Jurang Pendapatan Bumiputera-Cina Semakin Besar, Boleh Cetus Ketegangan Kaum

Jurang Pendapatan Bumiputera-Cina
Share it

Jurang pendapatan antara kaum Bumiputera dan Cina semakin besar menurut data terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia di dalam Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah 2019. Dapatan yang dikeluarkan menunjukkan kedua-dua pendapatan purata etnik ini meningkat setara pada 4.1% pada 2019

Pendapatan purata Bumiputera meningkat RM826 dari RM6,267 kepada RM7,093 manakala etnik Cina pula meningkat RM1,145 dari RM8,750 kepada RM9,895 pada 2019. Bagi etnik India, pendapatan mereka meningkat lebih tinggi pada kadar 4.6% dari RM7,150 kepada RM8,216.

Meskipun pendapatan Bumiputera dan Cina meningkat setara, namun peningkatan secara mutlak lebih tinggi buat etnik Cina. Pendapatan etnik Cina meningkat RM1,145 sedangkan Bumiputera hanya meningkat RM826 dalam tempoh yang sama.

Perkara ini disebabkan angka asas ( base number ) untuk pendapatan etnik Cina sememangnya lebih tinggi berbanding etnik lain.

Jurang pendapatan antara Bumiputera dan Cina telah meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun. Pada tahun 2009, jurang Bumi-Cina hanyalah RM1,387, namun kini, jurangnya meningkat kepada RM2,802. Jurang antara Bumiputera dan India juga semakin melebar belakangan ini. Pada 2009, jurangnya hanyalah RM375 tetapi kini meningkat kepada RM1,123.

Situasi sebegini jika terus-terusan diabaikan tanpa pendekatan yang radikal boleh mengakibatkan ketegangan di antara kaum di negara ini. Ketegangan kaum di Malaysia ini boleh diimbas kembali pada tahun 1969 dimana terdapat rusuhan kaum membabitkan Melayu dan Cina.

Kemenangan parti pembangkang seperti DAP dan GERAKAN pada Pilihan Raya Umum 1969 telah mencetuskan huru hara di negara ini dan menjadi trigger point kepada rusuhan kaum 13 Mei. Hakikatnya, terdapat masalah terpendam diantara orang Melayu dan Cina berikutan dasar penjajah yang mengasingkan kedua-dua kelompok ini sekaligus memberikan kelebihan kepada masyarakat Cina.

Orang Cina pada ketika itu menikmati limpahan ekonomi yang lebih besar berbanding orang Melayu. Kebanyakkan mereka berada di bandar manakala orang Melayu tinggal di desa. Ini memberikan akses yang muda untuk mendapatkan pendidikan buat masyarakat Cina berbanding Melayu.

Orang Melayu pula lebih tertumpu dalam sektor pertanian yang memberikan pulangan rendah. Manakala etnik Cina banyak memonopoli perniagaan di bandar-bandar besar selain terlibat dalam aktiviti perlombongan yang memberikan pendapatan yang lebih besar.

Pembesar Melayu juga turut memberikan layanan istimewa kepada golongan Cina. Sebagai contoh, hampir kesemua lesen-lesen pengeluaran gambir di Johor telah diberikan kepada tauke-tauke Cina menurut catatan Carl A. Trocki di dalam bukunya, Prince of Pirates.

Dasar-dasar seperti ini memberikan kelebihan ekonomi buat masyarakat Cina di Malaysia sekaligus menimbulkan rasa tidak puas hati kaum Melayu akibat agihan ekonomi yang tidak adil. Masalah terpendam ini jika dibiarkan untuk terus berpanjangan boleh membawa kepada ketegangan diantara kaum sekaligus boleh mencetuskan rusuhan seperti yang berlaku lebih 50 tahun lepas.

Keadaan Semakin Genting Jika Tidak Ditangani

Suhu perkauman di negara ini semakin hangat berikutan peralihan sokongan kaum Cina kepada pembangkang bermula tahun 2008. Pada PRU-13, Barisan Nasional kehilangan lebih banyak kerusi dan sokongan masyarakat Cina terhadap pembangkang dikatakan mencapai tahap maksimum sehinggakan Utusan Malaysia menempelkan persoalan ” Apa Lagi Cina Mahu? ” di muka hadapan akhbar mereka.

Kemuncak suhu perkauman ini boleh dirasai selepas PRU-14 dimana Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya. Orang Melayu terutamanya mereka yang berlatarbelakangkan konservatif berasa kehilangan segala-galanya. Dahulunya, kuasa politik saja merupakan tempat orang Melayu berpaut, selepas PRU14, bukan sahaja ekonomi didominasi etnik Cina, bahkan kuasa politik pemerintah juga dianggap didokong oleh etnik Cina.

Tidak hairanlah, isu perkauman semakin menjadi-jadi selepas PRU14. Pertubuhan seperti ISMA mula menggerakkan kempen seperti Buy Muslim First ( BMF ) dengan menggalakkan orang Melayu mengutamakan produk keluaran Islam. Meskipun tiada kajian empirikal yang menunjukkan gerakan ini berkesan mengangkat kedudukan ekonomi orang Melayu, namun ia petunjuk jelas bahawa orang Melayu berasa terancam ekoran ketinggalan di dalam sektor ekonomi di negara ini.

