Adakah Gaji Menteri Malaysia Terlalu Tinggi?

Gaji Menteri Malaysia
Share it

Gaji ahli politik sering kali menjadi topik perbualan di dalam kalangan rakyat Malaysia. Baru-baru ini, portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendedahkan pendapatan yang diperoleh oleh ahli pentadbiran kerajaan dimana Perdana Menteri mengungguli carta sebagai ahli pentadbiran dengan pendapatan tertinggi iaitu pada RM94,000.

Menteri Wilayah, TS Annuar Musa pula berada di tangga kedua dengan pendapatan RM88,000 sebulan diikuti menteri dari Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan pada RM85,000.

Pendapatan terendah yang diisytiharkan oleh ahli pentadbiran kerajaan kepada SPRM adalah RM25,700 sebulan. Dalam kata lain, majoriti ahli politik di Malaysia memperoleh pendapatan di luar lingkungan pendapatan majoriti rakyat Malaysia dimana gaji penengah pekerja di Malaysia adalah sekitar RM2,308 sebulan

Menurut laporan lalu, menteri di Malaysia dibayar gaji sebanyak RM14,907 sebulan manakala Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri dibayar masing-masing pada RM18,168 dan RM22,827. Gaji ini tidak termasuk pendapatan yang diraih mereka sebagai Ahli Parlimen dan elaun-elaun lain yang disediakan oleh kerajaan.

Persoalannya….. Adakah gaji Ahli Politik di Malaysia ini Berpatutan?

Ekonomi Rakyat cuba membandingkan gaji menteri di Malaysia dengan menteri di negara-negara lain bagi melihat adakah ahli pentadbiran kerajaan dibayar pada kadar yang munasabah. Dapatan kami menunjukkan menteri di Malaysia menikmati gaji yang jauh lebih tinggi berbanding menteri di negara-negara lain.

Sebagai contoh, menteri di Malaysia memperoleh gaji 12.4 kali ganda lebih tinggi berbanding gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan. Gaji tahunan menteri di negara ini adalah sebanyak RM178,000 setahun manakala gaji minimum pula hanya sekitar RM14,400.

Nisbah gaji menteri dan gaji minimum di Malaysia ini jauh lebih tinggi berbanding negara-negara maju lain. Menteri di UK sebagai contoh hanya memperoleh GBP79,750 setahun dimana hanya 4.6 kali lebih tinggi berbanding gaji minimum ( GBP17,077 ) rakyat mereka.

Meskipun KDNK per kapita UK empat kali lebih besar berbanding Malaysia, namun jurang gaji menteri mereka dengan gaji minimum yang dinikmati oleh rakyat jauh lebih kecil berbanding apa yang diperoleh oleh menteri di Malaysia Malaysia.

Jiran kita, Indonesia turut membayar gaji menteri mereka pada kadar yang lebih munasabah. Gaji tahunan mereka hanyalah sekitar Rp233,680,000 manakala rakyat pula menikmati gaji minimum sebanyak  Rp50,400,000 setahun berdasarkan gaji minimum di Jakarta. Ini bermaksud menteri di Indonesia hanya memperoleh gaji sekitar lima kali ganda lebih besar berbanding gaji minimum.

Turunkan Gaji Menteri atau Tingkatkan Gaji Minimum!

Dapatan di atas jelas menunjukkan bahawa menteri di Malaysia memperoleh pendapatan jauh lebih tinggi berbanding rakan sejawat mereka di luar negara. Terdapat dua pendekatan bagi mengurangkan jurang di antara dua kelas yang berbeza darjat ini. Satu, gaji menteri perlu diturunkan. Alternatif lain adalah gaji minimum perlu ditingkatkan. Pilihan kedua lebih praktikal berbanding pilihan pertama.

Pekerja-pekerja di Malaysia ini sememangnya memperoleh upah atau gaji yang tidak setimpal. Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan baru-baru ini menunjukkan pampasan pekerja pada 2019 di Malaysia hanyalah sekitar 35.9% berbanding keseluruhan KDNK, jauh lebih rendah berbanding apa yang disasarkan melalui Rancangan Malaysia ke-11 iaitu 40% menjelang 2020

Pekerja di negara lain memperoleh pampasan pekerja yang lebih setimpal. Sebagai contoh, pekerja di Australia memperoleh pampasan pekerja sebanyak 47.0% manakala pekerja di United Kingdom memperoleh pampasan pekerja sekitar 50%.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan perlu menaikkan gaji minimum ke paras yang lebih tinggi selepas kali terakhir dinaikkan pada 2019. Ini seiring dengan konsesus yang dicapai melalui Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Minimum dimana paras gaji minimum perlu disemak setiap dua tahun.

Mekanisme yang digunapakai ini jauh ketinggalan berbanding negara lain. Indonesia sebagai contoh menyemak gaji minimum secara tahunan sekaligus membolehkan rakyat memperoleh gaji minimum yang lebih tinggi. Malaysia pula hanya meningkatkan gaji minimum pada awal tahun ini untuk bandar-bandar besar saja.

Rakyat Malaysia perlu mengambil kesempatan yang ada dengan menyuarakan hak mereka untuk menuntut gaji minimum yang setimpal untuk tahun hadapan. Kerajaan dijangka akan membentangkan Belanjawan 2021 pada November ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *