayaan ini sukar dicapai oleh syarikat yang lebih kecil kerana kekangan modal dan sumber.
Untuk sekian lama juga, PETRONAS turut melabur secara signifikan dalam penjenamaan global, termasuk melalui penglibatan dalam sukan permotoran antarabangsa.
Kedua, kewujudan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) membolehkan syarikat tersebut menjalankan diplomasi pendidikan dan pembangunan modal insan dengan negara rakan.
Sebagai contoh, PETRONAS dilaporkan telah melatih lebih 235 juruteknik dari Turkmenistan sepanjang tiga dekad lalu.
Selain itu, seramai 188 pelajar dari negara tersebut dijangka melanjutkan pengajian di UTP dengan bantuan biasiswa. Langkah ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara PETRONAS dan Turkmenistan, malah meningkatkan pengaruh Malaysia melalui pendekatan soft power.
Ketiga, peranan PETRONAS yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 membolehkan syarikat itu mengurus dan menyelaras aktiviti petroleum negara dengan lebih lancar tanpa melalui pelbagai lapisan birokrasi.
Keadaan ini berbeza dengan sesetengah negara pengeluar minyak, termasuk beberapa negara Arab, yang meletakkan urusan petroleum di bawah kementerian khusus. Di Arab Saudi dan Venezuela misalnya, hal ehwal petroleum dikendalikan secara langsung oleh Menteri Minyak.
Model Malaysia memberikan PETRONAS tahap autonomi yang lebih besar dalam membuat keputusan komersial dan strategik, sekali gus meningkatkan keupayaannya untuk bersaing di peringkat global.
Ketika dunia terus berdepan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran keselamatan tenaga, peranan PETRONAS menjadi semakin penting dalam memastikan bekalan tenaga negara kekal terjamin disamping menjana pendapatan yang berterusan untuk Malaysia.
Kejayaan ini bukanlah hasil yang dicapai dalam tempoh singkat. Sebaliknya, ia merupakan hasil daripada usaha diplomasi, pelaburan dan pembinaan hubungan strategik yang dilaksanakan secara konsisten oleh Malaysia dan PETRONAS untuk puluhan tahun yang lalu.
Kelebihan inilah yang membolehkan negara berada dalam posisi yang lebih strategik, terutama sekali ketika dunia dilanda dengan ketidaktentuan tenaga yang kian mencabar.