Adakah Persepsi Orang Melayu Ini Benar?

Persepsi orang Melayu ini adalah realiti. Orang Melayu ketinggalan di dalam pelbagai aspek di dalam sektor ekonomi. Kiraan Ekonomi Rakyat menunjukkan lebih 77% dari keseluruhan isi rumah yang berpendapatan bawah RM2,000 merupakan Bumiputera sedangkan isi rumah Bumiputera hanya 65% dari keseluruhan isi rumah.

Etnik Cina pula under-represented dengan hanya 16.6% daripada isi rumah berpendapatan bawah RM2,000 dari kaum ini meskipun isi rumah mereka terdiri dari 26% keseluruhan jumlah isi rumah.

Benarkah Lebih Ramai Orang Cina Kaya?

Kiraan Ekonomi Rakyat untuk isi rumah berpendapatan lebih RM20,000 menunjukkan bahawa etnik Cina merupakan golongan yang terbesar di dalam kumpulan ini. Dari keseluruhan 336,000 isi rumah yang memperoleh pendapatan RM20,000 ke atas, etnik Cina merangkumi 164,000 isi rumah atau 49% dari keseluruhan isi rumah kumpulan ini. Angka ini dua kali lebih ganda berbanding jumlah peratusan isi rumah etnik Cina di Malaysia.

Manakala hanya 142,000 isi rumah Bumiputera yang memperoleh pendapatan melebihi RM20,000. Jumlah ini hanya bersamaan dengan 42% dari jumlah keseluruhan isi rumah yang berpendapatan tinggi.

Dalam kata lain, persepsi Melayu miskin dan Cina Kaya ini tidak jauh lari. Hal ini kerana lebih dua pertiga isi rumah miskin terdiri dari kelompok Bumiputera manakala isi rumah Cina over-represented pada 49% di dalam kumpulan isi rumah bependapatan tinggi.

Laporan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP ) beberapa tahun lalu juga menunjukkan orang Melayu jauh ketinggalan di dalam perlindungan sosial. Purata simpanan pencarum aktif Melayu KWSP hanya RM48,300 manakala Cina pula RM125,950. Dalam kata lain, pencarum Cina mempunyai purata simpanan dua kali lebih besar berbanding pencarum Melayu.

Tidak hairanlah orang Melayu sentiasa dihantui oleh perasaan insecure atau terancam.

Apa yang Kerajaan Boleh Lakukan?

” Cukai! Cukai! Cukai! ” itulah ungkapan sejarawan Belanda, Rutgers Bregman di dalam Forum Ekonomi Dunia ( WEF ) di Davos. Ucapan beliau itu begitu ikonik kerana WEF sering kali dikenali sebagai forum untuk golongan elit di atas planet bumi ini dimana golongan inilah yang banyak mengelak  membayar cukai.

Kerajaan Malaysia perlu berani bertindak radikal dalam mengatasi isu ketidaksamaan ini. Kuasa yang ada sebagai pemerintah perlu digunakan untuk merangka dasar bagi menangani masalah jurang yang semakin melebar bukan sahaja antara etnik tetapi juga jurang di dalam etnik itu sendiri. Cukai yang sewajarnya perlu dikenakan kepada golongan kaya agar mereka membayar cukai yang sepadan dengan pendapatan mereka.

Sehingga kini, tidak ada sebarang cadangan untuk mencukaikan golongan kaya ini. Cukai Keuntungan Modal, Cukai Kekayaan ataupun Cukai Warisan merupakan kaedah yang baik dalam merapatkan jurang ketidaksamaan di Malaysia.

Bantuan dan insentif yang diberikan kepada Bumiputera perlu dinilai dan dirangka semula sama ada ia memanfaatkan golongan sasar ( mereka yang berpendapatan rendah ) atau hanya menguntungkan segelintir elit Melayu saja.

Kerajaan perlu bertindak segera dalam menyelesaikan masalah kerana kek ekonomi yang tidak diagihkan dengan adil boleh mengakibatkan malapetaka di dalam negara ini. Indonesia pada tahun 1998 merupakan contoh terdekat kita. Rusuhan tercetus akibat ketidakpuasan hati etnik lain terhadap kaum Cina Indonesia kerana kawalan ekonomi yang terlalu besar oleh etnik ini.

Bayangkan dengan populasi 3%, Cina Indonesia dikatakan mengawal 70% kekayaan negara. 26 dari 30 syarikat terbesar di Indonesia turut dimiliki oleh kaum Cina yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Suharto. Akibatnya, rusuhan kaum tercetus dimana lebih 1,000 orang mati dan puluhan wanita Cina dilaporkan telah dirogol. Rumah dan kedai yang dimiliki oleh orang Cina turut dibakar.

Tragedi seperti ini sememangnya perlu dielakkan berulang di negara kita. Dan untuk mengelak ia berulang, sesuatu perlu dilakukan. Persoalannya kekal sama. Terdapatkan kesanggupan politik dan keberanian dalam kalangan pemimpin kita untuk melakukan sesuatu?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *